![]() |
| Zulkarnain Mustapa di hadapan restoran JM Beriani di Tesco Ampang, Kuala Lumpur. |
HARUMAN rempah ratus yang digunakan pasti akan memikat selera sesiapa sahaja yang singgah untuk menikmati hidangan istimewa nasi beriani di JM Beriani House.
Menawarkan sajian nasi beriani cita rasa Muar, Johor, keenakannya begitu mempesona. Ia boleh dinikmati bersama pilihan daging, ayam atau kambing beriani.
Selain itu, beberapa jenis lauk seperti ayam masak merah dan ayam goreng berempah melengkapkan hidangan.
Lebih menyelerakan lagi apabila ia dijamah ketika masih panas.
Menurut Pengarah Urusannya, Zulkarnain Mustapa, nasi beriani di restorannya dihasilkan daripada rempah beriani yang diadun sendiri.
"Nasi beriani kami memiliki cita rasa asli nasi beriani Muar. Ia lebih ringan kerana tidak banyak menggunakan ramuan serta rempah, kurang berminyak dan kurang pedas.
"Resipi beriani ini memang istimewa kerana ia warisan daripada ibu dan bapa saya yang mengusahakan perniagaan ini sejak tahun 1983 lagi. Nasi yang dihidangkan kepada pelanggan sebenarnya dimasak secara kukus.
"Asalnya kami hanya mengusahakan perniagaan secara katering sebelum mengambil keputusan membuka restoran pada tahun 1994 berikutan permintaan yang menggalakkan,'' katanya sambil memberitahu restoran pertama yang dibuka adalah di Seksyen 18, Subang Jaya, Selangor.
Tambahnya lagi, penggunaan huruf JM adalah hasil gabungan nama ibu bapanya, Mustapa Abdul Karim dan Jamilah Abu Bakar.
Kini setelah 16 tahun perniagaan tersebut bertapak, JM Beriani House Sdn. Bhd. telah mempunyai 17 cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk di Tesco Ampang yang boleh memuatkan 80 hingga 100 orang pada satu-satu masa.
Amat mementingkan kualiti dalam sajian harian, ujar Zulkarnain lagi, pihaknya menggunakan beras basmathi daripada jenis yang berkualiti.
Selain itu, dalam usaha mengekalkan kualiti serta rasa yang sama bagi setiap cawangannya, kesemua hidangan akan dimasak di dapur utama iaitu di ibu pejabatnya yang terletak di Subang Jaya.
"Selain nasi beriani, satu lagi menu istimewa restoran kami ialah nasi beriani gam. Ditawarkan dengan pilihan ayam atau kambing, ia hanya dijual seminggu sekali pada setiap hari Rabu dan Sabtu," katanya.
Dalam pada itu menikmati hidangan nasi beriani seakan tidak sempurna tanpa minuman sirap Bandung.
JM Beriani House menggunakan resipi asal sirap bandung Johor dengan campuran aiskrim soda, sirap dan susu cair serta ais yang menerbitkan rasa lemak-lemak manis.
Pengunjung juga boleh memilih untuk menjamu selera dengan pelbagai masakan Johor seperti mi bandung, rojak petis dan tauhu bakar.
Kata Zulkarnain lagi, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan katering lengkap mengikuti selera tuan rumah.
Untuk keterangan lanjut, anda boleh lawati laman sesawang www.jmbariani.com atau hubungi talian 03-56213301.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: