PELBAGAI kemahiran perlu dilengkapkan oleh pelajar-pelajar sekiranya ingin menjadi seorang yang berjaya terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi.
Menyedari potensi pelajar pintar yang berkemahiran dalam teknologi dan inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Microsoft Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Multimedia Development Corporation (MDeC) akan menganjurkan Pertandingan Imagine Cup edisi kesembilan selama tiga hari bermula pada 4 Mac ini di Kuching, Sarawak.
Pertandingan tahunan itu bertujuan mengembangkan penggunaan teknologi hasil cetusan idea peserta-peserta yang boleh dimanfaatkan dalam perkembangan sekali gus menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi dunia.
Dijangkakan banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPS) akan berentap pada pertandingan akhir nanti. Pasukan yang berjaya menjadi juara pula bakal mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan di New York, Amerika Syarikat (AS).
Tema Imagine Cup kali ini ialah 'Selesakan Ini' bertujuan mencabar peserta membantu menyelesaikan masalah paling rumit dihadapi masyarakat dunia pada hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (IPTA) Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Rujhan Mustafa berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan pertandingan Imagine Cup kerana ia dapat menggalakkan imaginasi peserta-peserta dalam memanfaatkan teknologi maklumat (IT).
"Selain itu, ia juga dapat meningkatkan bakat, kreativiti, kepimpinan, kemahiran perniagaan dan banyak lagi apabila mereka menyertai pertandingan ini. Mereka yang menjadi juara peringkat kebangsaan juga berpeluang mewakili negara sehingga ke luar negara untuk menimba pengalaman di sana kelak.
"Para peserta juga berpeluang membantu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi dunia melalui hasil idea dan inovasi yang dilakukan mereka," katanya pada sidang media Imagine cup 2011 di Menara Berkembar Petronas KLCC, Kuala Lumpur minggu lalu.
Dalam pada itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, berkata, dalam pertandingan tahun ini, peserta didedahkan dengan kemahiran berfikir secara kreatif dan menggunakan kebolehan teknikal bagi memberi kesan positif kepada masyarakat.
"Microsoft Malaysia berharap pelajar dapat mencapai impian dalam bidang akademik dan profesional berteraskan sains, teknologi dan reka bentuk.
"Ia juga bakal menjadi platform menghubungkan pelajar dengan industri, selain melatih mereka menjadi usahawan berjaya pada satu hari nanti," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Inovasi Perisian Tempatan, Microsoft Malaysia, Azli Jamil berkata, fokus pertandingan ini adalah membina rumusan teknologi maklumat yang boleh membantu menangani isu-isu dunia masa kini seperti dinyatakan oleh Matlamat Pembangunan Milenium Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Pertandingan ini memberi peluang dan ruang kepada para pelajar IPTA dan IPTS tempatan menunjukkan kreativiti dalam menghasilkan rumusan teknologi yang mampu memberi impak dan kesan terhadap masalah-masalah yang dihadapi masa kini," katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pertandingan Imagine Cup 2011 anda boleh melayari laman web www.imaginecup.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: