Saturday, August 21, 2010

Gandingan Ramly, Chef Liza


DARI kiri : Ramly bersama isterinya, Engku Emran, Chef Liza dan Rosnah (depan) memegang burger gergasi pada majlis pelancaran program Enak bersama Ramly dari Chef Liza di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SETELAH mendapat lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Chef Liza Zainol berjaya menerbitkan program masakannya sendiri iaitu Enak bersama Ramly dari Chef Liza.

Buat julung-julung kalinya, produk daripada Kumpulan Ramly atau lebih dikenali sebagai Ramly Burger melibatkan diri dalam program masakan di kaca TV. Gandingan mantap chef terkemuka dengan produk terkenal Ramly itu mampu menjadikan program masakan itu sesuatu yang menarik dan ditunggu-tunggu oleh penonton.

Memulakan siaran episod pertamanya pada 13 Ogos lalu di saluran Astro 502, Bernama TV, program masakan 13 episod itu bakal berakhir pada 10 September ini.

"Program masakan Enak bersama Ramly dari Chef Liza akan ke udara pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada pukul 6 petang. Malah, ia juga akan diulang siaran pada pukul 4.30 pagi dan 11.30 pagi pada hari dan di saluran yang sama," kata Chef Liza pada majlis pelancaran program tersebut di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Chef Liza yang juga merangkap hos dalam program masakan itu memberitahu, program masakan Enak bersama Ramly dari Chef Liza turut menampilkan personaliti dan tokoh-tokoh terkemuka bagi membincangkan pelbagai topik yang menarik seperti Halalan Toyyiban dan isu-isu semasa sambil beliau menyediakan masakan yang enak.

"Seramai lapan tetamu jemputan bakal menceriakan program masakan tersebut termasuk pelawak terkenal, Datuk Aziz Sattar; penyanyi popular, Nash; penganalisis jenayah tempatan, Kamal Affandi Hashim; tokoh agama, Ustaz Wan Sohor Bani Leman dan Ustaz Mohd. Amri Abdullah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya

Jelas penggemar patung itik itu lagi, rakaman program masakan itu diadakan di Pullman Putrajaya Lakeside berlatar belakang Tasik Putrajaya.

Sementara itu, menurut Pengasas Ramly Burger, Ramly Mokni, syarikatnya sentiasa memastikan jaminan produk yang dikeluarkan adalah lazat dan berkualiti.

Pelbagai anugerah telah dimenangi syarikat Ramly Mokni Sdn. Bhd. selama 26 tahun ia ditubuhkan.

Dengan tagline syarikat Pastikan Ramly Baru Beli, Ramly berharap penglibatan syarikatnya di kaca TV dapat membuatkan produk Ramly sentiasa di hati masyarakat.

"Kepada semua umat Islam dan rakan-rakan yang bukan beragama Islam, cubalah resipi-resipi daripada produk Ramly yang kami sajikan untuk hidangan anda seisi keluarga.

"Resipi-resipi yang disajikan amat mudah dicuba dan sangat sesuai untuk mereka yang bekerja kerana penyediaannya yang cukup singkat," kata Ramly.

Turut hadir pada majlis pelancaran program masakan Enak bersama Ramly dari Chef Liza pada hari itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Damai, Kedah, Datuk Rosnah Abdul Majid yang merasmikan majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: