
AMPANG JAYA – Seorang bapa sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan dua anak lelakinya daripada diserang sekumpulan empat samseng bersenjatakan parang yang menyerbu rumah mereka di tingkat enam Flat Permai Ria di Tasik Permai di sini malam kelmarin.
P. Kanaiyah, 62, mati ketika mahu dibawa ke hospital akibat cedera parah ditetak di kepala oleh kumpulan samseng itu.
Kejadian pada pukul 10 malam itu didakwa berlaku apabila keempat-empat lelaki yang berusia lingkungan 20-an itu datang ke rumah mangsa dipercayai untuk mengajak dua anak Kanaiyah menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 08.
Geng 08 mempunyai anggota yang aktif dalam melakukan jenayah dadah, peras ugut dan samun di sekitar Lembah Klang.
Ketika kejadian, dua anak lelaki, Kanaiyah iaitu Prabakaran, 38, dan Kabirasan, 22, berada di rumah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, tindakan kumpulan itu mempelawa kedua-dua anak Kanaiyah bertukar kecoh apabila di halang mangsa.
“Mangsa dan Prabakaran cedera parah selepas terkena tetakan di kepala dan badan ketika bergelut dengan kumpulan suspek.
“Kanaiyah yang tidak bekerja mati ketika dibawa turun dari rumah untuk dibawa ke hospital,” kata beliau kepada Kosmo! semalam.
Prabakaran pula dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Seorang lagi anak Kanaiyah, Kabirasan yang bekerja sebagai pencuci kereta cedera di tangan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Kata Abdul Jalil, sebaik polis tiba di tempat kejadian, kesemua suspek telah melarikan diri dengan seorang daripada mereka cedera.
Polis yang memeriksa tempat kejadian menemui sebuah beg yang mengandungi beberapa bilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian.
Menurut beliau, beberapa jam selepas kejadian itu polis berjaya menahan seorang suspek yang cedera ketika lelaki itu sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: