Sunday, January 23, 2011

Amyza bikin single




TIBA-TIBA sahaja, kisah rumah tangganya menjadi sensasi. Hanya disebabkan si suami bermalam di rumah keluarganya, hubungan pengacara dan pelakon popular Amyza Aznan dengan Khairil Izhar Mohd. Nazir didakwa sedang berdepan krisis.

Bukan terlalu konservatif, tetapi pengaruh daripada ‘badi’ program realiti tarian Sehati Berdansa memang mudah terpasak di ingatan ramai. Lalu apa sahaja kejanggalan yang berlaku kepada bekas pesertanya mudah menimbulkan curiga. Sama juga kisahnya dengan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak yang diterjah media gara-gara muncul di sebuah mahkamah syariah, baru-baru ini.

“Itu semua permainan oranglah. Saya dengan Busu (panggilan Amyza terhadap suaminya) bahagia. Tidak timbul masalah sampai bergolak-golak. Kalau bergaduh kecil-kecil itu adat orang berkahwin,” ujarnya tanpa terbit ketidakselesaan.

Bagi Amyza, fokusnya hanya mahu meningkatkan kestabilan rumahtangga. Malah usia tujuh tahun perkahwinan itu semakin ceria dengan dua putera, Andre Mikhail, 5, dan Andrian Adam, 2.

“Sekarang jadual saya sangat sibuk. Komitment pengacaraan untuk Sehati Sejiwa secara langsung di RTM membuatkan jadual saya padat. Lagi satu, saya sibuk dengan perancangan single pertama saya,” katanya tertawa besar.

Berbelas tahun dalam dunia lakonan, 2011 bakal membuka lembaran baru buat Amyza untuk bergelar penyanyi.

Amyza sebelum ini berjaya menggeletek hati, menimbulkan benci dan marah penonton sepanjang dia bergelar pelakon.

Namun nekadnya berdiri di pentas nyanyian menerbitkan pelbagai persoalannya terutama rasional tindakannya sekarang.

“Biarlah orang nak ketawa dulu, kemudian mereka akan menangis bila tengok dan dengar nyanyian saya,” katanya yakin dengan projek single pertamanya.

Lagu balada tersebut diterbitkan bersama Azlan Abu Hassan manakala liriknya ditulis oleh Habsah Hassan yang diharap dapat memberi impak dalam kariernya.

“Masa muda remaja dahulu memanglah saya tak layak untuk bergelar penyanyi, vokal entah ke mana, nyanyi karaoke pun tak lepas. Tapi sekarang saya cukup bersedia. Lagi pun sejak tahun lepas lagi saya banyak menyanyi untuk undangan persembahan korporat. Banyak kali juga saya dapat tawaran mengacara dan menyanyi sekali gus.

“Keyakinan Azlan sendiri beri kekuatan kepada saya. Dia pun bukan calang-calang komposer. Kita tunggu dan tengoklah nanti,” katanya.

Sibuk di lokasi penggambaran telemovie berjudul Menantu Tip Top, Amyza banyak dipuji menerusi drama bersiri Trilogi Cinta gandingan bersama Rosyam Nor setiap Ahad dan Isnin, 10 malam di TV1.

“Saya bawa watak Salmi, isteri Rosyam. Biasanya penonton akan kasihankan watak perempuan yang lumpuh tetapi Salmi tidak. Karakternya boleh membuatkan penonton membencinya,” kata Amyza yang sudah berlakon dalam berpuluh drama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: