PERTENGAHAN tahun lalu, sejumlah isu berkaitan Badan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia Bhd. (MACP) sudah dibangkitkan. Ada pihak yang mempersoalkan ketelusan MACP dalam menjalankan tanggungjawab memungut dan mengagihkan royalti hak cipta untuk komposer, penulis lirik serta syarikat penerbit muzik.
Malah Timbalan Ketua Biro Hal Ehwal Pengguna Pemuda MCA, Kua Song Tuck dalam satu kenyataan yang disiarkan akhbar Sin Chew Daily pada 1 Jun tahun lalu mendakwa, Malaysia mempunyai dua buah institusi yang mengumpul royalti tetapi mengikut pemahamannya, pemilik hak cipta iaitu komposer dan penulis lirik tidak menerima sebarang faedah daripada pengurusan tersebut.
Dakwa Song Tuck, MACP hanya mengumpul RM600,00 setahun manakala secara purata setiap ahlinya mendapat RM600. Dia turut meminta semua pengedar telefon bimbit mematuhi notis yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan atas alasan pihak kerajaan akan bersidang di Parlimen untuk meminda Akta Hak Cipta 1987.
Mulai Januari ini, MACP dan Public Performance Malaysia Sdn. Bhd. (PPM) tidak lagi dibenarkan mengutip royalti terhadap penyiaran karya hak cipta yang disiarkan oleh stesen televisyen di tempat awam seperti hotel, restoran, hospital serta klinik.
Malah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, larangan itu berkuat kuasa berikutan syarikat penyiaran (radio atau televisyen) sudah membayar royalti kepada Badan Kutipan Royalti (CMO) dan tidak perlu lagi dikutip PPM ataupun MACP.
Ujar Lian Hoe, kementerian menerima rungutan daripada pemilik premis perniagaan berhubung isu kutipan royalti oleh PPM dan MACP, termasuk daripada Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) hingga menjurus kepada mesyuarat pengurusan.
"Bagi mengelak kekeliruan, kementerian memutuskan tiada lagi pembayaran royalti berkuat kuasa hari ini (semalam)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan membabitkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Myipo), MBHA, PPM dan MACP.
Melihat kepada isu ini, anak-anak seni yang terdiri daripada komposer dan penulis lirik mula berasa kurang senang. Malah keadaan ini dilihat sedikit sebanyak bakal mengganggu perjalanan seni terutama bagi individu yang bergantung kepada royalti sebagai periuk nasi utama mereka.
Merujuk kepada fenomena ini juga, ada yang beranggapan bahawa situasi ini bakal menjadi permulaan bagi sebuah gerhana dalam dunia hiburan.
Bermula dengan serangan lanun cetak rompak pada tahun 90-an dan diikuti dengan muat turun lagu secara berleluasa daripada laman web, soal royalti ini adalah polemik baru yang bakal mereka hadapi untuk tahun ke sebelas dalam era millenium ini. Industri rakaman sebagai salah satu elemen terpenting industri muzik tempatan mengalami pukulan demi pukulan.
Sekadar merenung dan meneliti masa hadapan yang bakal dihadapi oleh penggiat seni ini, mereka bakal kehilangan peratusan besar dalam hasil pencarian dan sumber rezeki mereka.
Fenomena penjualan album bukan lagi dilihat sebagai punca pendapatan para penggiat seni. Penjualan album fizikal merosot dengan signifikan malah ia ialah petanda awal bahawa penggiat seni perlu mencari alternatif untuk survival.
Kutipan royalti yang diambil tidak memberangsangkan dan ia boleh dianggap sebagai sebuah bonus kepada penghasilan karya mereka yang dimasukkan ke dalam sebuah produk berunsur fizikal yang tidak lagi mendapat tempat di hati para pendengar muzik.
Geruhnya suasana sudah lama dirasai anak-anak seni ini. Apa lagi cara yang dapat menjamin masa depan dan ketahanan mereka dalam mendakap status anak seni dan melahirkan karya yang bersifat malar segar, kreatif dan genius untuk generasi masa hadapan? Hanya duit royalti yang merupakan sumber utama manusia-manusia berjiwa seni ini.
Selama ini MACP merupakan badan yang paling profesional dan diiktiraf dalam mengumpul royalti paling profesional. Malah Persekutuan Antarabangsa Persatuan Penulis Lirik dan Komposer (CISAC) merupakan penasihat bagi MACP dalam menjalankan tugasan mereka buat anak-anak seni.
Buat rujukan, pada 1990, MACP berjaya mengutip sejumlah RM434,446 setahun. Pada 2009 pula, MACP mendapat sejumlah RM31.6 juta dan 85 peratus diagihkan kembali kepada ahli-ahli berdasarkan peruntukan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan juruaudit bagi MACP adalah pihak Earnst & Young.
Sebagai industri yang melahirkan, menampilkan, mempromosikan dan melestarikan budaya dan karya muzik sudah selayaknya industri ini diselamatkan daripada sebarang kehancuran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: