BERKELULUSAN Sarjana Muda Sumber Manusia di National Conservatory of Arts and Crafts (CNAM), Paris, jejaka tinggi lampai David Arbid tidak pernah kesal dengan diri sendiri apabila mengambil keputusan meninggalkan kerjaya yang stabil dalam dunia perbankan.
Jejaka berusia 32 tahun itu malah berbangga apabila dia kini menikmati kepuasan hidup dengan mempertaruhkan bakat dan sentuhan seni kreatif dalam dirinya.
Kerjayanya bermula sebagai pegawai pembantu sumber manusia di salah sebuah bank di Paris. Tidak membayangkan tugas itu bakal membentuk profil kerjaya untuk selama-lamanya, David mengambil keputusan untuk menyertai Akademi Make Up For Ever (MUFE) di tengah kota fesyen tersebut.
“Tanpa melepaskan jawatan di bank tersebut, saya membahagi waktu untuk mengikuti kelas solekan di akademi tersebut selama setahun.
“Salah satu sebab yang membuatkan saya tergerak hati untuk fokus ke arah dunia solekan adalah kerana mengikut gerak hati dan percaya pada kurniaan bakat melukis saya sejak kecil.
“Saya rasa skil menyolek wajah seseorang seolah-olah sedang melukis. Ini kerana anda sentiasa bermain dengan berus dan warna,” katanya yang mencari kelainan dengan mengasah skil solekan menggunakan calitan jari.
Menurut David, keluarganya merestui dirinya menceburi bidang solekan berbanding lukisan secara sepenuh masa kerana prospek pendapatan yang lebih lumayan.
Tamat sahaja pengajian di akademi MUFE, David meletakkan jawatan utamanya di bank demi memenuhi permintaan orang ramai yang mahukan sentuhannya.
Sewaktu itu, David lebih banyak bergerak sendirian tanpa terikat dengan mana-mana syarikat kosmetik. Sungguh pun begitu, dia tidak pernah kehilangan punca pendapatan.
Bahkan, ada sahaja jemputan yang memerlukan perkhidmatan jurusolek seperti di Milan, London dan Seoul.
“Setelah banyak masa diluangkan dengan bergerak sendirian, saya mula mendapat perhatian jenama kosmetik Make Up For Ever.
“Bermula Jun 2007, secara rasmi saya bergelar sebagai jurusolek antarabangsa untuk jenama itu,” ujarnya bangga namun merendah diri.
Tanpa berselindung, David turut mengakui bahawa dia sedikit pun tidak berasa gusar melepaskan jawatan di bank.
Dia berpendapat, kehidupan sebagai jurusolek sungguh menghiburkan. Kelebihan mengelilingi ke seluruh pelosok dunia menghadiahkan dirinya dengan pengalaman yang mengujakan.
Bertemu dengan ramai orang dan sering berkomunikasi membuatkan David semakin yakin berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
“Bukan itu sahaja, apabila saya mendapat pujian daripada pelanggan, ia akan membuatkan diri semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan solekan yang lebih cantik dan artistik,” ungkapnya sambil menunjukkan beberapa produk MUFE yang tersusun di atas meja.
Di sebalik kegembiraan itu, David tidak menafikan tentang hakikat dan cabaran kerja yang perlu dihadapinya. Paling dirindui jejaka itu adalah peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati hidangan istimewa di tanah airnya.
Disebabkan terlalu kerap berkunjung ke negara asing, David menyatakan perkara paling tidak disukainya adalah pertukaran waktu tidur.
Masalah itu menyebabkan dia sukar untuk melelapkan mata sekali gus akan keletihan akibat tidak cukup tidur.
Solekan berkualiti
Rancak berkongsi pengalaman sambil menunggu persiapan modelnya mendandan rambut dan menukar persalinan, David telah memperkenalkan produk MUFE yang terbaru iaitu Aqua (produk kosmetik kalis air) dan HD (berformatkan definisi tinggi).
Katanya, kedua-dua produk tersebut mempunyai kepentingan berlainan. Misalnya, bagi Aqua, penggunaannya cukup membanggakan apabila solekan wajah tidak akan terjejas meskipun terkena air.
“Kalau menyelam dengan menggunakan produk Aqua solekan mampu bertahan minimum dua jam,” ulasnya sambil melakukan demonstrasi mekap Aqua menggunakan air.
Sama juga situasi bagi kaum wanita yang ingin bersukan tetapi risau jika mekap mereka akan rosak dan sebagainya. Aqua masih mampu bertahun walaupun anda diliputi dengan titisan peluh.
|
|
Mungkin kedengarannya janggal, namun jenis solekan sebegitu banyak gunanya untuk golongan atau acara tertentu seperti ahli pasukan renang berirama mahupun ketika pertunjukan fesyen kreatif.
Sementara itu, produk HD pula sering digunakan untuk menyolek selebriti atau tetamu yang muncul di program televisyen. Solekan HD menampakkan hasil yang lebih lembut dan semula jadi.
Tambahnya, kunci ramuan HD adalah ia dilindungi mikro pigmen yang mampu mengelakkan sebarang komplikasi kulit.
“HD mampu mengekalkan kelembapan kulit. Bukan hanya pada krim asas, malah bedak yang digunakan juga mengandungi seratus peratus silika,” terang David.
Solekan dramatik
Setelah menerangkan serba sedikit mengenai produk MUFE, David lebih senang menunjukkan keberkesanan kosmetik tersebut ke atas wajah model.
Dimulakan dengan campuran bacuhan krim asas, jurusolek profesional itu mempunyai gaya tersendiri. Kelengkapan yang perlu ada bukanlah berus solek tetapi bekas khas yang digunakan untuk meletakkan warna air.
“Wanita sering tersalah pilih warna bedak asas. Mereka memilih warna yang tidak bersesuaian dengan ton kulit mereka.
“Kesalahan berkenaan menyebabkan wanita kadangkala tampil dengan solekan bedak asas yang terlalu putih, terlalu merah jambu dan ada ketikanya terlalu gelap untuk wajah mereka,” nasihat David.
Sambil membuat sentuhan solekan, seperti biasa David yang berperwatakan peramah memberikan beberapa tip supaya solekan tidak mudah rosak.
Krew Stailo yang melihat sendiri cara solekan jurusolek itu mengakui sememangnya ia agak berlainan kerana dia mengutamakan bahagian mata terlebih dahulu.
Mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyiapkan solekan mata, David menyatakan, tujuan utama dia tidak menyapukan krim asas terlebih dahulu kerana kemungkinan pembayang mata yang digunakan akan terkena pada wajah anda.
“Saya tidak mahu buat kerja dua kali, jadi saya utamakan bahagian mata yang ingin kelihatan lebih glamor. Begitu juga dengan penggunaan penyamar noda,” ulasnya.
Tekun melihat pergerakan tangannya yang ingin menghasilkan sentuhan menakjubkan, penggunaan penyamar noda akan digunakan pada bahagian zon T, bawah mata dan sekeliling bibir.
“Walaupun anda tidak mempunyai masalah kulit muka, amalkan penggunaan penyamar noda untuk bahagian itu,” ujarnya ringkas.
Setelah selesai dan berpuas hati dengan sentuhannya itu, David meletakkan berus yang dipegang sekali lagi menunjukkan gaya tersendiri dengan meratakan solekan itu menggunakan jari tangan.
David memberitahu, sentuhan terakhir mestilah disempurnakan dengan tangan jurusolek dan bukannya dengan berus. Ia bagai satu signatur profesional.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: