Friday, December 31, 2010

Karier jadi tumpuan 2011

JANJI...Misha dan Elly tidak merahsiakan hari bahagia mereka daripada peminat.
JANJI...Misha dan Elly tidak merahsiakan hari bahagia mereka daripada peminat.

DUA artis jelita ini, Misha Omar dan Elly Mazlein sering ditanya mengenai gosip konon mereka sudah berkahwin.

Walaupun memberi penjelasan menafikannya kerana tiada ‘perkahwinan tersembunyi’ yang berlaku, ia tidak mampu melenyapkan cerita itu yang tersebar di Internet.

  • Foto

    ELLY...album baru mendapat sentuhan Julfekar.

  • Foto

    MISHA...bekerjasama dengan M Nasir untuk album baru.

Masih konsisten dengan jawapan masing-masing, mereka mengakui semua itu tidak benar dan hanya gosip liar yang mengguris hati.

Kata mereka, takkanlah perkara baik seperti itu disembunyikan.


Turut dikaitkan menjalin cinta dengan ‘suami orang’, kedua-duanya hanya ketawa dan akui apa yang dicanang itu tidak benar.Apa yang pasti, mereka berjanji apabila tiba masanya ia akan diumumkan.

Menurut Elly, dia tidak akan sesekali menyembunyikan berita baik mengenai perkahwinannya untuk dikongsi bersama peminat.

Katanya, sebaik ‘seru’ itu sudah tiba, dia akan membuat pengumuman itu.

“Buat masa ini, saya lebih selesa bercerita mengenai perkembangan karier berbanding peribadi.

“Jujurnya, diakui sekarang saya sangat jatuh cinta dengan kerjaya. Sudah lama saya impikannya.

“Selama ini, saya sangat berharap orang ramai dapat menilai bakat diri. Saya ambil masa bertahun untuk sampai ke tahap ini yang mana bakat dihargai peminat. Oleh itu, kini saya utamakan karier.

“Saya tidak boleh mensia-siakan kepercayaan yang diterima itu. Justeru, nampaknya jodoh untuk saya mendirikan rumah tangga belum ada lagi. Apapun, saya takkan sembu�nyikan perkara yang baik ini.

“Apabila sampai jodoh itu, saya akan maklumkan kepada media dan peminat, Namun, sekarang saya sangat menghargai karier ini. Saya gembira dan bersyukur tawaran berlakon tak putus-putus,” katanya.

Terbaru, penyanyi yang turut mencuba lakonan ini dilamar CTRA Productions Sdn Bhd untuk membintangi teater muzikal Tun Mahathir 2 membawakan watak Tun Dr Siti Hasmah menggantikan Erra Fazira.

Elly mendapat peluang membawa peranan Dr Siti Hasmah ketika dewasa, Misha pula untuk watak remaja. Pementasan akan bermula pada 21 Januari ini di Istana Budaya. Sebelum ini, Misha dikenali melalui pementasan Uda & Dara berpasangan dengan Razali Hussein manakala Elly dalam teater Sri Mersing bersama Ady Putra.

Kali ini, mereka akan bergandingan dengan Ezany Nizariff untuk watak Tun Mahathir ketika remaja menggantikan Zizan Nin manakala peranan ketika dewasa masih menjadi milik Esma Daniel.

Selain berlakon, Elly juga akan muncul dengan album baru tidak lama lagi. Selepas lima tahun sepi daripada album dan tak aktif menyanyi, ini adalah masa sesuai untuk Elly bangkit semula.

Pembuka tahun 2011 dianggap Elly sangat mencabar kerana terbabit dalam pementasan teater muzikal Tun Mahahthir 2 serta debaran menunggu reaksi peminat terha�dap albumnya yang berada di pasaran.

Album kelima Elly yang mendapat kerjasama komposer berpengalaman seperti Julfekar itu akan menampilkan single seperti Please Forgive Me dan Kata Saja ‘I Love U’ yang diharap diterima peminat.

Elly juga sempat berseloroh, barangkali ada peminatnya yang sudah tak sabar mahu melihat dia naik pelamin. Apapun, sekali lagi Elly menegaskan bahawa dia yakin kalau ada jodoh, tak ke mana.


Misha harap tiada lagi gosip kahwin

KEMUNCULAN tahun baru 2011 esok, Misha mengharap�kan ia membawa sinar baru dalam karier dan kehidupan peribadinya.

Tanpa berselindung, penyanyi Bunga-bunga Cinta ini me�ngakui, dia berharap langkah�nya dalam seni makin kukuh.

Bahkan, dia turut menyimpan impian semoga semuanya lebih baik untuknya dalam proses ‘perubahan status diri’.

Katanya, diharapkan tiada lagi gosip liar yang menghiris hati dan perasaannya.

“Saya tetap berpegang pada janji saya takkan menyorokkan perkara baik seperti per�kahwinan kepada peminat. Saya sedia berkongsi detik indah itu bersama mereka apabila ‘seru’ itu sudah tiba.

“Jadi, kita sama-sama menunggunya dan tak perlulah cerita tidak benar dan gosip mengenai perkahwinan saya diperkatakan lagi. Saya janji akan memberitahu kepada anda semua apabila tiba masanya.

“Sekarang, tumpuan hanya pada karier kerana diam tak diam sudah sembilan tahun saya bergelar artis. Jujurnya, saya tak pernah menyangka hingga sampai ke tahap ini seperti sekarang.

“Saya ingatkan karier seni hanya bertahan selama tiga tahun saja. Namun, sebaliknya dan saya sangat bersyukur dengan pencapaian ini. Saya harap peminat masih setia memberikan sokongan,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan selanjutnya, Misha berkata selain berlakon teater, dia sebenarnya mengintai peluang untuk lebih serius dalam bidang pengacaraan. Pengacara program Sehati Sejiwa itu berkata, dia mahu jadi artis serba boleh.

“Saya menyimpan impian untuk menjadi orang seni serba boleh suatu hari nanti. Bagi memastikan ia menjadi kenyataan, saya harus sedia mencari peluang dan cuba sedaya upaya selagi mampu.

“Bukan mudah untuk berjaya dan saya harus rajin berusaha. Maka, untuk itu saya harus menonjolkan kepada masyarakat kemampuan diri. Saya harus membuktikannya lebih dulu sebelum raih kejayaan,” katanya.

Dijangka muncul dengan album keempat sekitar perte�ngahan 2011, Misha berkata dia sangat teruja kerana dapat bekerjasama dengan komposer dan penyanyi terkenal M Nasir sebagai penerbit eksekutif.

“Album ini begitu istimewa bagi diri saya kerana turut merakamkan dua single baru untuk peminat iaitu Detik Antara Waktu dan Berlalu. Malah, saya juga merakamkan semula sebuah lagu popular Alleycats,” katanya.


PROFIL

NAMA: Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi
PANGGILAN KOMERSIAL: Elly Mazlein
USIA: 29 tahun
TEMPAT LAHIR: Slim River, Perak
KELUARGA: Anak bongsu dari tiga beradik
STATUS: Bujang
FILEM: Janji Diana, Tangkai Jering, Gerak Khas 3 The Movie dan Awan Dania The Movie
DRAMA: Lebih puluhan drama, antaranya Bulan Yang Pertama, Gerak Khas, Sembilu Kasih, Spa Q, Bella, Amanah Karmila, Cinta Batu Belah, Cinta Seorang Penoreh Getah, Kasih Berbunga Lalang, Keliwon, Semanis Janji, Ulek Mayang
TEATER: Teater Muzikal Sri Mersing, Tun Dr Mahathir 2
ALBUM: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), MTV Karaoke Elly Mazlein (2001), Best Of Elly Mazlein (2002) dan Atas Nama Cinta (2005)


PROFIL

NAMA: Samihah @ Aisah Omar
PANGGILAN KOMERSIAL: Misha Omar
TARIKH LAHIR: 6 Januari 1982
USIA: 28 tahun
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan pengacara
STATUS: Bujang
ALBUM: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha Omar (2008)
FILEM: Gerak Khas The Movie 3 dan Main-Main Cinta
DRAMA: Jo-Om Balik Raya I dan II
PROGRAM TV: Skrin Video dan Sehati Sejiwa
TEATER: Gamat (2009), Uda & Dara (2010), Tun Mahathir (2010), Tun Mahathir 2 (2011)
PENCAPAIAN: Antaranya Finalis Bintang RTM (2001), Anugerah Artis Baru Pilihan (Anugerah Era, 2003), Anugerah Emas Festival Muzik Shanghai (2003), Anugerah Vokal Terbaik dan Juara (Anugerah Juara Lagu, 2003), Anugerah Artis Wanita Baru Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian, 2003), Anugerah Artis Wanita Baru Pilihan dan Anugerah Lagu Terbaik (Anugerah Media Hiburan 2003), Anugerah Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Era, 2004), Juara Balada dan Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu, 2004), Juara Hitz 1 (2004 & 2006), Persembahan Terbaik Hitz 1 (2006 & 2007)

Kedai hadiah online sumber pendapatan sampingan

MENJADIKAN bidang perniagaan dalam talian (online) sebagai pendapatan sampingan, pengasas kedai hadiah online, Ayu Fatarina Md Taha, 30, mensasarkan jualan RM2,000 sebulan tahun depan berbanding RM1,500 sebulan tahun ini.

Menurutnya, sasaran itu didorong perancangan untuk menambah lebih banyak pilihan hadiah kepada pelanggan.

“Saya berhasrat mempelbagaikan pilihan hadiah seperti makanan; cupcakes dan coklat pada awal Februari tahun depan.

“Selain itu, saya juga akan menambah lebih banyak hadiah untuk lelaki memandangkan sekarang ini barangan hadiah lebih kepada perempuan saja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ayu Fatarina berkata, walaupun baru dibuka pada awal 2010, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Setakat ini kata beliau, barangan yang dijual di kedai online itu ialah alat solek, jersi, tupperware, kotak alat solek, anak patung beruang, minyak wangi dan kosmetik.

“Baru-baru ini, saya memperkenalkan minyak wangi, Harajuku untuk perempuan dan sambutan yang diberikan sangatlah menggalakkan.

“Sejak sebulan dipamerkan, saya berjaya menjual 10 botol minyak wangi dan menjangkakan ianya akan meningkat,” katanya.

Pegawai undang-undang ini memberitahu, selain mempamerkan hadiah untuk dipilih pelanggan, beliau juga menyediakan perkhidmatan membalut hadiah serta dengan riben dan kad kecil.

“Saya pasti ramai dalam kalangan lelaki yang tidak mahir membalut hadiah. Justeru itu, kedai ini menyediakan perkhidmatan membalut percuma untuk mereka sebelum dikirimkan kepada orang tersayang,” katanya.

Potensi besar dorong suami isteri ceburi PKS




Kegigihan Kamariah Abdul Karim dan suaminya, Misran Yaacob (gambar) mengusahakan perniagaan kuih karas dan dadih berbaloi apabila produk mereka mula mendapat tempat di sekitar Johor.

Pasangan suami isteri yang merupakan pengusaha Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) pertama di Kampung Panti, Kota Tinggi itu memulakan perniagaan dengan modal RM1,000.

Menurut Kamariah yang bertindak sebagai Pengurus O’ Rika Enterprise, mereka mengambil cabaran dengan menceburi PKS kerana melihat potensinya yang luas.

“Sebelum ini kami hanya mengambil bekalan daripada orang lain dan menjualnya. Namun, setelah beberapa tahun mempelajari selok-belok perniagaan, kami mula menghasilkan produk sendiri iaitu kuih karas dan dadih.

“Pada mulanya, semua produk dihasilkan menggunakan cara tradisional. Apabila perniagaan semakin berkembang, kami membeli mesin pencetak kuih karas dan ketuhar pembakar dengan kos RM5,000,” katanya yang sudah lima tahun bergiat secara serius dalam perniagaan.

Sementara itu, Misran berkata, produk kuih karas iaitu Karisma Crunch yang dihasilkan tampil dengan kelainan kerana berperisa.

“Karisma Crunch dibuat menggunakan resipi yang diubahsuai dan pelanggan boleh memilih berperisa jagung dan strawberi yang berwarna kuning dan merah.

“Selain itu, kami juga menjual kuih karas biasa berwarna coklat. Karisma Crunch dijual RM2 sepaket dan anggaran jualan untuk sebulan mampu mencecah 2,000,” katanya.

Manakala, untuk dadih pula mereka menawarkan enam perisa.

“Antaranya ialah perisa baru seperti kundur yang mendapat permintaan tinggi, selain dadih perisa coklat, jagung, strawberi, jagung, keladi dan tembikai susu.

“Produk dadih kami yang dijual RM1 kebiasaannya mencapai penjualan sehingga 500 dadih seminggu,” katanya.

Misran berkata, mereka merancang membeli beberapa mesin tambahan bagi memudahkan pembuatan produk dan seterusnya menampung permintaan pelanggan yang semakin bertambah.

“Mesin tersebut ialah mesin pengira, mesin pengering dan paip air anti kuman yang membolehkan produk terhasil semakin berkualiti.

“Perancangan ini juga adalah selaras dengan pembukaan ruang pameran sejak Julai lalu yang mempamerkan semua produk,” katanya.

Pelbagai acara sambut tahun baru 2011


KONSERT anjuran Kumpulan AmBank bakal memeriahkan sambutan tahun baru 2011 di Dataran Merdeka malam ini.


KUALA LUMPUR - Sambutan ambang tahun baru 2011 malam ini dijangka meriah dengan pelbagai acara menarik diatur di bandar-bandar utama di seluruh negara.

Di Kuala Lumpur, Kumpulan AmBank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekali lagi menganjurkan Konsert Tahun Baru di Dataran Merdeka bermula pukul 8 malam.

Antara artis yang bakal memeriahkan konsert itu ialah Amy Search, M. Nasir, Datuk David Arumugam, Ramlah Ram, Pop Shuvit, Mizz Nina dan beberapa penyanyi terkenal lain.

Konsert yang dijangka dihadiri oleh 80,000 pengunjung itu bakal disiarkan secara langsung melalui RTM2.

Pada program itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan ucapan sebelum berlangsungnya pelbagai persembahan kebudayaan dan nyanyian.

Jadi gergasi Asia untuk ke Piala Dunia


PASUKAN Malaysia perlu menguasai pentas bola sepak Asia jika berhasrat untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.


KUALA LUMPUR - "Cabaran kita selepas ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu pasukan bola sepak gergasi di Asia dan jika itu menjadi kenyataan, tidak mustahil impian beraksi di Piala Dunia satu hari nanti mampu direalisasikan."

Mungkin kenyataan tersebut kelihatan terlalu bercita-cita tinggi, namun bagi penyerang skuad bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha, hasrat itu tidak mustahil untuk dicapai asal sahaja setiap anggota dalam pasu- kan Harimau Malaya sanggup bekerja keras ke arah itu.

Norshahrul yang memainkan watak penting dalam kejayaan Malaysia mencatat sejarah memenangi Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama sejak 14 tahun lalu menjelaskan, impian besar untuk layak ke Piala Dunia mampu dicapai sekiranya skuad negara dapat menguasai saingan di peringkat Asia.

Begitupun, penyerang Kelantan berusia 24 tahun itu sedar untuk mereali- sasikan impian menjadi gergasi Asia dan beraksi di pentas Piala Dunia, skuad negara perlu mempunyai sikap optimis dalam diri mereka selain mengharungi banyak perlawanan antarabangsa yang kompetitif dan berkualiti.

Sambutan hebat untuk wira negara


MOHD. SAFEE (kiri) dan Amar Rohidan menunjukkan Piala Suzuki AFF 2010 di dalam bas kepada peminat di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - Suasana di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini umpama pesta petang semalam apabila lebih 3,000 peminat menyambut ketibaan skuad bola sepak Malaysia yang membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010.

Mereka sudah berkumpul di situ sejak pukul 2 petang dan tidak berganjak walaupun menyedari jadual ketibaan pesawat Penerbangan Malaysia MH710 yang membawa pulang skuad negara ditunda sejam.

Nyanyian dan laungan kata-kata semangat 'Malaysia Boleh' bergemuruh di kawasan itu sehingga menarik perhatian ramai pelancong asing yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama para penyokong Malaysia.

Biarpun jumlah yang hadir ramai, para peminat yang kebanyakannya ahli kelab 'Ultras Malaya' tetap berhimpun dengan aman dan memudahkan tugas kira-kira 50 anggota pasukan keselamatan yang membuat kawalan di situ.

Selepas hampir dua jam menunggu, mereka akhirnya bersorak melihat kemunculan skuad negara bersama jurulatih, K. Rajagobal yang berjalan keluar dari balai ketibaan KLIA.

Lelaki ditahan jual video lucah


KEDAI telefon bimbit di Kompleks Kota Raya, Jalan Silang, Kuala Lumpur yang diserbu kerana disyaki menawarkan khidmat muat naik video seks kepada pelanggan.


KUALA LUMPUR - Kerana mahu mengaut keuntungan lebih, seorang lelaki yang menyediakan perkhidmatan memuat naik video lucah dalam telefon bimbit menerima padah apabila dia ditahan polis dalam serbuan di pusat beli-belah Kompleks Kota Raya, Jalan Silang di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 5 petang itu, sepasukan anggota polis daerah Dang Wangi menyerbu sebuah premis yang disyaki menawarkan perkhidmatan tidak bermoral tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abdul Rahman berkata, hasil serbuan itu polis menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik kedai telefon bimbit tersebut.

"Bersama lelaki berusia 20-an itu, kita merampas barangan seperti komputer riba, telefon bimbit dan pemacu pena yang dipercayai digunakan untuk melakukan muat naik video lucah kepada pelanggan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohd. Zulkarnain, serbuan tersebut dilakukan hasil maklumat daripada ruangan khidmat pesanan ringkas (SMS) Kosmo! yang dihantar oleh seorang pengirim dan disiarkan oleh Kosmo! pada 28 Disember lalu.

Guru kekal dipenjara 20 bulan rangsang murid


MAHKAMAH Tinggi Seremban semalam mengekalkan hukuman penjara 20 bulan terhadap Mohd. Harith yang didapati bersalah mencabul muridnya.


SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini semalam mengekalkan hukuman penjara 20 bulan terhadap seorang guru penolong kanan sebuah sekolah rendah di sini yang didapati bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap murid lelakinya tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Majistret telah membuat keputusan yang tepat dan menyeluruh.

Menurut Ahmad Nasfy, dalam kes tersebut ada saksi yang melihat kelakuan tertuduh selain pihak pendakwa mempunyai beberapa keterangan sokongan daripada saksi-saksi lain.

Tertuduh, Mohd. Harith Mohd. Nor, 42, didapati bersalah merangsang seorang murid lelaki yang ketika itu berusia 11 tahun untuk melakukan kelucahan melampau di dalam pejabatnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Wawasan Seremban 2 di sini pada November dan Disember 2007.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan sebatan jika bersabit kesalahan.

DBKL roboh 262 bilik pelacuran


BEBERAPA penguat kuasa DBKL merobohkan tempat pelacuran di Jalan Petaling, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 262 buah bilik kecil yang selama ini menjadi tempat untuk pelacur melayan pelanggan di Jalan Petaling dan Jalan Silang di sini dirobohkan semalam.

Operasi besar-besaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan bagi membasmi kegiatan pelacuran yang menjadikan dua kawasan itu sebagai sarang maksiat.

Timbalan Penguasa Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Tanda Usoh memberitahu, pihaknya telah melakukan operasi seumpama itu sebanyak sembilan kali, namun pelacur masih terus beroperasi di kawasan berkenaan.

Katanya, dalam operasi semalam, sebanyak 225 bilik yang dibina di dalam 10 premis bangunan di Jalan Petaling telah dimusnahkan manakala di Jalan Silang pula melibatkan 37 bilik di sebuah premis dua tingkat.

"Kita bertindak merobohkan semua penghadang bilik yang diperbuat daripada papan lapis. Pelacur tidak tinggal di situ sebaliknya menggunakan bilik-bilik itu sebagai lokasi pelacuran sahaja," katanya ketika ditemui selepas operasi itu di sini semalam.

Peniaga cedera ditetak 6 perompak


ABDUL Razak cedera di kepala dan tangan akibat ditetak penyamun di Kampung Pedas Hilir, Rembau semalam.


REMBAU - "Walaupun badan saya ditetak berkali-kali namun saya tetap kerahkan seluruh tenaga melawan enam perompak yang bersenjatakan parang.

"Namun, saya rebah dan tidak berdaya lagi kerana kehilangan darah yang banyak selain cedera di kepala, muka dan tangan kanan."

Itulah detik-detik cemas yang dialami seorang peniaga getah, Abdul Razak Ahmad, 56, yang menjadi mangsa rompak di kediamannya di Kampung Pedas Hilir di sini semalam.

Abdul Razak berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama isterinya sebelum terjaga akibat terdengar bunyi bising kira-kira pukul 3 pagi.

Katanya, dia yang mengesyaki sesuatu terus mencapai selaras senapang patah di dalam almari tetapi belum sempat dia mengisi peluru kumpulan penjenayah berkenaan terus masuk ke dalam biliknya.

Lubang maut tunggu mangsa


BAHAYA. Beginilah keadaan lubang berhampiran kawasan Pangsapuri Pandan Lakeview yang merisaukan penduduk Pangsapuri Pandan Lakeview.


AMPANG - Setiap hari kira-kira 3,000 penduduk Pangsapuri Pandan Lake View di sini tidur tidak lena kerana mengingatkan lubang besar berhampiran kawasan perumahan mereka.

Mereka bimbang kerana lubang yang berasal dari lubang kumbahan bersaiz seluas 46 meter persegi dan terletak di selekoh Jalan Perdana 5/1 itu hampir memakan mangsa baru-baru ini.

Presiden Persatuan Penduduk Pandan Perdana, Lim Ah Cai, 59, berkata, lubang itu pada mulanya kecil tetapi semakin hari ia semakin membesar.

"Keadaan lubang itu semakin besar sejak dua bulan lalu ekoran hujan lebat sehingga menyebabkan tanah di sekitar lubang mendap dan runtuh.

"Sebelum ini, ada kanak-kanak terjatuh tetapi nasib baik ia tidak melibatkan sebarang kematian. Lebih teruk, tanah runtuh di sekeliling kawasan tersebut menyebabkan kotak janakuasa TNB berhampiran tumbang, tiang lampu jalan senget dan pembetungan kumbahan perumahan di situ rosak," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Giant buka cawangan ke-144 di Lukut


RATUSAN pelanggan di Negeri Sembilan mengambil peluang membeli-belah sempena promosi hari pertama pembukaan pasar raya Giant cawangan Lukut semalam.


KUALA LUMPUR - GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (GCH Retail) telah mengembangkan operasinya dengan membuka cawangan pasar raya yang ke-144 di Lukut, Negeri Sembilan semalam.

Pengarah Pemasaran GCH Retail, Ho Mun Hao berkata, pasar raya Giant Lukut, yang berkeluasan 3,909 meter persegi itu menawarkan pelbagai rangkaian produk termasuk makanan segar, barangan keperluan harian, perkakas rumah, barangan elektrik dan pakaian.

"Pasar raya setinggi dua tingkat itu turut menempatkan 55 penyewa lain yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dan servis seperti barangan penjagaan kulit, butik pakaian, restoran, produk telekomunikasi dan perkhidmatan kewangan.

"Cawangan baru ini turut menawarkan 200 tempat letak kereta percuma untuk keselesaan dan kemudahan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan bersempena perasmian pembukaan cawangan itu di sini semalam.

Sensasi hiburan 2010


TIADA lagi hubungan ’teman tapi mesra’ antara Fahrin dan Linda.


TIDAK sah dunia glamor hiburan jika tiada elemen sensasi dan kontroversi. Tahun 2010 yang sudah sampai ke penghujungnya juga tiada pengecualian.

Sepanjang tempoh 365 hari tahun 2010 ini, sebilangan figura daripada kalangan karyawan hiburan tanah air muncul dengan tagline ‘sensasi dan kontroversi’.

Bukan hanya tercetus isu berebut cinta, bercerai-berai tetapi melarat kepada saman menyaman, terbabit dengan foto tidak senonoh di Internet, ditahan di penjara, malah ada yang mendakwa menjadi mangsa konspirasi.

Tirai kontroversi 2010 dibuka dengan kisah pasangan selebriti yang pernah mengakui mereka sekadar ‘teman tapi mesra’, Linda Onn dan Fahrin Ahmad yang kemudian mencetuskan episod ‘drama’ saman menyaman selepas hubungan mereka berakhir.

Selepas itu, umum dikejutkan dengan kisah Juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi yang turut terkena tempias apabila dikatakan berkahwin kali kedua dengan seorang gadis dari Temerloh, Pahang.

Begitu juga dengan pelakon terkenal, Erra Fazira yang tidak terkecuali digosipkan dengan kes cerai.


SAIFUL APEK tidak terkecuali meringkuk di lokap gara-gara dakwaan terbabit dengan penggunaan najis dadah.


Beberapa karyawan hiburan tanah air turut dirundung malang apabila terpaksa meringkuk dalam penjara termasuklah anak aktres Azean Irdawaty iaitu Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, vokalis kumpulan XPDC, Mael, aktor Badrul Muhayat, pelakon komedi popular Saiful Apek dan paling mengejutkan ialah penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Kosmo! paparkan sorotan figura dunia hiburan tempatan paling sensasi dan kontroversi sepanjang 2010.

Fahrin saman Linda Onn

PADA tarikh 23 Januari 2010, dunia hiburan tempatan kecoh apabila pelakon kacak berusia 31 tahun, Fahrin Ahmad nekad mahu menyaman bekas teman wanitanya, penyampai radio Linda Onn atas dakwaan memburukkan namanya dengan menuduh dirinya seorang lelaki kaki pukul.

Fahrin mendakwa, dia sangat kecewa apabila Linda, 33, membuat kenyataan bahawa dirinya panas baran dan cepat naik tangan sehingga memberi kesan buruk terhadap kerjayanya sebagai seorang pelakon dan duta produk.

Menurut Fahrin, situasi lebih memburukkan keadaan apabila Linda juga bersekongkol dengan pelakon Scha Al-Yahya yang juga pernah rapat dengan Fahrin untuk menabur fitnah ke atas dirinya.

Fahrin kemudian menarik kembali ugutan saman tersebut dan mahu menyelesaikannya di luar mahkamah selepas mendapat nasihat daripada Presiden Seniman, Harun Salim Bachik.




‘Drama’ Benjy ditahan polis

MENJADI sebuah kisah sensasi yang cukup mengejutkan apabila pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang merupakan anak kepada seniwati Azean Irdawaty ditahan polis kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah pada 12 Mac 2010.

Pelakon berkenaan bersama teman wanitanya ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penemuan sejumlah dadah di sebuah kondominium. Polis menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 dan 1.4 gram syabu bernilai hampir RM2,000 di kondominium tersebut.

‘Drama’ berlaku apabila Benjy yang dibebaskan secara jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 8 April 2010 ditahan semula lima minit sejurus pembayaran tersebut dilakukan.

Kali ini Benjy ditahan atas tuduhan memiliki syabu jenis metafetamin seberat 0.24 gram. Kesalahan itu didakwa dilakukan di APM, A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Persimpangan Jalan Segambut.

Kini Benjy ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor selama dua tahun setelah Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pelakon tersebut ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.


ADA segelintir pihak tidak berpuas hati dengan kemenangan Syamsul Yusof pada FFM23 dalam kategori Pengarah Terbaik.


Kecoh keputusan Festival Filem Malaysia ke-23

FESTIVAL Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) yang berlangsung pada 25 Oktober 2010 lalu membawa tuah kepada dua buah filem iaitu Magika yang meraih anugerah Filem Terbaik serta Syamsul Yusof,26, yang merangkul anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Namun ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan mengkritik keputusan malam tersebut. Paling lantang bersuara adalah pengarah Mamat Khalid kerana filemnya, Estet yang dijangka menang akhirnya tumpas kepada filem Magika arahan Edry Abdul Halim.

Lebih hangat lagi apabila Mamat juga mengancam untuk tidak lagi menyertai festival yang sama pada masa akan datang. Ujarnya, dia hanya akan menghantar penyertaan sekiranya panel juri diumumkan terlebih dahulu.

Pengasas Facebook berada di bar Bangkok


GAMBAR menunjukkan Mark Zuckerberg (kiri) tiba untuk menghadiri majlis perkahwinan Naib Presiden Facebook, Chris Cox di sebuah restoran di tengah Bangkok pada Rabu lalu.


BANGKOK - Pengasas laman sosial Facebook yang anggaran kekayaannya sebanyak AS$7 bilion (RM21.6 bilion), Mark Zuckerberg dilihat memasuki sebuah bar di Bangkok bersama seorang rakan wanita pada Isnin lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang peminat filem The Social Network, Nattawat Samattadol memberitahu bahawa dia melihat Zuckerberg memasuki pub itu dengan memakai baju T, seluar jean dan selipar.

Filem The Social Network mengisahkan kehidupan Zuckerberg semasa dia mencipta laman Facebook.

Nattawat berkata, dia terlebih dahulu mencari gambar Zuckerberg di laman Google bagi memastikan lelaki yang dilihatnya itu merupakan pengasas Facebook sebelum menegurnya dengan bertanya: "Adakah kamu Mark Zuckerberg?"

Zuckerberg menjawab: "Ya. Tetapi kenapa tempat ini dipenuhi dengan ramai orang?"

Menurut Nattawat, seorang wanita kemudian datang ke arah Zuckerberg dan memberitahu pengasas Facebook itu bahawa tempat duduk dalam bar tersebut sudah penuh kerana terdapat persembahan band Room 36.

Zuckerberg kemudian keluar dari bar tersebut bersama rakan wanitanya itu.

Dia turut menghadiri majlis perkahwinan Naib Presiden Facebook, Chris Cox dengan seorang wanita Thailand di sebuah restoran di tengah Bangkok pada Rabu lalu.

Cox berkahwin dengan Visra Vichit-Vadakan yang merupakan anak pengasas bersama pembekal perkhidmatan Internet, CS Loxinfo PCL.

Bapa Visra, Vivatvong memberitahu akhbar Thailand bahawa Zuckerberg meminta dia merahsiakan kedatangannya ke Bangkok.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Zuckerberg kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saya di Bangkok selama tiga hari. Kami tidak berbual berhubung perniagaan atau mengenai Facebook dan rangkaian sosial di Thailand semasa dia datang untuk menghadiri majlis perkahwinan," kata Vivatvong.

Menurutnya, Zuckerberg kelihatan seperti seorang lelaki yang mesra dan suka merendahkan diri.

"Dia tidak seperti yang digambarkan dalam filem The Social Network," katanya.

Selebriti Indonesia terpikat dengan bintang bola Malaysia


RAHMA AZHARI


JAKARTA - Bintang sinetron dan model Indonesia, Rahma Azhari sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dia mengakui terpikat dengan penyerang skuad bola sepak Malaysia yang dikenalinya sebagai Safee, lapor sebuah akhbar semalam.

Rahma, 29, atau nama sebenarnya, Rahma Syahidah Azhari, merupakan adik kepada aktres popular Indonesia, Ayu Azhari, 41.

Dia mencurahkan isi hatinya itu di akaun Twitter miliknya sebelum perlawanan akhir antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada Rabu lalu.

"Sasaran saya seterusnya ialah SAFEE…," katanya.

Penyerang Malaysia yang dimaksudkan oleh bintang sinetron itu dipercayai ialah Mohd. Safee Bin Mohd. Sali.

Rahma dalam komennya di Twitter memberitahu, dia mahu keluar menonton wayang bersama Safee.

Sebelum ini, Rahma telah beberapa kali mencetuskan kontroversi apabila gambarnya dalam keadaan intim dengan beberapa lelaki tersebar di Internet.

Jadi bapa pada usia 94 tahun


RAMAJIT Raghav duduk bersama isteri dan anaknya di sebuah kampung di bandar Kharkhoda, Haryana, India baru-baru ini.


NEW DELHI - Seorang lelaki berusia 94 tahun, Ramajit Raghav mendakwa menjadi bapa tertua di dunia selepas dia memperoleh seorang anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Shakantula pada bulan lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Raghav menetap di kampung Kharkhoda, Haryana yang terletak di utara India.

Dia berkata, anak lelakinya itu merupakan pemberian Tuhan kerana isterinya berumur dalam lingkungan awal 50-an.

Raghav menyimpan hasrat ingin mempunyai lebih ramai anak pada tahun depan.

Dia menjadi seorang ahli gusti semasa muda selain mendakwa masih bertenaga kerana diet yang diamalkannya.

"Diet harian saya ialah tiga liter susu, setengah kilogram badam selain setengah kilogram ghee (mentega)," katanya yang mendakwa berumur 100 tahun tetapi rekod pencen miliknya menunjukkan dia berusia 94 tahun.

Rekod bapa tertua di dunia ialah Nanu Ram dari India apabila dia memperoleh anak yang ke-22 semasa berusia 90 tahun pada 2007.

Lelaki guna busur panah semasa merompak


RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan seorang perompak mengacukan busur panah ke arah pemilik sebuah kedai (kiri) di Plymouth, Britain kelmarin.


PLYMOUTH - Rakaman kamera video litar tertutup (CCTV) menunjukkan detik-detik cemas salah seorang perompak yang mengacukan busur panah ke arah seorang pemilik sebuah kedai, lapor sebuah akhbar semalam.

"Mereka mahukan wang dari mesin tunai dan rokok di belakang kaunter kedai itu," kata seorang jurucakap polis tempatan.

Seorang rakannya itu mengambil sejumlah wang tunai dan pelbagai jenis rokok dalam kes rompakan pada waktu pagi selepas kedai tersebut dibuka di sini, kelmarin.

"Pemilik kedai itu hanya mengalami cedera ringan," kata seorang jurucakap polis tempatan.

Kedua-dua perompak itu tidak memakai topeng dan polis menyifatkan mereka sebagai amat bahaya kepada orang awam.

Model paling kurus meninggal dunia


ISABELLE CARO


PARIS - Seorang model yang berkempen menentang anoreksia dengan beraksi bogel untuk satu kempen pengiklanan meninggal dunia semasa berumur 28 tahun, lapor akhbar Le Parisien semalam.

Model itu, Isabelle Caro yang terlibat dalam kempen No Anorexia pada 2007 yang diharamkan di Itali meninggal dunia pada 17 November lalu.

Namun, pihak keluarganya meminta kematian anak mereka dirahsiakan.

Punca kematian masih belum diketahui tetapi Caro menderita kerana anoreksia sejak berumur 12 tahun.

Menurut rakannya, seorang penyanyi Switzerland, Vincent Bigler, Caro sering ke hospital kerana masalah pernafasan.

Model itu mengejutkan industri fesyen apabila dia berbogel dengan menunjukkan rangka tubuhnya dalam satu kempen anjuran jurugambar Itali, Oliviero Toscani.

Suami ancam sebar video seks isteri


LILY SHANG


NEW YORK - Seorang suami, David Gleen Rucker membuat ancaman untuk mendedahkan video seks isterinya, Lily Shang di Internet jika mereka gagal mencapai kata sepakat berhubung pembahagian harta perceraian, lapor sebuah akhbar semalam.

Pasangan itu berkahwin di Toronto, Kanada pada April tahun lalu namun Rucker memfailkan perceraian pada Oktober lalu.

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan di sebuah mahkamah di Manhattan di sini, Lily menyatakan suaminya enggan menyerahkan rakaman video itu atau memusnahkannya.

Menurut dokumen tersebut, suami Lily membuat ancaman itu jika dia tidak bersetuju dengan penyelesaian kewangan dalam pembahagian harta perceraian.

Rucker menyatakan dia akan membuat suntingan supaya pengguna Internet cuma dapat melihat aksi isterinya melakukan perlakuan seks.

Terjun guna sayap berteknologi tinggi


JEB CORLISS (dalam bulatan) terbang seperti Batman apabila dia menggunakan sayap berteknologi tinggi dari sebuah gunung di Switzerland baru-baru ini.


STOCKHOLM, Sweden - Seorang penerjun profesional, Jeb Corliss terbang seperti watak Batman dengan menggunakan sayap berteknologi tinggi pada ketinggian 1,676 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Corliss yang berumur 34 tahun dari California melakukan aksi itu dengan kelajuan 144.84 kilometer sejam di sebuah lokasi di Switzerland baru-baru ini.

Dia mendarat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Corliss pernah terjun dari menara Eiffel di Paris, Perancis dan dari gunung Corcovado di Taman Negara Tijuca yang menempatkan patung Christ the Redeemer di Rio de Janeiro, Brazil pada ketinggian 731.52 meter.

Kenangan tahun 2010




SEPERTI tahun-tahun yang sebelumnya, tahun 2010 turut diwarnai dengan pelbagai suka-duka, pencapaian dan kontroversi. Dalam senarai peristiwa yang mencatatkan lipatan sejarah tersendiri, masyarakat dunia pada amnya dan rakyat Malaysia khususnya tidak dapat melupakan kekejaman pembunuhan jutawan kosmetik tempatan terkemuka, Datuk Sosilawati Lawiya, 47.


ALLAHYARHAM Sosilawati dan tiga rakannya menjadi mangsa pembunuhan paling menyayat hati pada 2010.


Ketika umat Islam di seluruh dunia bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri, rakyat Malaysia pula dikejutkan dengan berita kematian usahawan itu.

Sosilawati bersama tiga orang rakannya, Kamarudin Shansudin (pemandunya), 44, Noorhisham Mohammad (pegawai bank CIMB), 38, dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, menjadi mangsa kepada golongan bernafsu tamak haloba.

Keempat-empat individu itu dipercayai dipukul dan dibakar di atas kepingan zink sebelum abu mereka dilupuskan dalam sungai berdekatan ladang Gadong di Tanjong Sepat, Banting, Selangor.

Ramai yang menyifatkan kematian Sosilawati antara pembunuhan paling sadis dalam sejarah jenayah di Malaysia sepanjang dekad ini. Tidak kurang juga ada yang menyamakan pembunuhan ngeri jelitawan dari Batu Pahat, Johor itu dengan tragedi pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam, Datuk Mazlan Idris kira-kira 17 tahun lalu.

Berikutan pembongkaran kes itu, lima orang suspek termasuk seorang peguam, N. Pathmanabhan, 41, dihadapkan ke Mahkamah Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik itu dengan tiga rakannya.

Nahas bas terburuk


SERAMAI 27 orang menjadi korban dalam kemalangan melibatkan bas persiaran di Kilometer 15 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.


NEGARA terus disajikan dengan berita nahas jalan raya melibatkan bas ekspres pada tahun ini.

Tragedi nahas bas persiaran di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai, Cameron Highlands bukan sahaja menjadi penutup siri kemalangan bas tahun ini, bahkan menjadi nahas terburuk dalam sejarah kemalangan bas tanah air.

Kegembiraan sekumpulan 35 orang penumpang yang rata-ratanya dari Hatyai, Thailand bertukar tragedi apabila bas yang menuju ke Kuala Lumpur dari Cameron Highlands itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik.

Akibat perlanggaran itu, 27 orang mangsa termasuk dua warga Malaysia, Omar Shahidan (pemandu bas), 48 dan Soontorn Kian (pemandu pelancong), 38, terkorban.

Seorang kakitangan bilik mayat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dipetik berkata: “Kami belum pernah menerima sebegitu banyak mayat dalam masa sehari.”

Mavi Marmara ditawan Israel


KAPAL Mavi Marmara yang membawa sukarelawan Malaysia ditawan tentera Israel pada pukul 4.20 pagi.


DALAM kejadian pukul 4.20 pagi 31 Mei lalu, kapal Mavi Marmara yang berada di perairan antarabangsa menghala ke Gaza dikepung dari segenap penjuru oleh tentera Israel.

Kapal yang memuatkan lebih 500 sukarelawan Flotila Pembebasan Gaza itu dikepung oleh tiga helikopter, 19 bot dan lapan kapal laut tentera Israel.

Mavi Marmara mendahului lapan kapal lain dalam misi menghantar 10,000 tan makanan, bahan binaan, bekalan sekolah dan bantuan perubatan ke Gaza.

Seramai 12 rakyat Malaysia turut berada di dalam kapal Mavi Marmara.

Antara rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal Mavi Marmara ketika serangan itu ialah wartawan dan jurukamera Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsulkamal Abdul Latip.

Amarah alam


FENOMENA La Nina menyebabkan Kedah dan Perlis hampir lumpuh apabila berdepan banjir teruk bulan lalu.


BANJIR besar yang melanda Kedah dan Perlis dikatakan berpunca daripada fenomena La Nina selain angin kencang dan hujan lebat yang membawa hujan melebihi keadaan biasa bagi tempoh empat bulan bermula November.

Banjir itu yang menenggelamkan puluhan ribu rumah penduduk termasuk rumah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan yang terburuk sejak lima tahun lalu.

Di pentas antarabangsa pula, amukan alam lain termasuklah banjir besar dalam sejarah Pakistan selain bencana Gunung Merapi di Indonesia.

Asal pokok jadi kraf




KRAFTANGAN Sarawak yang dahulunya hasil seni yang dibuat pada masa lapang, kini berubah situasi apabila pembuatannya dilakukan secara serius dan keunikannya mendapat perhatian hingga ke luar negara.

Bantuan daripada Kraftangan Malaysia dari segi prasarana, peralatan dan kelengkapan bengkel, bimbingan teknikal, rekaan baru dan promosi domestik juga banyak membantu pengusaha kraf tangan dalam usaha mengekalkan warisan dan mengembangkan kraf tangan Sarawak ke pasaran yang lebih luas.

Perjalanan penulis ke negeri Sarawak baru-baru ini, menemui pengalaman yang ternyata memberi persepsi baru terhadap kraf tangan di negeri itu yang dilihat sememangnya unik dan mempunyai potensi besar di pasaran.

Ada antara hasil kra ftangan Sarawak dari kalangan 30 etnik kaum itu membawa penghayatan yang baru dan segar untuk menarik minat pengumpul hasil kraf tangan.

Seorang pengusaha anyaman pandan, Missiah Dan, 53, membuktikan kerja tangannya mampu menembusi pasaran Qatar, di Timur Tengah.

Ketika ditemui di kampungnya dekat Kampung Rangawan, Sadong Jaya, Samarahan, beliau baru sahaja menyiapkan alas meja untuk pelanggan dari negara itu.


PELBAGAI hasil hutan Malaysia boleh dijadikan produk kraf yang unik dan berkualiti. - Gambar hiasan


“Saya siapkan alas meja ini sejak tiga bulan yang lepas, dan ia akan dihantar terus ke Qatar melalui pos,” katanya.

Usaha Missiah mendapat bantuan prasarana, bimbingan teknikal, rekaan baru serta promosi domestik daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.

Selain alas meja itu, beliau juga menyiapkan 12 keping alas pinggan dan alas meja bersaiz sederhana untuk pelanggan yang sama.

Menurut Missiah, menembusi pasaran luar adalah bonus dan bukti produk warisan negara menarik dan berkualiti.

“Setakat ini, urusan promosi produk yang dibantu pihak Kraftangan Malaysia menerima banyak tempahan dari organisasi dan juga persatuan,” katanya.

Anyaman pandan

Missiah berkata, para pekerjanya diambil dari empat buah kampung di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang membantu membuat anyaman pandan.

“Setakat ini ada enam pekerja tetap di bengkel, tetapi kalau nak diikutkan, ada kira-kira 30 orang yang membantu membuat anyaman di rumah sendiri di bawah program SDSI daerah.

“Dalam masa satu bulan, kami boleh siapkan sehingga 200 unit beg duit, dan juga kira-kira lima anyaman keping yang memerlukan kira-kira 20 kilogram daun pandan,” katanya.

Setakat ini mereka mengeluarkan lebih 10 jenis produk termasuk kusyen, beg bimbit, tikar hamparan, alas pinggan dan meja.

Beliau turut mengakui bidang tersebut memerlukan semangat yang lebih daripada bakat.

“Perkara ini penting, terutama dalam memilih pekerja bengkel,” katanya.

Usahawan itu menambah, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum proses anyaman yang sebenar bermula.

“Mula-mula, daun pandan yang hendak digunakan harus dipilih daripada yang berusia setahun lebih. Duri-duri akan dibuang bagi mendapatkan saiz yang dikehendaki.


EDWIN berterima kasih kepada pihak Kraftangan Sarawak yang banyak membantunya dari segi prasarana, promosi domestik dan rekaan baru sejak menceburi bidang kraf tangan secara serius sejak 20 tahun lalu.


“Kemudian ia perlu direbus selama lima minit sebelum diangkat dan disejukkan dengan merendamkannya semalaman,” terang Missiah yang menambah bahawa keesokannya, daun itu perlu dicuci dan dijemur sehingga kering dan bergulung

Untuk meluruskannya semula, Missiah berkata, ia perlu diembun atau disejukkan semalaman sebelum diluruskan menggunakan buluh atau besi.

Setakat proses itu sahaja, tempoh sehingga tiga hingga empat hari dihabiskan namun itu belum lagi mengambil kira proses pencelupan bagi tujuan mewarna dan menganyam.

Sementara proses pencelupan mengambil masa sehingga tiga hari, proses anyaman hanya akan berlaku pada hari ketujuh.

Kerja anyaman juga bukan sesuatu yang mudah. Ia juga memerlukan masa yang panjang agar tumpuan dapat diberikan demi memastikan ia berkualiti.

Menurut beliau, anyaman pandan boleh dikatakan produk kedua yang mendapat perhatian ramai kerana produknya yang lebih murah malah tahan lama.

“Jika tidak terkena air, ia boleh tahan bertahun-tahun lamanya. Produk anyaman paling berkualiti adalah yang dibuat daripada daun bemban. Bagaimanapun, kos untuk membuatnya jauh lebih mahal, jadi banyak yang memilih daun pandan,” katanya.

Sementara itu, Edwin Sijan, 46, meneruskan seni ukiran buluh warisan Bidayuh dan walaupun banyak produk kontemporari baru yang direka, setiap satu produk itu mesti mempunyai motif yang sama.

“Sekarang ada produk baru seperti lampu meja, tabung dan Bilah lima kaki dan empat kaki, tetapi setiap produk itu mesti ada corak daun kemijing,” katanya yang menjadi penyambung generasi ketiga keluarganya.


USAHAWAN kraf rimba, Misiah (tengah) bergambar bersama para pembantunya dan hasil produk anyaman mereka yang diperbuat daripada daun pandan.


Promosi dan rekaan

Kraftangan Sarawak membantu beliau dari segi prasarana, promosi domestik dan rekaan baru sejak menceburi bidang kraf tangan secara serius 20 tahun lepas dan mendapati bidang itu semakin mendapat perhatian kerana keunikannya.

“Penjualan sekarang bagus, dan untuk pasaran masa depan, saya rasa keadaan akan menjadi semakin baik. Ini berikutan produk yang kami buat adalah terhad dan tidak banyak lagi produk yang mempunyai corak asli Bidayuh,” katanya.

Beliau berkata, buluh Baloi yang digunakan untuk dijadikan produk kraf hanya terdapat di Kampung Pichin, Serian dan ia dipilih kerana keunikannya.

“Buluh ini berkilat dan mudah untuk diukir. Ia tahan agak lama. Jika dijaga dengan baik, boleh tahan sehingga lima tahun.

“Buluh yang boleh digunakan haruslah dalam lingkungan empat ke lima bulan. Setelah diambil, ia harus direndam selama satu minggu dan kemudian perlu dikeringkan lagi supaya ia tahan lama,” katanya yang menambah, proses berikutnya adalah mengukir yang memerlukan sekurang-kurangnya dua hari.

Tambah Edwin, disebabkan keunikan dan produknya yang berkualiti, ramai yang berminat untuk menempah termasuk daripada warga Jepun.

“Sayangnya, kuantiti pengeluaran masih terhad,” katanya.

Edwin memberitahu, produk kraf berasaskan buluh paling diminati para pelancong asing. Namun, produk itu kebanyakannya tidak dapat dieksport kerana faktor serangan serangga.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan penjualan, dan pada masa depan saya harap dapat merealisasikan impian untuk meluaskan lagi pasaran,” katanya.

Thursday, December 30, 2010

Sejarah tercipta

DETIK KERAMAT...Safiq Rahim  (kanan) menjulang   Piala Suzuki AFF 2010 selepas  mengalahkan Indonesia  di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
DETIK KERAMAT...Safiq Rahim (kanan) menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas mengalahkan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
CEKAP...penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan kubunya daripada ditembusi penyerang Indonesia, semalam.
CEKAP...penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan kubunya daripada ditembusi penyerang Indonesia, semalam.

MALAYSIA mengesahkan status sebagai ‘Raja Asia Tenggara’ apabila dinobatkan juara baru Piala Suzuki AFF edisi kelapan apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.

Kejayaan ini membolehkan Malaysia mencipta sejarah meraih kejuaraan kali pertama Piala AFF Suzuki sepanjang 14 tahun kejohanan ini mula dilangsungkan serta menjadi pasukan keempat bergelar juara selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Skuad Harimau Malaya yang turun dengan bekalan tiga gol pada aksi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno nyata tidak gentar dengan sorakan kira-kira 95,000 penyokong Sang Garuda di dalam stadium.

Mereka sebaliknya turun dengan penuh bersemangat dan bijak mengawal permainan bagi mengekalkan kelebihan tiga gol yang dimiliki hasil kemenangan di perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Ahad lalu.


Separuh masa pertama memang mendebarkan untuk jutaan rakyat Malaysia apabila Indonesia yang turun untuk mencari jaringan besar melancarkan serangan sejak minit pertama perlawanan lagi dengan sokongan kira-kira 200,000 penyokong di luar dan di dalam stadium.Gandingan Cristian Gonzales dan Irfan Haarys Bachdim nyata menggugat apabila gandingan dua ''pemain asing' itu kerap kali menguji gawang Malaysia yang dikawal rapi Khairul Fahmi Che Mat.

Serangan bertali arus Indonesia itu akhirnya membuahkan hasil dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Australia, Peter Daniel Green selepas pemain pertahanan kanan, Mohd Sabre Mat Abu tersentuh bola di dalam kotak penalti.
Namun kecemerlangan Khairul Fahmi menafikan gol apabila menangkap kemas sepakan kapten Indonesia, Firman Utina.

Malah penjaga gol dari Kelantan itu berjaya menggagalkan beberapa percubaan lawan di separuh masa kedua walaupun 'diserang dengan laser' oleh penyokong Indonesia ketika bersedia untuk menghadapi sepakan sudut dan percuma pada 10 minit pertama.

Malaysia, turun dengan jersi biru dan berseluar hitam bagaimanapun berjaya bertahan sepanjang 45 minit pertama walaupun hampir keseluruhan permainan dikuasai lawan yang tidak mengenal erti putus asa menyerang Malaysia dengan sekurang-kurang 10 percubaan berbahaya dilancarkan ke kubu negara.

Ia bagaimanapun dinafikan dengan kecekapan Khairul Fahmi serta persefahaman yang tinggi dikalangan pemain pertahanan yang diketuai oleh dua pemain muda, Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Alfred Riedl terus mengasak namun usaha mereka itu memakan diri apabila melalui satu serangan balas Malaysia menjaringkan gol melalui rembatan kencang Mohd Safee Sali pada minit ke-53 untuk gol kelimanya pada kejohanan ini untuk menceriakan kira-kira 500 penyokong Harimau Malaya yang hadir di Jakarta.

Gol itu juga mengesahkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol meninggalkan ayam tambatan Indonesia Gonzales yang hanya mampu menjaringkan tiga gol.

Semakin terdesak untuk menjaringkan gol, Indonesia melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan pemain berdarah kacukan Indonesia-Belanda, Irfan Haarys Bachdim dengan memasukkan bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas dan Eka Ramdani yang menggantikan kapten pasukan, Firman Utina.

Ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal bertindak balas dengan segera apabila mengeluarkan pemain tengah, Amar Rohidan untuk digantikan dengan pemain pertahanan, Mohd Razman Roslan. untuk menambahkan kesukaran Sang Garuda yang perlu mencari sekurang-kurangnya lima gol.

Namun usaha tidak mengenal putus asa akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan pemain pertahanan, Mohammad Nasuha pada minit ke-71 menewaskan Khairul Fahmi untuk menggamatkan stadium. dengan sorakan penyokong Sang Garuda serta letusan bom asap.

Muhammad Ridwan menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-87 untuk keputusan 2-1 itu dan kekal sehingga wisel penamat ditiup bagi menobatkan Malaysia sebagai juara baru Piala AFF Suzuki 2010.

Ekin Jalani Rawatan Tradisional Untuk Dapat Anak

Pasangan ini memberi tempoh 6 tahun lagi untuk mengambil anak angkat

KUALA LUMPUR: Isteri kepada penyanyi popular Mawi, Nora' Asikin Rahmat atau Ekin, 30, memberitahu masih belum terdesak untuk menggunakan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) dalam usahanya untuk mendapatkan zuriat.

Jelasnya, mereka masih terus berusaha untuk mendapatkan cahaya mata dengan menggunakan kaedah tradisional.

“Setakat ini saya memang sedang berusaha untuk mengandung tetapi melalui rawatan tradisional sahaja seperti urut tradisional dan mengambil ubat-ubatan berasaskan herba.

“Namun begitu untuk melakukan kaedah tabung uji itu kami belum bersedia. Saya banyak dengar cerita tentang rawatan tersebut sangat sakit,” ujarnya yang pernah mengalamni keguguran sebanyak dua kali sejak berkahwin.

Pasangan yang bernikah pada 21 Disember 2008 itu juga memberi tempoh selama enam tahun untuk berusaha mendapatkan zuriat mereka sendiri.

“Kalau boleh memang saya ingin anak sekurang-kurangnya seorang pun jadilah. Insya-Allah jika enam tahun lagi masih tiada rezeki kami akan mengambil anak angkat.

“Dalam tempoh tersebut kemungkin kami lebih bersedia, yalah untuk ambil anak angkat juga memerlukan tanggung jawab yang berat sebab kita membela anak orang lain,” ujarnya.

Jelasnya, 20 Disember lalu genap dua tahun dia melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia bersama suami tercinta biarpun belum dikurniakan cahaya mata.

“Saya bersyukur Mawi memahami keadaan ini dan dia juga sentiasa memberi semangat kepada saya. Kami menyerahkan kepada Allah mengenai anak,” ujarnya.

SOROTAN 2010: Panas & Kontroversi Santapan Anak Seni

PETALING JAYA: Kalau tidak ada sesuatu yang hangat dan penuh kontroversi, dunia seni tentu sekali tidak akan bersemi.

Tahun 2010 mencatatkan banyak kisah-kisah panas artis seperti berikut:

DADAH

Artis: Benjy (Khaeryll Benjamin Ibrahim)Tarikh: 11 Mac 2010

Penangkapan anak lelaki seniwati Azean Irdawaty, Benjy, 32, mengejutkan ramai pihak. Pelakon itu ditahan reman berhubung dakwaan penemuan dadah yang bernilai RM652,000 di sebuah kondominium.

Pertuduhan tambahan juga dikenakan terhadap Benjy kerana memiliki dadah jenis methamphetamine juga dikenali "syabu" dan memasukkan dadah ke dalam badannya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada 8.24 pagi, 15 Mac lepas.

Pelakon itu dibebaskan selepas Azean membayar wang jaminan sebanyak RM2,000 namun Benjy ditahan semula kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah.

Pada 8 April lalu, Benjy menfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi supaya dia dibebaskan segera daripada ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menolak permohonan pelakon itu dan dia ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor selama dua tahun mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.

Artis: Saiful Apek (Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff)Tarikh: 13 Jun 2010

Pelawak Saiful, 41, Apek ditahan bersama lima rakannya ekoran dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja di sebuah apartmen di Subang Jaya, Selangor.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Apek dibebaskan dengan jaminan polis. Akibat tertekan dengan kejadian yang berlaku, Apek hampir membuat keputusan untuk mengundur diri daripada karier seninya.

Artis: Ameng Spring (Wan Aminuddin Wan Ismail)Tarikh: 12 Mei 2010

Penyanyi kumpulan Spring, Ameng dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, pada awal bulan April. Dia dijatuhkan hukuman dua bulan penjara atau denda RM 4,000.

Ameng membela dirinya dengan menyatakan bahawa dia menjadi mangsa keadaan oleh bekas isterinya, pelakon A.Aida dan suami, sebagai konspirasi.

Kenyataan Ameng membuatkan A.Aida berasa bengang dan dia telah membuka rahsia Ameng yang kerap mengugut pelakon itu. Lantas, A.Aida telah memfailkan kes saman malu terhadap Ameng

SAMAN

Artis: Fahrin AhmadTarikh: 26 Januari 2010

Kenyataan bekas kekasih Fahrin Ahmad iaitu Linda Onn yang menuduhnya sebagai kaki pukul, membuatkan Fahrin mengambil keputusan untuk menyaman deejay radio Suria FM itu jika dia tidak membuat kenyataan memohon maaf dalam tempoh masa tujuh hari yang ditetapkan.

Aktor bertubuh sasa itu telah membuat sidang akhbar berkaitan isu tersebut dan telah mengejutkan media yang hadir apabila dia telah menangis kerana terkilan dengan kejadian yang berlaku.

Bagaimanapun, Linda enggan meminta maaf dan akan tidak kisah jika dirinya disaman dan bersedia untuk bertemu dengan aktor tersebut di mahkamah.

Setelah mendengar nasihat daripada para penggiat seni, Fahrin menarik balik kes tersebut.

Artis: Nabil Raja Lawak (Ahmad Nabil Ahmad)Tarikh: 24 Februari 2010

Pelawak Nabil, 27, hampir disaman kerana mencemuh filem lakonannya, Lu Pikirlah Sendiri The Movie.

Penerbit filem tersebut, SDAF Pictures ingin menyaman Nabil sebanyak RM2 juta melalui syarikat guaman Hing & Alvin Advocate & Solicitor

Kes saman tersebut ditarik balik atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

KHALWAT

Artis: Aman ShahTarikh: 16 November 2010

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cinta Tak Seindah Yang Diucapkan, Aman Shah, telah ditangkap khalwat bersama pasangannya, iaitu seorang janda anak dua di Presint 15, Putrajaya. Ketika ditangkap, Aman Shah memberikan alasan mengunjungi wanita tersebut sempena Hari Raya Aidilfitri.

Penyanyi itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat dan minta dibicarakan. Manakala, pihak Jabatan Agama islam Wilayah (Jawi) dan pendakwa raya telah bersedia mengemukakan fakta yang berkaitan dengan kes khalwat ini dan akan dibicarakan pada Januari tahun depan.

MASALAH RUMAH TANGGA

Artis: Rita RudainiTarikh: Sejak Februari 2008 hingga sekarang

Kisah masalah rumahtangga pelakon Rita Rudaini, 32, dan bintang bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak,23, tidak pernah surut sejak pasangan itu berkahwin di Songkhla, Thailand.

Rita menjelaskan bahawa pergolakan rumahtangganya berlaku akibat campur tangan pihak ketiga iaitu keluarga Aidil sendiri yang kononnya cuba meleraikan ikatan perkahwinan mereka.

Hal ini membuatkan keluarga Aidil tidak senang dengan kenyataan Rita dan memberitahu sebenarnya Rita yang enggan berbaik semula dengan keluarga tersebut.

Kemudian Aidil menfailkan dua tuntuan iaitu hak penjagaan anak sulung mereka, Aidit Rayyan Rizqin dan perintah isteri kembali taat (nusyuk). Tindakan Aidil yang tidak dijangka itu membuatkan Rita terkilan dengan perbuatan suaminya itu.

Sehingga kini, pasangan itu belum menemui penyelesaian.

Artis: Jimmy Shanley (Jimmy Shanley Norjahan Saleh)Tarikh: 17 Disember 2010

Rumah tangga pengacara Jimmy Shanley,30, yang dibina dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy,24, semakin rapuh apabila kedua-dua mereka dikatakan sudah tidak tinggal serumah lagi.

Pasangan tersebut mengambil pendekatan itu apabila berlaku masalah dalam rumah tangga mereka. Difahamkan buat masa ini Jimmy tinggal di rumahnya di Subang Jaya manakala Nurshuhaila Eliani tinggal dengan keluarganya di Sungai Buloh, Selangor dan pasangan tersebut dikatakan dalam usaha untuk menyelamatkan rumah tangga itu mereka.

Jimmy dan Suhaila turut mendapatkan khidmat kaunseling bagi memulihkan keadaan tetapi setakat ini usaha tersebut tidak mencapai apa-apa perkembangan positif.

GADUH

Artis: Ammar Alfian AzizTarikh: 12 Mac 2010

Pelakon Tari Tirana, Ammar, meluahkan rasa tidak puas hatinya di laman sosial Facebook pada Jumaat, 5 Februari 2010, dengan melemparkan kata-kata kesat dan ugutan bunuh kepada wartawan hiburan Malaysia di Facebook.

Ammar tidak berpuas hati dengan sikap jurugambar yang meminta kekasih hatinya, Puteri Sarah Liyana bergambar bersama Nabil semasa preview filem Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Keberanian Ammar akhirnya memakan diri apabila dia diboikot oleh wartawan hiburan.

Setelah diberi kaunseling oleh aktor Zed Zaidi selaku Biro Seniman Muda, artis bermasalah itu akhirnya akur dengan kesilapannya dan menuntut maaf kepada wartawan hiburan melalui sebuah sidang akhbar khas yang bertempat di Dewan Kelantan, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Artis: Johan Raja Lawak (Mohd.Yazid Lim Mohamad Aziz)Tarikh: 13 Mei 2010

Pelawak, Johan Raja Lawak, 26, cedera di muka sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dibaling dengan gelas kaca oleh seorang pengarah drama, Javerd Nizar dalam satu pertengkaran di sebuah restoran di Taman Sri Pulai, Sikamat, Seremban.

Kejadian itu berlaku sewaktu Johan dan Javerd sedang berbincang mengenai sebuah projek drama yang membabitkan mereka berdua dan bagaimanapun ia bertukar menjadi sebuah pertelingkahan.

Tindakan mengejut Javerd yang membaling gelas tepat ke muka Johan memebuatkan pelawak itu mengambil tindakan menuntut ganti rugi RM1 juta dan Javerd dituntut agar meminta maaf secara terbuka.

Bagaimanapun Javerd telah mendiamkan diri dan Johan nekad untuk meneruskan saman terhadap pengarah itu.

Artis: Erma FatimaTarikh: 23 Oktober 2010

Penulis buku kisah Natrah, Fatini Yaacob dikatakan kurang menyukai karya pengarah Erma Fatima, 40, bagi pementasan teater Natrah tahun lalu.

Fatini tidak suka apabila Erma telah menonjolkan salib besar dalam beberapa babak pada teater tersebut dan ia dikatakan agak negatif untuk ditonton umum.

Kerana menerima kritikan berterusan, Erma hampir menarik diri daripada mengarahkan musim kedua teater tersebut dan kenyataan itu mengejutkan para pelakon yang sedang dalam latihan serta pihak Istana Budaya.

Selepas beberapa hari, pengarah itu menyedari dia tidak patut membiarkan pihak produksinya terkapai-kapai kerana tindakan yang dibuat itu.

CINTA/ KAHWIN

Artis: Zizie EzetteTarikh: 20 April 2010

Selepas kontroversi perkahwinan rahsia aktres Zizie Ezette dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, pada tahun lalu, pasangan itu menyambung kontroversi mereka apabila kedua-dua mereka mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Gombak Timur kerana berpoligami tanpa izin mahkamah.

Bagaimanapun, pasangan itu hanya dikenakan bayaran denda oleh pihak mahkamah.

Artis: Nabil/ Irma Hasmi/ UqashaTarikh: Oktober 2010

Setelah dua tahun menyulam cinta, aktres Irma Hasmie nekad membuat keputusan untuk memutuskan perhubungannya dengan pelawak Nabil akibat kecurangan Nabil yang berjaya dihidu Irma.

Kemudian, selepas beberapa hari kenyataan putus cinta Irma, muncul pula gambar-gambar mesra Nabil dan Uqasha yang tersebar di internet termasuklah gambar bercumbuan yang dikatakan mirip wajah mereka.

Bagaimanapun Nabil menegaskan bahawa, Uqasha tidak ada kaitan langsung dengan masalahnya dengan Irma. Sebaliknya Uqasha merupakan kenalan baru Nabil.

Artis: Fasha SandhaTarikh: 1 Julai 2010

Aktres kontroversi, Fasha Sandha, 26, akhirnya mengaku bercinta dengan bekas suami pelakon popular, Nora Danish iaitu Toh Muda Rizal Ashram Ramli pada sidang akhbar drama bersiri Duyong Aridinata.

Pasangan itu mula menjadi pasangan kekasih selepas peristiwa Rizal atau dengan panggilan nama Jejai membuat kejutan dengan datang ke set penggambarannya di Pulau Lang Tengah, Terengganu menaiki helikopter pada 17 Mei 2010.

Pengakuan itu diumumkan selepas Jejai dikatakan menerima gangguan SMS daripada aktres Tiz Zaqyah yang mengajaknya keluar sekitar jam 4 pagi.

Perselisihan faham antara Fasha dan Tiz dapat dihidu pihak media selepas Fasha menyuarakan rasa tidak puas hatinya itu di laman Twitter miliknya.

Artis: Ayu OIAM (Norayu Damit)Tarikh: 23 April 2010

Juara One In A Million (OIAM) kedua, Ayu, 21, mengaku telah berkahwin dengan seorang duda, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 23, pada awal tahun lalu dan kini telah dikurniakan seorang cahaya mata, Syed Nashrul Haikal.

Kehilangannya hampir setahun dari industri hiburan tanah air dikatakan Ayu hamil anak luar nikah tetapi Ayu menjelaskan dia senyap daripada kariernya kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan anaknya.

FILEM/TEATER

Artis: Dr. Rozmey (Datuk Dr Che Rozmey Che Din)Tarikh: Awal tahun 2010

Sejak kontroversi filem pertama penerbit filem 2 Alam, Dr. Rozmey, 42, yang dikatakan siap separuh jalan gara-gara penyingkiran pengarahnya, Hairie Othman dan digantikan dengan pengarah lain, ada saja kenyataan tidak logik yang dibuat oleh Dr. Rozmey yang juga merupakan tauke produk kurus badan, Jus Mate.

Pada mulanya penerbit itu meletakkan sasaran luar biasa terhadap filem sulungnya, 2 Alam untuk mencapai kutipan sebanyak RM12 juta.

Malah dia turut mengatakan bahawa dia tidak memerlukan Finas untuk menayangkan filemnya itu di pawagam. Bagaimanapun dia terpaksa akur dengan segala prosedur yang telah ditetapkan oleh Finas tentang hal-hal berkaitan dengan wajib tayang.

Kemudian, Dr Rozmey menukar sasarannya bahawa filem sulungnya itu akan berjaya meraih kutipan sebanyak RM40 juta.

Namun, selepas tayangan 2 Alam bermula dari 18 November lalu, kutipan filem tersebut hanya mampu mencapai RM430,000 dan sejak itu, Dr rozmey terus mendiamkan diri.

Artis: Fauziah NawiTarikh: 28 Sepetember 2010

Filem kisah hidup primadona Zaiton Sameon berjudul Zaiton-Ceritaku arahan Fauziah Nawi yang sudah siap penggambarannya dikatakan tidak berkualiti dan gagal memenuhi kriteria sesebuah filem oleh penerbit filem tersebut, Burhanuddin Md Radzi.

Pengarah Urusan Bruang Filem Sdn Bhd memberitahu dia kecewa dengan mutu pengarahan Fauziah Nawi (gambar) dan berhasrat melakukan penggambaran semula keseluruhan filem berkenaan.

Bagaimanapun, Fauziah terus menyiapkan suntingan filem Zaiton-Ceritaku biarpun didakwa tidak berkualiti oleh penerbitnya

Artis: Zizan NinTarikh: 10 Disember 2010

Pelakon Zizan Nin tidak ditawarkan menyertai pementasan teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) musim kedua selepas pihak pengurusannya dikatakan menuntut bayaran yang tidak munasabah iaitu sebanyak RM40,000 untuk membawa watak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penerbit teater muzikal itu, Siti Rohayah Attan berkata, pihaknya terkejut apabila syarikat pengurusan artis tersebut, Aquila Emas, meminta bayaran sedemikian yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Zizan, Aquila Emas Sdn Bhd, memberi alasan pihaknya meminta bayaran setinggi itu kerana mahu menolak tawaran itu atas beberapa sebab.

Selain itu, pihak produksi teater muzikal itu mengeksploitasi Zizan dengan menjual poster, cekera padat lagu dan buku autograf teater yang pertama tanpa memberikan apa-apa royalti kepada pelakon itu.

Selain kontroversi dan kisah panas, dunia hiburan tidak kurang juga dihujani dengan pencapaian yang membanggakan di kalangan artis. Ikuti pencapaian dan kejayaan mereka sepanjang 2010 dalam mStar Online esok.

Gambar Cium Tersebar, Julie Woon Beri Penjelasan

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Julie Woon, 26, (gambar) menolak tuduhan kononnya dia mengamalkan hubungan sejenis lesbian berikutan penyebaran gambarnya sedang bercium dengan seorang wanita di internet.

Mengaku wanita dalam gambar tersebut adalah dirinya, pengacara 8TV Quicky itu malu dengan penyebaran gambar tersebut dan menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Saya dapat tahu tentang gambar itu daripada rakan saya, Qi dan tak tahu siapa yang menyebarnya.

"Apa-apa pun diakui itu adalah saya dan gambar tersebut diambil ketika di zaman sekolah. Ia berlaku secara tidak langsung dan suka-suka sahaja bersama kawan-kawan wanita saya. Di sini saya ingin menegaskan yang saya bukan lesbian.

"Kerana gambar itu juga, saya sudah dicop sebagai wanita lesbian dan ramai wanita lesbian yang mula menghantar SMS kepada saya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Gambar 'panas' ini tersebar menyebabkan nama Julie Woon tercalar.

Tambah Julie, dia kesal dengan perlakuannya itu dan ia sebagai peringatan untuknya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Saya pun tak tahu apa yang saya fikirkan ketika perkara itu berlaku kerana ia agak melampau walaupun ia sekadar suka-suka sahaja.

"Perkara itu membuatkan saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang baik dari segi pemakaian, percakapan serta cara pengambilan gambar kerana sebagai seorang selebriti, masyarakat akan melihat baik buruk saya," jelasnya.

Sementara itu, Julie yang telah putus cinta dengan pelakon Blogger Boy, Qi atau Qushairi Razali, pada Mei lalu kini masih lagi belum menemui cintanya.

Katanya dia kini ingin fokus dengan karier pengacaraannya dan pada tahun depan, Julie akan aktif berlakon semula.

"Saya ada keluar dengan seseorang tetapi belum ke tahap serius lagi. Tapi saya masih berkawan baik dengan Qi. Tambah pula kami merupakan rakan perniagaan bagi syarikat kami, Popcorn Studio bersama seorang lagi rakan kongsi lain.

"Memang ada beberapa isu yang membuatkan kami tidak boleh bersama tapi kami mempunyai keserasian dalam berkawan," katanya.

Salah Faham Punca Maher Zain Tidak Muncul Di TV9

Maher Zain akui terdapat salah faham membuatkan dia gagal menghadiri program Nasi Lemak Kopi O, Ahad lalu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Popular, Maher Zain mengakui terdapat salah faham antara pihak produksi rancangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9 dengan pihak pengurusannya menyebabkan dia tidak hadir ke program tersebut, Ahad lalu.

Justeru, Maher meminta maaf terhadap kekeliruan yang menyebabkan masalah berkenaan.

“Saya tidak tahu langsung yang saya perlu hadir ke TV9 pada hari Ahad lalu. Keesokkannya baru kami tahu tentang hal itu. Terdapat sedikit salah faham tentang tarikh yang sepatutnya saya hadir.

“Saya minta maaf kepada semua, saya tahu ramai yang kecewa dalam hal ini dan kami telah berjanji dengan pihak TV9 untuk menghadirinya pada minggu depan,” katanya selepas majlis sidang media Maher Zain Live In Concert 2011.

Kegagalan Maher hadir ke program NLKO itu menyebabkan slot temubual selama 17 minit bersamanya digantikan dengan slot lain.

Penyanyi yang baru sahaja membuat persembahan pada Malam Amal anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia itu bakal mengadakan konsert Maher Zain Live In Concert 2011 pada 25 dan 25 Februari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Konsert tersebut adalah sebagai penghargaan kepada peminat-peminat yang berada bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Brunei, Singapura, Indonesia dan Filipina.

“Saya memilih Malaysia kerana negara ini memberi sokongan kepada saya, bukan sahaja peminat tetapi juga media-media di sini.

“Saya sangat bersyukur dan bertuah kerana diterima baik di negara ini. Saya juga menganggap Malaysia sebagai negara kedua saya,” katanya.

Dalam konsert tersebut Maher akan berkolaborasi dengan lebih 10 orang pemuzik antarabangsa termasuk kumpulan Inteam.

Segala maklumat konsert termasuk tiket yang berharga dari RM50 hingga RM200 akan diberitahu di laman web www.inteam.com.my dalam masa terdekat ini.

Bercerita tentang kerjaya, Maher memberitahu sedang dalam proses pembikinan album keduanya. Dia juga dalam proses merakam semua lagu Isha Allah versi Bahasa Malaysia.

“Saya akan keluar dengan album kedua tidak lama lagi. Dan lagu Insha Allah dalam Bahasa Malaysia, saya sudah melihat seni katanya dan masih belajar untuk sebutan yang betul,” ujar penyanyi yang dalam percutian di Malaysia bersama keluarga sehingga 1 Januari ini.

Pelakon Baru, Sharnaaz Belum Sedia Bertanding

KUALA LUMPUR: Aktor Sharnaaz Ahmad, 25, belum bersedia untuk bertanding dalam apa-apa kategori dalam acara gah seperti Anugerah Skrin 2010 yang berlangsung pada 24 Disember lalu.

Pelakon drama Tari Tirana, Dottie, Kum Kum dan Pontianak Kampung Batuini merasakan tahap lakonannya sejak lebih setahun lalu belum mencapaitahap yang melayakkan untuk bertanding.

"Saya tak boleh cakap bersedia untuk bertanding kerana semuanya bergantung kepada penonton yang menentukan.

"Selagi peminat mengatakan saya tidak layak untuk bertanding, saya tidak akan lakukan.

"Saya sentiasa meningkatkan mutu lakonan saya. Misalnya apabila saya menonton lakonan dalam drama Pontianak Kampung Batu, saya masih tidak berpuas hati kerana saya masih boleh lakukan yang terbaik," katanyakepada mStar Online.

Tambahnya: "Ikutkan saya boleh menangis dalam drama itu tetapi saya tidak menangis. Jadi, terus terang saya tidak bersedia lagi untuk bertanding."

Menurutnya, drama Pontianak Kampung Batu merupakan drama pertama lakonannya setelah dilamar oleh penerbit Box Lite Film Sdn Bhd.

Kini dia yang pernah bekerja sebagai eksekutif di syarikat hartanah ini telah melakonkan tujuh buah drama terbitan Box Lite.

Michael Douglas Terima Anugerah Ikon

TANGGAL 13 Januari akan datang, aktor Michael Douglas akan menerima penghargaan sebagai anugerah ikon dalam Palm Spring International Film Festival.

Perhargaan ini berikutan penglibatannya selama lima dekat dalam dunia perfileman Hollywood.

Menurut Splash News, anugerah berkenaan hanya diberikan kepada pengiat filem yang banyak memberi sumbangan kepada industri filem Inggeris.

“Kami sangat bangga untuk memberikan penghargaan ini kepada Micheal kerana kretivitinya dan sumbangannya dalam dunia perfileman yang tidak boleh dipertikaikan lagi,” ujar pengarah festival ini, Darryl MacDonald.

Bagaimanapun, ini bukanlah petanda berakhirnya perjuangan Micheal dalam industri ini. Dia bakal keluar dengan filem terbaru berjudul Wall Street: Money Never Sleeps bagi pencalonan Golden Globe Awards dan anugerah Oscar.

“Pendek kata, Micheal merupakan aset yang sangat bernilai oleh Amerika Syarikat,” ujar Darry lagi.

Sein artis terakhir bercerai 2010




PENUTUP tahun 2010 dilengkapkan dengan berita perceraian penyanyi dan pelakon Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein, 27, yang dikira mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini tiada sebarang petanda mengenai keretakan hubungan mereka.

Baik Sein mahu pun Nana, 26, kedua-duanya mengunci mulut mengenai punca perpisahan mereka setelah hidup bersama selama empat tahun dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy yang berusia setahun.

Sein yang ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2010 berakhir seperti sudah dapat menghidu soalan yang ingin diajukan kepadanya dan dengan terbuka meminta wartawan bertanya apa sahaja persoalan yang bermain di kepala.

Meskipun enggan membuka mulut tentang punca perceraian, Sein menjelaskan tiada lagi persefahaman antara mereka merupakan salah faktor perpisahan.

"Kami tidak dapat cari persefahaman, lebih baik berpisah. Tentang berapa lama hubungan kami bermasalah biarlah saya simpan. Itu sahaja yang boleh saya kongsi," ujar bekas anggota kumpulan Ruffedge itu minta difahami.

Disoal lagi mungkinkah wujud orang ketiga dalam hubungan mereka atau mungkin mereka juga mangsa badi program Sehati Berdansa memandangkan mereka merupakan pasangan ketujuh yang berpisah daripada program tersebut, Sein menjawab tenang:

"Jika wujud orang ketiga tidak mungkin kami akan berpisah dengan cara baik. Itu hanyalah gosip sahaja. Mengenai badi program Sehati Berdansa, perkara ini semua berlaku secara kebetulan.


BIARPUN berpisah, Sein dan bekas isterinya, Nana, tidak pernah berdendam.


"Saya tidak percaya mengenai badi kerana sebagai seorang Islam, saya percaya dengan ketentuan Allah. Perpisahan kami adalah menerusi perbincangan, setelah kedua-dua kami bersetuju untuk berpisah barulah perceraian itu berlaku," jelas juara program Sehati Berdansa musim ketiga itu lagi.

Hubungan masih baik

Meskipun telah bercerai, hubungan Sein dengan bekas isteri masih baik seperti biasa. Malah, tidak berlaku perebutan hak penjagaan anak kerana kedua-duanya telah bersetuju untuk menjaga anak secara bersama.

"Saya dengan Nana masih lagi baik, kami masih berhubung melalui telefon. Tentang hak penjagaan anak, kami menjaga mereka bersama-sama. Saya bebas untuk berjumpa anak pada bila-bila masa.

"Baju yang saya pakai untuk majlis anugerah ini juga dipilih oleh Nana. Jadi, tidak timbul sebarang isu kami berdendam atau bermasam muka," luahnya.

Jika hubungannya dengan bekas isteri masih baik, mungkinkah ada kemungkinan yang mereka akan bersatu semula sebagai suami isteri? Kata Sein, perkara itu tidak mustahil untuk berlaku.


SEIN menafikan kewujudan insan ketiga sebagai punca perceraiannya.


"Saya kasihan anak-anak kerana mereka masih kecil, kami telah usahakan yang terbaik. Sebab itu kami tidak mahu perpisahan ini menjejaskan mereka.

"Untuk rujuk semula itu mungkin ada kerana jika itu kehendak Allah, ia tetap akan berlaku. Sebagai hamba, saya hanya mampu berdoa yang terbaik," ucapnya yang berpisah dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada 8 Disember lalu.

Apabila disoal sudahkah dia bersedia untuk mencari pengganti teman hidupnya, diam seketika lalu Sein terus menggelengkan kepalanya.

"Saya tidak terfikir pun mahu cari pengganti kerana dalam fikiran saya sekarang ini hanyalah kerja dan anak-anak," tuturnya.