Bertepatan tarikh unik, 09.09.09, album kerohanian pertama Datuk Siti Nurhaliza yang berjudul Tahajjud Cinta telah dipasarkan. Album yang mengekalkan konsep pop serta menampilkan mesej kerohanian ini diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (SNP) sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada industri muzik untuk mempelbagaikan lagi konsep album yang terdapat di pasaran masa kini.
Tidak banyak dalam pasaran artis-artis yang menampilkan sebuah album yang bermesejkan kerohanian dan ia hanya tertumpu kepada album yang dinyanyikan oleh artis atau kumpulan nasyid.
Bersempena kemuliaan bulan Ramadan, Siti merasakan amat bertepatan untuk melancarkan album kerohanian ini dan berharap keberkatan Ramadan melancarkan segalanya.
“Selepas terlibat dengan teater arahan Erma Fatima, Sirah Junjungan, terdetik di hati Siti untuk menghasilkan album yang bercorak kerohanian.
“Kemudian Siti tetapkan untuk memuatkan hanya lapan lagu dalam album ini. Siti pun mula kumpulkan lagu,” jelas Siti mengenai idea untuk menghasilkan album kerohaniannya itu.
Album yang diterbitkan oleh Eddie Marzuki, Audi Mok, Tya Subiakto serta Siti sendiri memuatkan lagu Asma Ul Husna, Pintu Rindu, Tahajjud Cinta, Ku Percaya Ada Cinta, Ya Rasulullah Selawat serta dua buah lagu yang pernah manjadi soundtrack filem Perempuan Berkalung Sorban, Batasku Asaku dan Ketika Cinta.
“Bagi Siti, lagu Asma Ul Husna memberikan suatu pengalaman yang menarik ketika proses rakaman kerana lagu tersebut memerlukan Siti untuk menyebut nama-nama Allah dengan tajwid yang betul dan tepat,” terang Siti mengenai pengalamannya sepanjang merakamkan lagu-lagu untuk album Tahajjud Cinta.
Ketika merakamkan lagu Asma Ul Husna, Siti mendapat bimbingan bekas anggota kumpulan nasyid The Brothers bagi memastikan tajwidnya sewaktu menyebut 99 nama Allah dengan betul.
Mengenai pemilihan lagu gubahan Audi Mok, Ku Percaya Ada Cinta sebagai single, Siti menjelaskan lagu tersebut mempunyai muzik dan konsep yang unik di samping genre pop yang senang diterima oleh peminat.
“Lirik yang dibuat oleh Kak Chah (Habsah Hassan) amat mendalam maknanya. Dia amat memahami Siti dan atas sebab itu, lagu ini agak unik untuk diketengahkan.
“Ikhlas Siti katakan, Siti tidak meletakkan sebarang sasaran untuk album ini. Apa yang Siti lakukan ini hanyalah untuk kepuasan diri Siti dan untuk mencari suatu ketenangan serta salah satu daripada tanggungjawab Siti sebagai penyanyi,” jawabnya ketika diajukan soalan mengenai sasaran utamanya apabila menghasilkan album ketuhanan itu.
Menurut Siti lagi, pihak SNP masih menunggu lampu hijau untuk memasuki pasaran Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: