Tuesday, January 18, 2011

Hanifah pernah bergelar atlet negara


KELUARGA bahagia. Hanifah bersama Norzie (kanan) dan anak-anak mereka. Dari kiri: Aaliyah, Aiden dan Adam.


SUSUK tubuh lelaki berusia 63 tahun itu kelihatan masih sihat

dan bertenaga. Walaupun sibuk melayan keletah anak kecilnya, Aiden, 5, dan Adam, 3, beliau tetap ramah melayan penulis sambil tangannya pantas menunjukkan koleksi gambar lama yang terdapat dalam album di hadapannya.

Himpunan gambar hitam putih yang memenuhi setiap halaman dalam album tersebut turut disertakan dengan butiran terperinci seperti tarikh dan tempat sewaktu ia dirakam.

Malah, foto empunya diri ketika bayi juga masih berada dalam simpanannya. Selain itu, terdapat juga beberapa buah fail mengandungi keratan artikel-artikel lama yang menyiarkan tentang pembabitan beliau sama ada dalam arena olahraga, permotoran mahupun sukan luncur air.

Kesimpulannya, lelaki yang dilahirkan dengan nama Yoong Yin Fah itu adalah seorang individu yang sangat sistematik dalam mengatur kehidupannya.

Legenda permotoran

Mungkin tidak ramai yang begitu mengenal lelaki bermata sepet ini, Tetapi, jika disebut nama Alex Yoong, 34, pasti khalayak mengetahui bekas pelumba Formula Satu (F1) pertama negara itu.

Yin Fah atau nama Islamnya, Hanifah Yoong merupakan bapa kepada Alex. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab membawa Alex ke dunia permotoran hingga ke persada antarabangsa.

Mengenali figura yang boleh dianggap legenda dalam sukan permotoran negara ini, banyak pengalaman yang dititip oleh beliau boleh dikongsi bersama. Daripada zaman kanak-kanak hingga remaja, menginjak dewasa dan sehingga usianya melebihi enam dekad, semua warna-warni kehidupan yang dilaluinya memberi 1,001 makna.


KIRI: Gambar kenangan ketika bersekolah di Sekolah Menengah Methodist Lelaki Kuala Lumpur.


Beliau juga amat mensyukuri segala kurniaan Allah untuk dirinya.

“Alhamdulillah, semuanya telah ditentukan Allah dan saya bahagia dengan kehidupan yang dilalui terutama nikmat diberi hidayah untuk memeluk Islam pada usia 40 tahun,” kata Hanifah sambil tersenyum memandang isterinya, Norzeela Sulaiman atau mesra disapa Nozie yang berada di sisinya.

Hanifah juga merupakan individu penting yang bertanggungjawab memperkenalkan sukan luncur air di Malaysia. Beliau kini memegang portfolio sebagai wakil Persekutuan Waterski & Wakeboard Antarabangsa (IWWF) untuk Piala Dunia Waterski & Wakeboard IWWF merangkap Pengerusi Majlis Kejohanan Waterski & Wakeboard Asia.

Kegigihan beliau dalam memartabatkan sukan air itu turut mendapat sokongan keluarga tercinta apabila anak-anaknya, Phillipa, 32, (daripada perkahwinan pertama dengan Joanne Yoong) dan Aaliyah (daripada perkahwinan kedua bersama Nozie) terlibat secara langsung dalam sukan tersebut.

Mengimbau sejarah lampau kehidupannya, anak sulung daripada tujuh adik beradik itu mengakui dirinya seorang yang aktif dan gemarkan cabaran.

Semasa kecil, Hanifah menetap bersama keluarganya di Kampung Satu yang terletak bersebelahan dengan bekas pangkalan udara di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Bayangkan pada usia dua tahun, beliau sudah mula belajar berenang sendiri di sebuah lombong tinggal.

“Saya memang suka cabaran. Bagi saya hidup tanpa cabaran adalah sesuatu yang membosankan,” kata lelaki berjiwa kental itu.


HANIFAH menerima anugerah Olahragawan di Maktab Tentera Diraja kerana kecemerlangan beliau dalam sukan.


Hanifah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Lelaki Methodist Jalan Davidson di Kuala Lumpur pada tahun 1956 hingga 1961 sebelum meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Menengah Methodist Lelaki Kuala Lumpur (MBSKL) hingga tamat tingkatan tiga.

Atlet sukan prolifik

Pada zaman sekolahnya, Hanifah dikenali sebagai atlet sukan prolifik. Sukan pertama yang diceburi adalah lumba basikal trek rumput dan pernah mewakili sekolah dan negeri. Pada usia 12 tahun, beliau berjaya melakukan misi berbasikal dari Kuala Lumpur ke Singapura dan kembali bersama sekumpulan pengakap dari pasukan Kuala Lumpur Air Scouts 10th.

Malah, bagi mengelakkan kebimbangan kedua-dua ibu bapanya, Hanifah langsung tidak memberitahu mereka tentang aktiviti yang dilakukannya.

Di samping itu, beliau juga gemar mendaki gunung dan merentas hutan hingga diiktiraf sebagai peserta paling muda yang menyertai ekspedisi ke Gunung Bunga Buah yang terletak di sempadan Selangor dan Genting Highlands pada tahun 1961. Pada ekspedisi itu seramai 72 pendaki sesat di dalam hutan tersebut selama lima hari sebelum mereka berjaya diselamatkan.

Pada tahun 1962 ketika berusia 13 tahun, Hanifah memperoleh pingat Bronze Medallion dari United Kingdom’s Royal Life Saving Society dan meraih sijil sebagai jurulatih dua tahun kemudian selain turut mewakili sekolah dalam sukan renang.

Sewaktu di MBSKL, beliau telah memulakan karier dalam sukan olahraga apabila menyertai acara 400 meter lari berpagar. Tidak ketinggalan, Hanifah turut bergiat aktif dalam sukan ragbi, bola sepak dan hoki.


PADA zaman mudanya, Hanifah menyertai sukan lumba kereta untuk pasukan Ford pada tahun 1983.


Lantaran kecemerlangan yang dikecapi dalam arena sukan, Hanifah terpilih menyertai Kolej Tentera Persekutuan pada tahun 1965 yang kemudian ditukar nama kepada Maktab Tentera Diraja (RMC) pada 1966.

Sehingga menamatkan pelajarannya di RMC pada tahun 1968, Hanifah berjaya merangkul pelbagai kejayaan. Antaranya mencipta rekod dalam acara 400 meter lari berpagar, mewakili Malaysia pada Kejohanan Trek dan Padang Asia di Singapura (1967), mewakili kolej dalam acara olahraga, ragbi, bola sepak, hoki dan renang serta menerima anugerah gelaran Komander RMC apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik pada tahun akhir pengajiannya.

Malah, rekod yang dicipta dalam acara 400 meter lari berpagar pada tahun 1966 dengan catatan 57 saat hanya berjaya dipecahkan selepas empat dekad iaitu pada tahun 2007.

“Bagi saya, semua yang dilakukan itu semata-mata untuk mencabar kemampuan diri dan ia mendorong kita untuk menjadi seorang insan yang berdisiplin dan bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan,” ungkap Hanifah yang turut melalui momen membanggakan sewaktu bergelar pelumba dalam sukan permotoran.

Malah, minatnya itu menyebabkan Hanifah mengambil inisiatif membawa masuk perlumbaan Moto GP ke Malaysia pada tahun 1991 tanpa sebarang bantuan atau dana dari kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: