Sunday, January 23, 2011

Fouziah sudah jatuh cinta




DIA pernah menjadi kuntum yang tiba-tiba menarik banyak perhatian. Banyak mata tertumpu kepadanya apatah lagi, aroma yang ditebarkan dari kelopaknya segar berbau sensasi. Ketika itu, mudah sahaja dia dikaitkan bermacam cerita panas.

Bunga ini pernah dilanda gosip menjalin hubungan dengan bos sebuah stesen televisyen. Dia dilabel wajah kesayangan stesen televisyen sehingga banyak mata memandang sinis terhadapnya.

Di sebalik semua itu, Fouziah Gous tiba-tiba muncul sebagai pucuk baru yang hangat di pasaran.

Masa berlalu, Fouziah Gous mengakui zaman itu ditempuhinya dalam langkah yang tercari-cari. Selingkar budaya yang tidak pernah dijangka akal, dia sekadar mengikut darah muda, mahu cepat dikenali dan seronok mengecap perhatian yang bukan sedikit tumpah kepadanya. Namun, seperti hukum alam yang tidak pernah statik, ada panas dan dinginnya mengikut musim.

Wanita muda ini juga sedang melewati satu fasa dalam hidupnya.

Hari ini, kepanasan nama Nor Fouziah Gous tidak menggelegak seperti di awal kemunculannya dahulu. Sedikit suram daripada publisiti bahkan panggilan fotografi jarang-jarang disahutnya. Merajukkah Fouziah atau muak dengan persoalan yang kerap dibangkitkan.

"Itu semuanya berpunca daripada komitmen. Sekarang saya cuba mengelak untuk lari ke sana ke sini semata-mata untuk fotografi. Saya cuba untuk tidak menyusahkan pihak produksi.

Situasi itu semuanya berdasarkan pengalaman.

"Masa mula-mula dulu saya sanggup terima sahaja apa sahaja permintaan orang. Sekarang saya sudah mula faham kerenah industri. Sekarang saya selesa dengan situasi begini. Banyak pihak sudah mula percayakan kredibiliti saya, yang saya perlu buktikan kini ialah komitmen seratus peratus, itu sahaja.

"Sama ada nama saya sudah suam atau panas, saya tidak pernah terfikir dan dengar tentang perkara itu. Pandangan orang memang berbeza-beza tapi saya sangat bersyukur kerana tawaran kerja yang datang kepada saya sekarang, semakin mencabar. Itu yang menjadikan hidup saya semakin menarik," katanya berbunyi serius.

Sedia berkahwin

Mengakui, secara harfiahnya dia seorang yang membosankan, tiada perkembangan terbaru tentang cinta hati atau rutin harian yang terlalu ekstrem, Fouziah mahu meletakkan posisinya sebagai seorang pelakon yang serius.

"Saya juga dapat rasakan, mungkin orang juga sudah bosan dengan saya. Asyik-asyik cerita lama yang diungkitkan, gosip lama, saya sendiri agak bosan diajukan dengan persoalan yang sama. Kadang-kadang, walaupun perkara itu tidak benar, pembaca akan percaya juga," luahnya tidak menolak jika ditakdirkan menemui jodoh dalam waktu terdekat.

Bercakap tentang cinta, wanita berusia 28 tahun itu sekali lagi membuat penegasan. Setiap gosip mengaitkan dirinya dengan cinta sepanjang tiga tahun serius sebagai anak seni, tidak benar sama sekali.

"Semua cerita yang menggembar-gemburkan kisah cinta saya tidak pernah sampai ke hujung, tiada kepastian.

"Tapi kalau nak bercakap tentang jodoh, saya boleh katakan, secara fizikal, mental dan hati saya sudah bersedia untuk berkahwin. Saya seorang wanita bukan lagi kanak-kanak, cuma jodoh itu sahaja yang belum sampai.

"Kalau dipertemukan dengan lelaki yang benar-benar bertanggungjawab, boleh menjamin masa depan dan mampu menjadi pemimpin, saya tak kisah untuk berkahwin," katanya tidak mahu meletakkan sasaran umur tertentu untuk menamatkan zaman bujang.

Tambah Fouziah, dia menganggap niat mahu berkahwin pada usia tertentu sebagai sesuatu yang tidak betul.

"Kalau betul-betul bersedia mahu berkahwin tidak perlu tunggu umur, saya pun begitu, lagipun saya bukan jenis yang huru-hara, saya rapat dengan keluarga," katanya.

Ketawa sebelum cerita tentang cinta bersambung lagi. Anak jati Kuala Lumpur itu membuat pengakuan.

"Bagaimanalah untuk saya bertemu dengan lelaki baru, habis kerja, saya terus balik ke rumah. Buah hati pun tidak ada bagaimana pula hendak bertemu jodoh. Dulu ada cerita mendakwa saya ada hubungan dengan Datuk Seri Farid Ridzuan, tapi memang kelakar sangat sebab kami memang tiada apa-apa hubungan, akhirnya cerita itu menjadi senyap begitu sahaja.

"Paling-paling keluar cerita tentang saya dan Iqram Dinzly tapi Iqram itu kawan baik saya, macam manalah saya boleh bercinta dengan kawan baik sendiri," keluh Fouziah dalam canda.

Fasa baru Fouziah

Cenderung fokus berbalik kepada karier, ungkap Fouziah, berada di lokasi Trilogi Cinta selama lebih empat bulan sepanjang hujung tahun 2010, bukan satu tempoh yang pendek. Namun, dia seronok mengepung diri membawa emosi orang lain ke dalam karakternya.

"Saya mula jatuh cinta dengan lakonan, mula merasa rindu terhadap watak yang didalami apabila terpaksa menukar karakter kepada watak yang lain. Itu perkara baru yang terjadi kepada saya dan berbeza dengan Fouziah yang dulu.

"Dulu saya tidak minat dengan lakonan, apabila orang bertanya, saya boleh keluarkan kenyataan berlakon hanya untuk suka-suka, tapi sekarang tidak lagi. Saya dah faham banyak perkara, tentang teknik dan sudut kamera, pencahayaan dan penyuntingan," ucapnya yang kini semakin dipuji sebagai pembawa watak Norjinah di sisi Rosyam Nor.

Drama arahan Amie Maziah terbitan Suhan Movies itu disiarkan setiap Ahad hingga Selasa pukul 10 malam di TV1.

"Memang saya tidak pernah diberikan watak wanita matang, semuanya mesti perwatakan di bawah usia 28 tahun. Tapi watak Norjinah itu lain, saya benar-benar menjadi orang lain. Berada dan berlakon dengan orang berpengalaman secara tidak langsung memberi banyak ilmu kepada saya.

"Dulu saya berlakon beria-ria tapi orang tetap lihat lakonan saya macam ada yang tidak kena. Sekarang baru saya tahu apa itu lakonan," katanya yang juga terlibat dengan drama Tiramisu di TV3.

Sedang sibuk di lokasi Kala Terbit Cinta juga bawah arahan Amie Maziah, dalam tempoh sebulan sehingga sekitar 20 Februari nanti Fouziah mahu memberi ruang kepada dirinya untuk bertemu media.

"Kalau diikutkan perancangan asal, saya akan ke Tanah Suci sekali lagi, tapi kali ini untuk penggambaran drama terbaru di sana. Tapi tidak banyak yang boleh dikongsikan kerana takut ada perubahan," ucapnya yang menunggu dua buah filem, Rasuk dan Ratu yang dijadualkan tayangan sekitar tahun 2011 ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: