WALAUPUN sudah lebih lima dekad berniaga di pekarangan Batu Caves, Selangor, keluarga Raaja Kumaran, 46, merasakan tempat ibadat yang juga popular sebagai lokasi pelancongan itu berada pada tahap terbaik.
“Perniagaan saya di Batu Caves bermula sejak awal tahun 80-an, tetapi sekitar 1960-an, bapa saya membuka restoran di kaki tangga Batu Caves,” kata pemilik Restoran Rajan itu. Restoran Rajan terletak berhampiran taman rekreasi, Cave Villa. Ia terletak bersebelahan Kuil Perumal yang dibina mengikut reka bentuk kuil paling mewah di India, Tirupathi.
Pada pertemuan yang tidak dirancang itu, Raaja yang sibuk melayan pelanggan berbilang kaum dan kakitangan di restorannya menyatakan rasa terima kasih kepada pihak pengurusan.
“Saya melihat pelbagai perubahan positif yang membanggakan, bukan sahaja sebagai sebuah tempat suci malah destinasi tarikan pelancong,” kata Raaja.
Bahkan, beliau berpuas hati dengan proses membaik pulih di Batu Caves. Antaranya termasuklah aspek pengubahsuaian, pembangunan semula beberapa kawasan, penempatan kedai-kedai hinggalah laluan pejalan kaki dan tempat letak kereta. Paling penting, tahap kebersihan di Batu Caves pada cuti umum.
“Kebersihan amat dititikberatkan seiring dengan tuntutan agama. Walaupun Batu Caves sebuah kawasan yang luas dan menerima banyak kunjungan setiap hari, kakitangan di kawasan ini sentiasa memastikan kebersihan dan keceriaan tempat ini.
“Kebersihan bukan sahaja menjadi elemen kepuasan para peniaga malah disenangi oleh pelancong asing,” jelasnya.
Restoran Raaja yang menyediakan hidangan untuk mereka yang pemakan sayur terpilih seperti roti canai dan tosai turut menerima pelanggan di kalangan para pemimpin tempatan, figura politik antarabangsa, para pelakon dan krew penggambaran drama serta filem.
“Selain menjadi pusat pelancongan, gua di Batu Caves turut menjadi lokasi penggambaran dokumentari dan juga penggambaran produksi Bollywood (Hindi), Kollywood (Tamil), Telegu, Malayalam dan lain-lain,” katanya merujuk kepada industri hiburan India.
Menurut Raaja, mereka yang datang ke Batu Caves banyak bertanya kepadanya tentang tempat itu, baik dari segi lokasi, sejarah, seni bina kuil hinggalah kepada taman rekreasi dan kera-kera yang terdapat di situ.
Struktur semula jadi
Ramai yang tertarik dengan keindahan flora dan fauna, bentuk muka bumi dan reka dalaman di Batu Caves. Walaupun ia banyak mengalami pengubahsuaian untuk memenuhi keperluan aktiviti di situ, usaha tersebut tidak banyak mengganggu struktur alam semula jadinya.
Seorang pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Ellen Guerin, 53, yang pertama kali melawat Malaysia dan Batu Caves berpendapat, ia sebagai satu lawatan yang sangat mengujakan.
“Saya sudah setahun setengah tinggal di New Delhi, India. Berbanding kuil di New Delhi, kuil di Batu Caves sangat unik. Saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah gua yang dijadikan tempat beribadat ini.
“Patung-patung di Batu Caves sangat unik. Ini merupakan tempat beribadat berskala besar yang pernah saya lawati,” jelas guru sejarah itu yang ditemani suaminya.
Di India, khususnya di bahagian selatan misalnya, kuil Dewa Muruga banyak didirikan di kawasan gua dan bukit tinggi kerana sifat tuhan tersebut seperti yang diangkat daripada pelbagai kitab suci Hindu.
Di Malaysia, selain Batu Caves, lokasi kuil di Jalan Air Terjun, Pulau Pinang dan Gunung Cheroh, Ipoh antara lokasi kuil Dewa Muruga yang popular. Kuil itu juga terletak di dalam gua atau di atas bukit.
Bagi Liana Dewi, 24, dan Anton Dew, 29, pelancong dari Jakarta, Indonesia yang melawat Malaysia buat kali pertama mendapati, lokasi yang dicadangkan oleh pemandu pelancong mereka ke Batu Caves sebagai satu pilihan yang baik.
“Saya tidak tahu menahu langsung tentang tempat ini sehinggalah saya sampai ke sini. Mungkin banyak masa yang akan diluangkan di Batu Caves memandangkan tempat ini bukan sahaja luas malah saya percaya banyak perkara menarik yang boleh dilakukan di sini,” kata Liana.
Tambah Anton pula, walaupun Indonesia terkenal dengan kuil-kuil Hindu, kuil di Batu Caves yang terletak di kawasan gua mempunyai daya tarikan dan keunikan yang tersendiri.
“Saya juga merakam foto bersama ahli keluarga. Patung yang tinggi dan besar itu satu lagi tarikan di Batu Caves,” katanya yang tidak tahu banyak perkara mengenali lokasi pelancongan itu.
Patung Dewa Muruga setinggi 42.7 meter tinggi dicat dengan warna kuning keemasan yang didirikan secara rasmi sejak Januari 2006.
Mercu tanda baru Batu Caves itu diiktiraf sebagai patung Dewa Muruga paling besar di dunia. Batu Caves turut memiliki patung Dewa Hanuman setinggi 15 meter yang didirikan sejak sedekad yang lalu.
Sambutan Thaipusam
Perayaan Thaipusam yang menjadi perayaan berskala paling besar bagi penganut beragama Hindu di Malaysia turut menjadikan Batu Caves sebagai lokasi pemujaan dan sambutan perayaan keagamaan itu.
Menariknya, pada perayaan yang popular dengan peragaan kereta berhala, kereta berhias, kavadi, pelbagai cara pembayaran nazar dan sebagainya, menjadikan Batu Caves lokasi tumpuan pelbagai peringkat lapisan masyarakat.
Pada tahun ini, sambutan Thaipusam dijangka menarik lebih 1.3 juta penganut dan pelancong ke Batu Caves berbanding sejuta orang tahun lalu. Peningkatan itu berikutan penambahbaikan pengangkutan laluan baru Komuter KTM dari Pelabuhan Klang ke Batu Caves.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Batu Caves seminggu sebelum sambutan sebenar Hari Thaipusam mendapati, penganut dan pelancong sudah mula memenuhi gua itu sama ada untuk membuat pemujaan, membayar nazar atau melawat untuk sembahyang.
Bergerak kurang tiga kilometer (km) dari pusat beribadat juga di gua Batu Caves, kelihatan beberapa orang lelaki dan wanita sibuk membuat latihan memanjat cenuram di tebing batu landskap mega itu. Memanjat cenuram dan batu-batu tajam gua menjadi satu lagi tarikan gua batu kapur itu.
“Saya hanya datang ke sini bila ada masa. Biasanya dua kali sebulan,” kata Jane Ng, 26, yang baru sahaja selesai memanjat cenuram.
“Kami kerap datang ke sini dulu. Apa pun tempat ini sangat strategik sebagai lokasi memanjat cenuram. Saya rasa ia antara lokasi terbaik di Malaysia,” demikian kata rakan Jane, Adele Cheah, 34, yang kelihatan bertenaga walaupun baru sahaja memanjat cenuram.
Mereka adalah antara beberapa individu yang yakin bahawa Batu Caves adalah lokasi memanjat cenuram yang berpotensi dipromosi.
“Sekitar Batu Caves ada sembilan tempat memanjat cenuram dengan sekitar 160 laluan. Gua Damai adalah antara yang terbaik dengan fasiliti yang agak lengkap,” kata Kahiril Amar Yusof, 39, yang lebih dikenali sebagai Yen di kalangan rakan-rakan pemanjat cenuram.
Yen mendaki sejak umurnya 15 tahun. Batu Caves mula diperkenalkan kepada umum sekitar tahun 1985. Yen mahu kerajaan dan pihak berkuasa melihat kemampuan lokasi di sekitar Batu Caves untuk dijadikan tempat memanjat cenuram bertaraf global.
Seronok memanjat cenuram
“Daripada kita keluar mencari tempat memanjat cenuram, apa kata jika lokasi seperti Batu Caves dimanfaatkan,” kata jurulatih memanjat cenuram itu.
“Saya baru sedar sejak enam tahun lalu mengenai keseronokan memanjat cenuram di Batu Caves. Sejak itu, saya mengikut Yen dan kawan-kawannya. Saya berasa lebih sihat dan muda,” kata Yahya Abd Ghani, 64, antara pemanjat cenuram paling berusia dalam komuniti sukan ekstrem itu.
Bagi pendaki solo negara, Mohd. Noor Amin, 43, yang giat mendaki gunung, menaiki 272 tangga Batu Caves adalah tapak latihan yang paling diminati.
“Saya akan berlatih setiap bulan mengikut pelan pendakian. Berbanding kawasan lain, latihan menaiki tangga di Batu Caves lebih menyeronokkan kerana ia menawarkan pemandangan yang baik, dingin pada waktu pagi, tangga yang mempunyai rentak yang sama dan kawasan yang penuh kehidupan,” kata beliau yang banyak mencipta rekod membanggakan dalam sukan pendakian.
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (Seadpri), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, bukan hanya Batu Caves tetapi kebanyakan gua di Malaysia terdiri daripada gua batu kapur.
“Batu Caves atau gua batu kapur terbentuk daripada proses pelarutan iaitu batu yang dilarut air membentuk rongga-rongga,” kata beliau.
Batu Caves sudah lama melalui proses yang sama, namun, ia tidak bermakna proses itu terhenti. Malah, kata beliau, gua tersebut masih mengalami proses pelarutan tetapi tidak diketahui sama ada ia berlaku secara aktif atau perlahan.
“Jika dilihat struktur Batu Caves, ia mungkin berlaku dengan perlahan,” katanya yang pernah melawat gua itu tetapi bukan untuk tujuan membuat kajian.
Keaktifan proses boleh diukur daripada beberapa aspek. Antaranya ialah dengan mengukur bumbung gua, kajian ke atas rekahan, kesan-kesan ketidakstabilan dan jumlah bumbung yang jatuh dalam satu jangka masa tertentu.
“Jika gua tersebut (Batu Caves) dikaji oleh jurutera atau pakar geologi, kejadian keruntuhan bumbung akibat proses pelarutan boleh diatasi. Ia satu proses semula jadi dan semua gua mempunyai risiko tersebut,” katanya yang mengakui Batu Caves bebas runtuhan bumbung besar setakat ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: