Tuesday, September 15, 2009

iPhone 3GS dalam kurikulum




SERAMAI 2,000 pelajar Sekolah Cempaka, Bukit Damansara, Kuala Lumpur bakal menikmati pembelajaran dengan iPhone 3GS.

Maxis Communications Berhad (Maxis) kini memperkenalkan pendidikan di mana sahaja melalui penggunaan iPhone 3GS bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah.

Jadi, para pelajar tidak perlu lagi tergesa-gesa mencari ruang waktu yang sesuai untuk menyiapkan kerja sekolah atau projek yang diberikan guru.

Sebenarnya, Sekolah Cempaka telah pun mewujudkan program Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) atas platform aplikasi Internet dan mengoptimumkan penggunaan iPhone.

"Melalui program VLE yang yang ada di sekolah ini, ia pasti memudahkan proses pembelajaran pelajar terutama ketika cuti sekolah. Melalui penggunaan iPhone pula, gajet itu bakal diaplikasikan dalam kurikulum setiap hari.

"Para pelajar dapat berkongsi maklumat dengan guru-guru. Bukan sahaja ketika berada dalam negara, malah mereka boleh meneruskan pembelajaran sekiranya mereka ke luar negara," ujar Timbalan Pengerusi Cempaka School Sdn. Bhd., Dr. Iskandar Rizal Hamzah.


ELLYA (dua dari kiri) dan rakannya, Aiman (dua dari kanan) gembira dengan gajet iPhone yang diterima untuk pembelajaran mereka.


Maklumat

Jelas beliau, alat itu juga digunakan oleh para pelajar mendapatkan maklumat di sekitar kampus. Misalnya, senarai kursus pengajian dan pelbagai perkara lain.

Usahasama Maxis dan Sekolah Cempaka itu dilihat berupaya membantu para pelajarnya menjalankan aktiviti pembelajaran lebih berkesan serta selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Perusahaan dan Perkhidmatan Antarabangsa Maxis, Fitri Abdullah memberitahu, sejak iPhone 3GS dilancarkan di Malaysia pada 31 Julai lalu, respon yang diterima sangat baik.

"Kemunculan iPhone 3GS merupakan fenomena di seluruh negara," katanya.

Iskandar Rizal mengakui bahawa iPhone membuka satu lembaran baru dalam aspek aplikasi teknologi di sekolah tersebut. Ia juga memastikan pelajar terus berhubung dengan proses pembelajaran. Lagipun, Sekolah Cempaka telah lama memperjuangkan penggunaan teknologi di dalam bilik darjah.

Aplikasi iPhone

Buktinya, sekolah itu telah memperkenalkan MacBook bagi setiap pelajar peringkat menengah pada tahun 2007 lagi.

Sebagai tambahan, Sekolah Cempaka akan memperkenalkan satu siri aplikasi iPhone yang akan digunakan di dalam setiap kurikulumnya.

"Kami telah mengoptimumkan setiap sumber bagi iPhone dan berharap dapat terus membangunkan aplikasi sedia ada," tambahnya.

Ketika ditemui, para pelajar Sekolah Cempaka menyambut baik pembelajaran di sekolah menggunakan kemudahan iPhone 3GS daripada Maxis.

Dua pelajar Kolej Antarabangsa Cempaka Wanita iaitu Aiman Ahmad Marzio, 14, dan Ellya Sam, 16, mempunyai pandangan masing-masing berhubung penggunaan iPhone dalam kurikulum mereka.

"iPhone memudahkan kami membuat dan menghantar kerja sekolah kepada guru pada bila-bila masa. Walaupun ketika bercuti atau sakit. Berbanding MacBook, iPhone lebih mudah dan senang dibawa ke mana sahaja," kata Aiman.

Pantau

Adakah teknologi iPhone akan membuatkan mereka leka dan tidak fokus kepada pelajaran? Ellya memberitahu, guru dan pengawas akan sentiasa memantau aktiviti para pelajar.

"Jika kami tidak datang ke kelas atau tidak menghantar kerja sekolah, guru boleh tahu menerusi program VLE yang disediakan dalam iPhone setiap pelajar," katanya.


FITRI ABDULLAH (kiri) menyerahkan iPhone 3GS kepada Frieda Pilus sambil disaksikan oleh Iskandar Rizal.


Sekolah Cempaka memiliki lebih 2,500 orang pelajar dan 300 orang guru yang mengajar di dua buah kampus iaitu di Cheras dan Damansara.

Sebuah lagi kampus iaitu Kolej Antarabangsa Cempaka Wanita sudah pun beroperasi pada September ini.

Sekolah Cempaka Malaysia yang ditubuhkan sejak 1983 merupakan sekolah swasta terbaik di Malaysia.

Sekolah itu sentiasa berada pada kedudukan teratas dalam aspek pencapaian akademik. Ini termasuklah dalam peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kini, rangkaian sekolah itu mempunyai empat cawangan meliputi dua buah sekolah harian dan sebuah kolej untuk peringkat A-Level.

Cawangan terbaru sekolah itu, Kolej Antarabangsa Cempaka Wanita akan menjadi sekolah menengah berasrama perempuan swasta pertama di Malaysia.

"Sekolah ini eksklusif untuk remaja perempuan. Kapasiti maksimumnya hanya 280 orang pelajar. Besar kemungkinan setiap pelajar akan memiliki bilik mereka sendiri yang setiap satunya dilengkapi kemudahan komputer riba dan bilik air," kata Pengerusi Sekolah Cempaka, Datin Freida Mohd Pilus.

Di perkarangan sekolah itu turut terdapat tasik, rumah bot, sekolah menunggang dan banyak lagi. Terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), para pelajar dari luar negara tidak berdepan sebarang masalah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: