Saturday, February 28, 2009

Siti tak terasa nak menyanyi lagi...

Disebabkan terikat dengan janji, Siti akur untuk meneruskan persembahannya pada konsert Maulidur Rasul yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam esok.

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Selepas 12 hari pemergian arwah bapanya, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza masih belum bersedia untuk kembali aktif dengan kegiatan seninya.

Disebabkan terikat dengan janji, Siti akur untuk meneruskan persembahannya pada konsert Maulidur Rasul yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam esok.

Datuk Siti Nurhaliza bersama pengarang buku, Nor Aziah Jasmin.

Siti akui belum mempunyai keinginan untuk menyanyi sementelah bapanya, Tarudin Ismail baru saja meninggal dunia.

"Saya tidak terasa ingin menyanyi lagi buat masa ini. Oleh sebab itu saya rasa berdebar untuk membuat persembahan sempena konsert tersebut malam esok.

"Bagaimanapun, saya kuatkan semangat untuk menyanyi sebab lagu-lagu yang bakal saya nyanyikan nanti adalah lagu bercorak dakwah dan selawat.

"Jadi, dalam masa yang sama, saya tanamkan niat untuk selawat dan sedekahkan kepada arwah abah," ujar Siti yang hadir ke majlis pelancaran buku 'The Pink Book', hasil karya Aziah Jasmin Azizul di MPH, Mid Valley, semalam.

Datuk Siti Nurhaliza melancarkan buku di Kedai Buku MPH.

Menurut Siti lagi, buat masa ini dia mengambil langkah untuk menangguhkan dulu persembahan nyanyian yang tidak melibatkan unsur dakwah.

"Banyak juga persembahan dan aktiviti yang saya terpaksa tangguhkan dulu seperti Zoom In RTM, AC Di Sini dan Kelab Pop.

"Nasib baik mereka memahami kerana saya masih bersedih dengan 'kehilangan' ini. Selera makan pun sudah hilang...Ia perlu mengambil masa juga.

"Tetapi, saya tahu kita yang masih hidup ini perlu redha dan teruskan hidup. Dalam masa yang sama, saya juga perlu berdoa untuk arwah abah.

The Pink Book yang ditulis oleh bekas personaliti TV3, Nor Aziah Jasmin dilancarkan oleh datuk Siti Nurhaliza.

"Mungkin selepas 40 hari nanti, baru saya akan kembali mulakan kerjaya yang tertangguh ini," kata isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa.

Penyanyi berusia 30 tahun itu turut meluahkan perasaan leganya kerana telah menunaikan amanat arwah bapanya.

"Saya baru tubuhkan syarikat Saldin yang mengambil nama singkatan arwah abah dan mak, Siti Salmah yang mana syarikat itu mengusahakan bidang pertanian.

"Selepas ini, saya dan suami akan memohon tanah untuk mengusahakan pertanian di daerah Kuala Lipis," kata penyanyi itu dalam nada tenang.

Dalam pada itu, The Pink Book yang ditulis oleh bekas personaliti TV3 itu telah mula dijual pada harga RM45.

Buku terbitan Berita Publishing Sdn Bhd itu mengenengahkan panduan asas pembentukan dan penampilan imej terbaik untuk seseorang individu.

Selain itu, turut dimuatkan cara berpakaian, bersolek dan berjalan bagi menampilkan imej seseorang wanita supaya menjadi lebih berkeyakinan.

OIAM: Ayu peserta pertama tersingkir

Ayu gagal mara ke minggu seterusnya apabila menjadi mangsa penyingkiran pertama OIAM

[SEMASA] SHAH ALAM: Impian Norhidayu Md.Tekhary atau Ayu untuk meneruskan perjuangan di dalam One In A Million musim kedua (OIAM) akhirnya berkecai apabila dia menjadi peserta pertama tersingkir dari program realiti popular itu yang berlangsung di Sri Pentas 2, di sini, malam tadi.

Persembahannya pada minggu lalu ternyata gagal meraih undian secukupnya daripada penonton untuk memastikan dirinya terus kekal di dalam program itu.

Ayu diumumkan tersingkir sebelum bermulanya persembahan minggu kedua itu yang mana penyingkiran tersebut sekaligus turut melenyapkan hasrat peserta berusia 20 tahun itu untuk merangkul wang kemenangan RM1 juta.

Ditemui sejurus berakhirnya program itu, Ayu akui persembahannya minggu lepas kurang memberangsangkan setelah mendengar komen yang diberikan oleh juri-juri profesional.

"Awal-awal lagi saya memang sudah bersedia andai kata tersingkir. Tambahan pula, minggu lalu saya akui persembahan saya kurang memuaskan dan telah menghampakan pihak juri.

"Tetapi, saya tidak mahu menganggap penyingkiran ini sebagai penamat terhadap cita-cita saya untuk meneruskan perjalanan seni yang baru bermula. Mungkin rezeki saya ada di luar sana," ujar Ayu yang aktif menyanyi bersama band bapanya.

OIAM musim baru ini masih mengekalkan Syafinaz Selamat dan Paul Moss sebagai juri tetap manakala penyanyi Salamiah Hassan pula telah diundang sebagai juri jemputan.

Dengan penyingkiran Ayu, maka 11 peserta yang berjaya meneruskan persembahan pada minggu ini ialah penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Amylea; juara Mentor musim pertama, Pija; Penyanyi Baru Terbaik AIM 2006, Rizu; finalis suara Emas Bintang RTM 2007, Han; vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, vokalis kumpulan Coco, Nine serta lima peserta bukan artis iaitu Anith, Aweera, Esther, Simon dan Fify.

Amylea turut menerima imuniti daripada pihak juri berdasarkan persembahan menarik yang dilakukannya malam tadi.

Imuniti itu secara automatik melayakkan Amylea untuk terus beraksi di minggu seterusnya serta tidak perlu melalui proses undian daripada penonton.

Anggun, eksklusif

BUTIK eksklusif tudung, selendang dan pakaian Muslimah, Ariani, menyediakan lebih 200 rekaan serta koleksi tudung eksklusif hasil rekaan pereka dalamannya yang berpengalaman luas.

BUTIK eksklusif tudung, selendang dan pakaian Muslimah, Ariani, menyediakan lebih 200 rekaan serta koleksi tudung eksklusif hasil rekaan pereka dalamannya yang berpengalaman luas.

Koleksi Ariani diperbuat daripada fabrik diimport dari Itali, Jerman, Perancis dan Turki yang sememangnya terkenal dengan kualiti yang tinggi.

"Koleksi Ariani memang berbeza dengan apa yang ada di pasaran hari ini kerana kami menyediakan tudung, selendang serta pakaian Muslimah yang bukan saja cantik malah diperbuat daripada fabrik bermutu tinggi," kata Pegawai Pemasaran Ariani, Farah Haryani Mohd Philip.

Menariknya, pembeli tidak perlu bimbang mengenai nilai eksklusif koleksi Ariani (milik penuh syarikat Jakel) kerana setiap rekaan tudung hanya disediakan dalam 100 warna dan 100 helai saja setiap satu.


"Koleksi eksklusif ini tidak terdapat di mana-mana butik walaupun kadangkala orang ramai sering keliru dengan penjualan tudung yang seakan-akan serupa.

"Namun, kehalusan jahitan, ketahanan, kualiti serta rekaannya sangat berbeza dan faktor itulah yang menjadikan koleksi ini istimewa di mata peminatnya," katanya.

Untuk lebih memudahkan pengguna, butik terbabit akan turut memasarkan cakera padat mengenai cara pemakaian tudung tidak lama lagi.

Ariani baru-baru ini turut mengumumkan pelantikan Ekin sebagai dutanya untuk tempoh tiga tahun.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat Kumpulan Jakel, Saiful Izhar Senawi, pelantikan Ekin sebagai duta Ariani amat tepat kerana isteri kesayangan penyanyi terkenal, Mawi itu mempunyai daya tarikan tersendiri untuk mempromosikan fesyen terbaru jenama berkenaan.

Katanya, sejak tampil bertudung, Ekin semakin popular dan apa jua gaya yang disarungkan mendapat perhatian masyarakat.

Menerusi kontrak yang sudah dipersetujui, Ekin hanya akan menggayakan koleksi Ariani ketika bersama media, di lokasi tertentu dan muncul dalam program di televisyen.

"Seperti Mawi, Ekin juga memiliki auranya tersendiri hingga menyebabkan banyak pihak tampil mengeluarkan tudung Ekin di pasaran.

"Namun, pihak kami ingin jelaskan Ariani tidak pernah memberi hak sah sama ada secara bertulis atau lisan kepada mana-mana pihak untuk menjual atau memasarkan produk Ariani sewenang-wenangnya kecuali di cawangan Ariani yang sah.

"Ini kerana, Ariani sentiasa mengawal kualiti serta nilai eksklusif semua produknya," katanya pada majlis di ibu negara, baru-baru ini.

Sementara itu, butik berkenaan menyediakan koleksi menarik daripada jenama Valentino, Aker, Armine, Akel, Bona, Sera, Isadora, Ungaro, Pierre Cardin, Tiara Exclusive dan Tiara Diamond.

Ia boleh didapati di butik Ariani di Jalan Bunus Off Jalan Masjid India (berhadapan Jakel). Rangkaian butik berkenaan akan dibuka di Johor Bahru, Johor; Bangsar dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur; serta Shah Alam dan Bangi, Selangor; pada Mac serta April depan.

Selain itu, pelanggan yang berkunjung ke butik Ariani berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dari segi pemilihan tudung yang sesuai mengikut penggunaannya serta teknik dan cara pemakaian tudung akan diberikan secara percuma.

Pelakon, kru filem Evolusi KL Drift II kemalangan


PUTRAJAYA: Seorang pelakon dan kru filem Evolusi KL Drift II (EKLD II), cedera selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan ketika menjalani penggambaran filem itu berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Rizal Ashraf, 25; cedera di beberapa bahagian badan dan dimasukkan ke Hospital Putrajaya, di sini manakala Rahimi Maidin (Remy), 37 yang cedera di kaki dan bahu kanan hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Bagaimanapun, pengarah merangkap pelakon utama filem berkenaan, Syamsul Yusuf yang turut terbabit dalam aksi berkenaan tidak cedera.

Syamsul berkata, ketika kejadian mereka sedang merakamkan aksi lagak ngeri membabitkan dua kereta sebelum kereta Satria yang dipandunya terlanggar kereta Perodua Kancil yang turut beraksi.


“Dalam babak ini, saya yang memandu paling belakang sekali perlu memintas dua kereta yang berada di depan, bagaimanapun saya tidak sempat mengelak dan melanggar kereta Perodua Kancil yang dipandu jurumekap sebelum terbabas.

“Kejadian itu menyebabkan kereta yang saya pandu bersama Rizal dan Remy terbalik dan kedua-duanya cedera akibat terkena serpihan kaca dan hentakan kuat, namun saya bernasib baik kerana tidak cedera,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Kecemasan Hospital Putrajaya di sini, semalam.

Sehati Sejiwa mengisi TV1 setiap Rabu



Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestary

SEJAK memulakan siarannya bersama undangan pasangan artis popular Mawi dan Ekin yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 mulai 7 Januari lalu, program Sehati Sejiwa nyata mendapat tempat di hati penonton setiap minggu.

Sepanjang Mac ini program yang mengisi slot Degupan, setiap hari Rabu, jam 3 petang dan disiarkan secara langsung dari Studio IBC, Angkasapuri bakal mengundang pasangan selebriti seperti Edrie Hashim dan Pat (bekas vokalis kumpulan Candy) iaitu pada 4 Mac ini. Sharifah Sahorah dan suaminya Raja Mukhriz (11 Mac), Ashraff Sinclair dan Bunga Citra Lestary (18 Mac) sebelum diakhiri dengan Kenchana Dewi dan Gunasegaran (25 Mac).

Program Sehati Sejiwa program temubual istimewa khusus untuk tontonan seisi keluarga ini bukan sekadar menampilkan pasangan selebriti bercerita mengenai keindahan dan kemanisan hubungan cinta seterusnya hubungan perkahwinan yang dimeterai mereka malah mereka turut berkongsi saat sukar berdepan dugaan yang dilalui mereka dalam melayari bahtera berumahtangga.


Pastinya Sehati Sejiwa yang menampilkan pelakon muda berbakat, Scha sebagai perantara sepanjang satu jam siarannya bakal menemubual pasangan merpati dua sejoli ini dengan pelbagai topik menarik termasuk pasang surut alam perkahwinan mereka untuk dikongsi sama oleh peminat setia mereka yang mengikuti program siaran langsung ini khas menerusi TV1.

Selain itu, Sehati Sejiwa diserikan dengan pengisian klip video artis jemputan, sesi temu bual berkaitan kehidupan berumah tangga, keistimewaan pasangan masing-masing, aktiviti masa lapang serta kegiatan seni yang dilakukan pasangan tetamu undangan.

Begitu juga sesekali diselang selikan dengan foto-foto zaman bujang dan perkahwinan pasangan tetamu glamour yang di undang ke studio dalam melengkapkan lagi program santai ini.

Malah menariknya peminat setia pasangan selebriti undangan yang diundang setiap minggu berpeluang membuat panggilan di studio dan berbual dengan mereka.

Apa dah jadi dengan Adibah Noor?



Apa dah jadi dengan Adibah Noor? Tukar imej ke? Atau pun Adibah di serang penyakit?

Lihatlah dah macam wanita tua pulak dah jadinya. Kesian Adibah. Tak sempat nak bersolek kut.

Jangan terkejut... inilah imej terbaru Adibah. Bukan imej terbaru penampilan di atas pentas tapi imej terbaru dalam sitcom Phua Chu Kang yang sangat popular di Singapura.

Adibah turut berlakon daam sitcom itu. Kalau lihat dia memegang bulu ayam dan mengemas meja tu, pastilah wataknya sebagai pembantu rumah yang sudah berusia.

Oh... pegang watak pembantu rumah rupa-rupanya. Kalau macam ni rupa pembantu rumah, siapa yang takutkan siapa nanti.

Majikan akan gerun dan takut nak memperlakukan sesuka hati. Kes Nirmala Bonat tak akan berlaku kalau pembantu rumah datang dalam pakej macam Adibah Noor ni.

Jangan tak tahu... selain bersuara sedap Adibah memang kelakar secara semulajadi, jadi pasti pecah perut menontonnya nanti.


Rosyam terbit program realiti

Keghairahan peminat terhadap program berkonsep realiti masih lagi membara. Sebab itu program yang diterbitkan oleh stesen TV jadi bersiri-siri.

Program realiti mencari penyanyi, banyak dibuat, namun yang khusus mencari pelakon belum ada lagi. Dulu ada Audition yang juga memerlukan peserta bernyanyi.

Walhal banyak peserta program realiti akhirnya menjadi pelakon apabila kemunculan mereka sebagai penyanyi kurang dipedulikan berbanding kehadiran sebagai pelakon.

Agaknya itulah yang cuba dilakukan oleh Rosyam Noor apabila syarikatnya bakal menerbitkan sebuah program realiti untuk sebuah stesen TV.

Rosyam akan memperkatakan pasal projek barunya dalam satu sesi bersama media pada 5 Mac depan. Tunggu...

Apakah format program tersebut belum diperinci lagi. Tapi apabila pelakon terkenal seperti Rosyam yang terlibat, pasti ia akan menjurus ke arah bidang lakonan.

Tunggulah nanti apakah dia projek yang Rosyam maksudkan. Rosyam melalui syarikatnya Suhan Movies & Trading banyak menerbitkan drama untuk TV tempatan.

Drama terbaru terbitannya yang sedang

ditayangkan di TV3 berjudul Rozanna. Rosyam sendiri menjadi pelakon utama bersama Datuk Rahim Razali dan Rita Rudaini.


Rintis jalan ke air terjun

Oleh kerana air terjun ini belum ada nama dan memandangkan kami merupakan kumpulan kedua menjejak kaki di situ maka pihak penganjur menamakannya sebagai air terjun Mangkin.




GUNUNG Dulang bukanlah satu nama yang dikenali dalam kalangan pencinta aktiviti mendaki gunung. Mungkin hanya orang kampung, Orang Asli dan pekerja kongsi balak sahaja tahu mengenainya.

Bagi orang kampung dan Orang Asli, tentulah flora dan fauna yang dicari untuk dijadikan jualan. Bagi pekerja kongsi balak pula, mereka tidak menang tangan menebang pokok-pokok bernilai yang kadangkala saiznya belum cukup matang untuk diangkut keluar. Namun itulah realiti kehidupan.

Bagi orang kampung seperti Wan Ahmad Fadzlilah, 37, membawa keluar hasil hutan dari sekitar kaki gunung Dulang adalah antara pekerjaan yang dilakukannya. Antara hasil hutan yang dibawa keluar termasuklah pelbagai jenis tumbuhan herba seperti kacip fatimah, tunjang bumi dan tongkat ali.

Sudah tentu sepanjang meneroka isi hutan untuk tujuan tersebut, banyak lokasi baru yang cantik, unik, mengkagumkan dan tidak pernah dijejaki oleh sesiapapun ditemui secara tidak sengaja. Ini termasuklah air terjun dan sungai yang berpotensi untuk diketengahkan kepada orang ramai.

Terbaru, Wan Ahmad yang lebih mesra disapa Intan bersama sekumpulan media dan peserta dari Kuala Lumpur meneroka kehijauan hutan dan keunikan air terjun Mangkin. Air terjun itu mengalir jernih dan sejuk ke alur sungai Mangkin yang kemudiannya bersatu dengan sungai Tekal di Jerantut, Pahang.

Ekspedisi yang digelar Rainbow In The Dark itu dikendalikan oleh Middle Earth. Gelaran itu diberi kerana setiap kali cahaya mentari memancar ke tempias air terjun, pasti jalur-jalur pelangi akan muncul di sekitarnya.


WALAUPUN beriadah di dalam hutan, sajian lazat tetap dapat dihidangkan termasuk barbeku kambing panggang dan stik.


Sebanyak 11 kenderaan pacuan empat roda (4x4) dengan 40 peserta dan urusetia menyertainya. Selaku pencinta alam, saya tidak ketinggalan mengikuti ekspedisi ini yang berlangsung pada 20 hingga 22 Februari lalu.

Menurut Intan, terdapat empat air terjun di sekitar kaki gunung Dulang. Kesemua air terjun itu tidak mempunyai nama. Mungkinkah ada di antara air terjun yang tidak bernama itu mempunyai potensi untuk muncul sebagai destinasi persinggahan menarik? Jawapannya sudah pasti ya.

Ini kerana salah satu air terjun yang kami sempat terokai mempunyai keunikan tersendiri yang tidak ada pada air terjun lain. Oleh kerana air terjun ini belum diberi nama dan memandangkan kami merupakan kumpulan kedua menjejak kaki di situ maka pihak penganjur menamakannya sebagai air terjun Mangkin. Ini kerana air terjun itu mengalir di sungai Mangkin.

"Tak ada nama lagi. Letaklah apa-apa nama, sebab kita yang buka tempat ini,'' kata Pengarah Operasi dan Teknikal Middle Earth, Amiruddin Sabri.

Selepas berbincang, kami bersetuju untuk menamakan air terjun ini dengan air terjun Mangkin iaitu mengambil sempena nama sungai yang melaluinya.

Oleh kerana air terjun itu baru dua kali dijejaki kumpulan yang ramai maka tiada jalan lain yang boleh digunakan untuk sampai ke sana kecuali dengan menaiki 4x4.

Berikut catatan perjalanan kami.

Meredah debu

Konvoi kami bergerak meninggalkan Jerantut pada pukul 12.05 tengah hari pada 20 Februari lalu dan satu jam kemudian, kami sampai di simpang masuk ke laluan balak menuju ke tapak perkhemahan sungai Mangkin.

Simpang itu terletak di sebelah kanan jalan raya menuju ke Taman Negara dari arah Jerantut dan beberapa meter melepasi jambatan sungai Tekal. Saya difahamkan laluan balak yang ditempuh telah hampir lima tahun tidak digunakan. Oleh kerana itu, sekumpulan krew Middle Earth mengadakan recce seminggu sebelum ekspedisi ini diadakan. Saya difahamkan, hari pertama recce bermula pada pukul 12.00 tengah hari dan berakhir pada pukul 4.00 pagi, keesokan harinya. Sebanyak dua jambatan dibina, selain kerja-kerja menebang pokok tumbang yang merentangi laluan di beberapa lokasi tertentu.


LALUAN balak yang telah lima tahun terbiar diredah oleh konvoi Middle Earth dalam ekspedisi yang dinamakan Rainbow In The Dark.


Dalam konvoi ini, saya menaiki Frontier milik Muhd Rashdan Mokhtar, 26, bersama Shahfizan Shafin, 26, (Pijan) dan Shuhaida Borhan dari Zusb World Travel Sdn. Bhd. Awal perjalanan agak selesa kerana permukaan jalan yang kering. Namun begitu, jalan yang kering menyebabkan debu-debu berterbangan sekali gus memaksa kami menutup tingkap kereta walaupun hakikatnya, kami lebih suka menghirup udara segar di pergunungan yang menghijau.

Selain berdebu, kami juga menempuh laluan berpasir, pokok resam, tanah merah yang lembut serta tebing bukit di kiri dan kanan yang mana lebar laluan hanya muat untuk sebuah kenderaan sahaja. Kami juga menempuh laluan yang di sebelah kanannya adalah jurang yang ratusan kaki menjunam ke lembah dengan tebing bukit di sebelah kiri. Di laluan ini, panorama alam yang disajikan amatlah menawan dengan kehadiran gunung-ganang dan bukit-bukau berlatar belakang langit biru pekat yang disulami kabus nipis yang dingin.

Terasa damai di hati tatkala melihat keindahan itu. Lebih mengujakan apabila kami turut menempuh kawasan hutan yang dedaunnya pelbagai warna. Bola mata kami liar melihat celah-celah dedaunan hijau tua dan hijau muda yang disulami dengan spesies pokok yang kesemua daunnya berwarna kuning susu. Percikan warna alam itu nyata menjadikan kami begitu asyik melihatnya sehingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas dan jam menunjukkan pukul 3.15 petang. Kala itu, langit yang pada mulanya membiru bertukar kepada hitam pekat lantas memuntahkan isinya yang mencurah membasahi bumi.

Sebaik sahaja hujan, ada suara di hujung radio amatur yang berkata: "Hujan dah turun... boleh la... geli-geli.'' Saya kenal suara itu dan sekadar tersenyum memikirkan apakah yang dimaksudkan dengan 'geli-geli' itu?

Suara di hujung radio yang lain pula kedengaran: "Habis la...air kotak kat belakang tu."

Kami berhenti seketika bagi memindahkan katil lipat dari jentera Hilux milik Nubahan yang tidak bertutup ke Land Rover Defender yang dipandu oleh Mat Duan. Titisan hujan menyebabkan tanah merah lembut bertambah lecak sehingga menyukarkan konvoi mendaki bukit. Laluan licin membuatkan setiap pacuan 4x4 mengambil sedikit masa untuk melepasi puncak bukit.

Kami tiba di titi pertama pada pukul 4.20 petang dan titi kedua kira-kira 20 minit kemudian. Segalanya berjalan lancar, tiada jentera yang terbabas dari titian yang dibina oleh krew Middle Earth pada minggu lalu.

Detik paling berdebar

Tempoh satu jam ini merupakan tempoh yang membuatkan jantung kami hampir 'terhenti'. Ini kerana laluan yang ditempuh begitu mendebarkan. Ketika jam menunjukkan pukul 5.25 petang, pacuan 4x4 Nusantara yang dipandu oleh Man tercabut lampu kiri belakang apabila terlanggar sebatang kayu tumbang di kiri jalan. Laluan itu bukan sahaja sempit malah selekoh tajam dan jurang di hadapan membuatkan pemandu bekerja keras menggunakan segala kemahiran yang ada untuk melepasinya. Jika terlajak, pasti jentera yang dipandu akan terhumban jatuh ke dalam gaung di hadapan kiri laluan.


TITI pertama yang perlu dilepasi konvoi.


Sekitar pukul 5.34 petang, gergaji elektrik digunakan untuk memotong pokok tumbang tersebut. Hampir sejam kemudian iaitu kira-kira pukul 6.20 petang, barulah kami tiba di tapak perkhemahan sungai Mangkin.

Sungai Mangkin tidaklah besar tetapi memiliki air yang jernih dan dingin. Kami mendirikan khemah hanya beberapa langkah dari gigi air. Justeru, tatkala terjaga daripada tidur keesokan harinya, hanya pemandangan yang menghijau tersaji di hadapan mata. Ia satu suasana yang begitu mendamaikan. Kami mula berjalan kaki ke air terjun sekitar pukul 10.00 pagi pada 21 Februari. Melihat jarak yang dilalui, perjalanan tanpa henti ke air terjun itu hanya mengambil masa sekitar 45 minit. Di air terjun, mata kami terpukau melihat jatuhan air dari tingkat yang dilapisi batu-batan yang unik dan tidak pernah dilihat oleh saya. Lapisan batu-batan itu membentuk tebing tegak 90 darjah dan di tengahnya mengalir air terjun Mangkin yang deras.

Di bawah pancuran air terjun, terbentuk sebuah kolam yang mempunyai kedalaman yang pelbagai. Uniknya juga, kami boleh berdiri di belakang jatuhan air terjun kerana terdapat ruang yang boleh memuatkan tiga orang sekali gus. Kami sempat masak dan menikmati mi segera Maggie yang ditaja oleh Nestle sebelum pulang semula ke tapak perkhemahan. Nestle turut menaja baju-t dan minuman Nescafe 3+1.

Pada malamnya pula, aktiviti barbeku di tepi sungai diadakan dengan hidangan kambing panggang, ikan patin bakar, spageti, salad, puding dan koktel. Kami meninggalkan tapak perkhemahan keesokan harinya pada pukul 11.05 pagi dan tiba di jalan raya pada pukul 8.59 malam.

Cerita ibu cantik yang seksi




JELITAWAN ini sudah lama mendiamkan diri daripada dunia hiburan. Popular dengan badan seksi dan dikenali sebagai simbol seks semasa aktif berlakon di Hong Kong pada pertengahan tahun 1990-an, Christy Chung telah mengambil keputusan untuk menetap di Beijing, China selepas berkahwin kali kedua dengan penerbit album, Jon pada tahun 2003.

Dalam jangka masa itu, Christy telah mengurangkan aktiviti seni terutama berlakon.

Baru sahaja melahirkan anak kedua, Jayden pada Julai 2008, Christy ditemui di ibu kota baru-baru ini sebagai duta kepada pusat kecantikan Marie France Bodyline.

Masih mengekalkan bentuk badan menggiurkan, media tempatan mengambil peluang untuk bertanya khabar mengenai perkembangan terbarunya.

Memakai gaun pendek seksi, aktres keturunan Cina dan Vietnam itu mula bercerita mengenai kehidupannya sebagai ibu.

"Menjadi ibu memberikan kegembiraan tidak terhingga. Setiap pagi, saya berasa gembira melihat senyuman anak saya.

"Mempunyai masa untuk bermain dengan mereka adalah perkara yang menakjubkan. Itu bagi saya dipanggil erti kehidupan.

"Namun, saya perlu banyak merancang masa kerana anak sulung saya, Yasmine sudah berusia 11 tahun. Dia perlu menghadiri banyak kelas tetapi semuanya atas minat dia sendiri.

"Komunikasi adalah penting dalam membesarkan anak dan saya juga tidak mahu memaksa dia melakukan benda-benda yang tidak disukai.

"Saya bersifat terbuka dalam mengajar mereka tetapi ada batasannya. Saya memberikan mereka bimbingan dan nasihat supaya mereka boleh menjadi orang dewasa yang tabah," senyum Christy yang dinobatkan sebagai Wanita Asia Paling Seksi tahun 2000 oleh majalah FHM Singapura.


WAJAH seorang wanita berkerjaya yang mampu mengekalkan kejelitaan.


Sungguhpun menyukai fasa hidup sebagai ibu, Christy memberitahu dia tidak boleh menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Ditambah dengan personaliti yang sukakan cabaran, Christy tidak boleh duduk diam di rumah.

Maka, apabila diberi peluang untuk melakukan satu persembahan amal di Beijing pada tahun 2006 di hadapan 15,000 penonton, Christy telah membuat keputusan untuk menyanyi.

Dia juga telah menubuhkan satu kumpulan, Goddess pada tahun 2006 bersama dua anggota lain.

"Single pertama kami, Good Sister akan dipasarkan bulan depan dan kami sedang dalam proses membikin album Mandarin pertama kami. Saya bersungguh-sungguh dalam menyiapkan album ini kerana sudah jatuh cinta dengan nyanyian," katanya mengenai kumpulan yang turut dianggotai Kiki dan Cecilia.

Memenangi pertandingan ratu cantik Chinese Montreal pada tahun 1992 telah membuka peluang lakonan di Hong Kong tanpa mengenali sepatah perkataan Cina dan Kantonis. Atas usahanya, dia telah diberi peluang dan kariernya telah dibina selepas itu.

Popular dengan filem God of Cooker, '97 Aces Go Places, All's Well, Ends Well 1997, Jan Dara dan The Medallion, kali terakhir Chrity muncul dalam filem adalah empat tahun lalu menerusi naskhah Astonishing dan Fantasia.


ANAK dan keluarga adalah erti kehidupan yang sebenar kepada Christy.


Namun, ini tidak bermaksud Christy tidak berminat untuk berlakon. Dia masih merindui proses berlakon tetapi setakat ini masih belum mendapat skrip yang memenuhi cita rasanya.

"Memang ada banyak tawaran untuk berlakon tetapi skripnya tidak menarik. Selepas melalui pelbagai pengalaman hidup dan emosi, saya sudah matang.

"Jadi saya perlukan watak lebih matang dan mencabar. Dulu semasa muda, saya perlu mencuba banyak watak tetapi kini saya sudah boleh memilih," kata Christy yang membesar di Montreal, Kanada.

Mahu memegang watak yang dapat menyentuh hati audiens, Christy merasakan dirinya sukar untuk menyingkirkan imej seksi. Dia kagum dengan Cameron Diaz yang mampu membawa imej seksi dan diberi peluang untuk membuang imej itu untuk watak serius.

"Kita hidup dengan pelbagai tekanan. Jadi saya mahu menjayakan watak yang dapat dijadikan pedoman kepada audiens daripada memegang watak sebagai wanita cantik dan seksi. Saya mahu menjadi seperti Cameron yang versatil.

"Namun, saya amat bertuah berterima kasih kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan bintang hebat seperti Jackie Chan, Jet Li dan Stephen Chow," tambahnya.

Duta pertama Marie France

Dipilih sebagai selebriti pertama untuk mewakili Marie France dan sudah menjalankan tugas itu selama 10 tahun, Christy juga berdepan dengan cabaran masalah berat badan selepas melahirkan anak seperti ibu lain.


BUKAN saja mahu sentiasa tampil cantik, Christy juga amat mementingkan kesihatan diri.


Dia berasa amat sedih semasa melahirkan anak pertama kerana mendapat cemuhan daripada pelbagai pihak mengenai berat badannya. Malah ramai penerbit filem dan media telah mengkritik bahawa kariernya akan berakhir kerana berat badannya.

"Semasa melahirkan anak pertama, Yasmin, di Kanada pada tahun 1998, ada papparazi yang merakamkan gambar saya. Ketika itu, badan saya amat berisi dan penerbit di Hong Kong telah membuat kenyataan bahawa mereka tidak mahu mengambil saya untuk berlakon.

"Saya amat sedih tetapi kawan telah memperkenalkan saya kepada Marie France. Saya berjaya menguruskan badan dalam masa hanya tiga minggu," kata Christy yang fasih berbahasa Inggeris, Mandarin, Kantonis, Perancis dan Vietnam.


SELEPAS 10 tahun, masih kekal sebagai jurucakap pusat kecantikan Marie France Bodyline.


Maka apabila dia melahirkan anak keduanya, Jayden tahun lalu, Christy tidak teragak-agak untuk mendapatkan khidmat bantuan Marie France. Dalam masa dua bulan, Christy telah berjaya mengurangkan 10 kilogram dan 10 inci di bahagian perutnya.

"Rawatan Marie France sangat selamat tanpa suntikan atau mengambil sebarang pil. Teknologi terbaru mereka, sistem BodyTech Perfectionist bukan sahaja mampu menguruskan badan tetapi juga membantu saya menghilangkan rasa penat menjaga anak," jelasnya yang sedang meneroka budaya masyarakat China.

Masih aktif bersenam, Christy memastikan dirinya bersenam selama 45 minit tiga kali seminggu dan mengamalkan diet ketat. Namun, senaman hanya membina otot dan apa yang dikehendaki Christy adalah membakar lemak.

"Apa yang saya suka mengenai Marie France adalah hasilnya dapat kekal lama. Kulit saya juga menjadi tegang dan lebih bertenaga walaupun hanya dengan satu rawatan," ujarnya.

Tolong hapuskan juri SMS - Hattan


SELANTANG nyanyiannya, demikian juga lantang Hattan ketika menjadi juri pertandingan nyanyian.


PERKATAAN dari mulutnya menderu keluar tanpa ditapis, setiap isi hati diluahkan sejujurnya. Itulah Hattan, dikenali sebagai seorang lelaki bermulut lancang.

Begitu juga ketika dia menjadi juri beberapa program realiti dan terbaru program My Starz LG musim kedua yang baru saja melabuhkan tirainya dengan kemenangan Wana.

Mungkin ada yang berasa sakit hati atau menyampah dengan kata-kata duda berusia 44 tahun ini saat dia duduk di kerusi juri tetap program berkenaan bersama penyanyi Liza Hanim.

Tetapi, Hattan dengan selamba mengatakan dia tidak peduli kerana dia hanya menjalankan tugasnya selaku juri profesional yang mahu mendidik dan melahirkan penyanyi yang serba boleh.

Namun, dalam kelancangan mulutnya berkata-kata, ada satu perkara yang membuatnya tidak senang duduk, iaitu penilaian bakat melalui sistem pesanan khidmat ringkas (SMS). Sistem ini semakin beraja didalam pertandingan mencari bakat-bakat baru dewasa ini yang sudah pastinya bersandarkan kepada kewajaran untung.

Apakah yang membuatkan Hattan tidak puas hati, sedangkan sebelum ini sudah berapa banyak program seumpama itu menghasilkan penyanyi popular.

Ikuti temu bualnya bersama Kosmo!

Apa yang Hattan tidak puas hati dengan penilaian menerusi SMS?

SMS membuktikan tidak banyak penyanyi yang keluar menjadi. Memanglah popular, tetapi sekejap saja, kemudian lesap entah ke mana. Berapa banyak artis realiti TV yang muncul tetapi yang boleh pergi jauh. Daripada jumlah itu, boleh dikira dengan jari tidak sampai 10 orang pun.

Maknanya Hattan menolak cara pemarkahan program realiti sekarang?

Memang saya tolak kalau 100 peratus undian terletak di tangan penonton. Ini kerana dengan cara itu bakat yang bagus diketepikan begitu saja tanpa digilap. Memanglah SMS ini bagus untuk pemasaran tetapi ada baik dan buruknya. Berapa ramai penonton yang undi sebab seseorang peserta itu bagus? Kebanyakannya undi sebab peserta itu kacak dan cantik bukannya bakat. Itu masalahnya.

Jadi, cara terbaik macam mana?

Saya rasa kita kena kembali ke zaman dulu, zaman 80-an atau 90-an. Masih dengan program realiti TV tetapi cara pemarkahannya menggunakan cara lama, macam Bintang RTM. Itu baru betul! Nampak macam klasik tetapi yang klasik itulah masih bertahan sampai hari ini. Sayanglah bakat bagus tetapi diundi keluar oleh penonton yang kadang-kala tersalah nilai.


APAKAH Wana akan mengikut jejak juara terdahulu yang terus 'sepi' selepas kemenangannya?


Kalau macam itu, kenapa Hattan sudi untuk menerima tanggungjawab sebagai juri tetap di dalam program My Starz LG musim kedua?

Saya setuju sebab 70 peratus markah terletak di tangan juri hanya 30 peratus saja di tangan penonton, maknanya kami juri masih ada kuasa untuk tentukan siapa yang layak menang.

Setiap minggu dalam program My Starz LG kritikan Hattan paling pedas. Boleh ke kritikan pedas membantu peserta menjadi artis yang bagus?

Kritikan saya itu hanya untuk provokasi supaya mereka jadi yang terbaik. Kalau baru kena kritik sikit pun nak kecewa dan bersedih susahlah. Artis macam ini tidak boleh pergi ke mana dan bermakna dia tidak bersedia. Jadi penyanyi bukan senang, kena kuat mental dan semangat. Saya tahu, sebab penyanyi generasi saya sudah lalui semuanya. Mungkin bentuk dugaan kami sikit berbeza kerana sekarang penuh dengan kecanggihan teknologi tetapi dugaan itu tetap sama.

Jika dilihat dengan teliti, program My Starz LG tidak berapa mendapat tempat di hati peminat seni. Pada Hattan di manakah kelas program ini?

Program ini ada kelasnya yang tersendiri, biarlah tidak popular pun asalkan dapat lahir penyanyi yang berkualiti, daripada popular tetapi yang keluarnya suam-suam kuku saja. Cukuplah dengan penonton sebanyak 1.8 hingga 2 juta setiap minggu.

Ada yang mengatakan Wana tidak layak duduk di tempat pertama, komen Hattan?

Siapa yang kata dia tidak bagus? Dia bagus, kami nilai persembahan dia setiap minggu dan dia seorang yang konsisten. Selain itu, pada hari final kami nampak kesungguhannya, sebab itu dia menang. Bukan saja kerana persembahan hebat tetapi vokalnya juga.

Dia boleh pergi jauh ke? Kalau tengok juara dan finalis musim pertama, sekarang pun orang sudah lupa?

Mereka semua bagus begitu juga dengan juara musim pertama Tashya. Mungkin masa itu tiada kontrak seperti musim kedua ini. Namun, untuk musim kedua ini saya tidak akan sia-sia mereka, dalam ramai-ramai peserta final saya akan nilai dan pilih untuk mereka bernaung di bawah syarikat saya sendiri. Industri seni perlukan pelapis dan saya dalam usaha untuk membentuk pelapis yang berkualiti.

Pernikahan rahsia Titi Kamal


CHRISTIAN SUGIONO dan Titi Kamal.


BERITA mengenai pernikahan antara pasangan selebriti Christian Sugiono dan Titi Kamal yang hangat diperkatakan sebelum ini bukannya khabar angin semata-mata.

Baru-baru ini, Christian telah mengakui kepada wartawan Indonesia bahawa dirinya sudah bernikah dengan Titi di Australia pada 6 Februari lalu.

Akuinya, pernikahan itu hanya dihadiri oleh 22 orang termasuk keluarga dan rakan terdekat.

"Memang kami telah melangsungkan majlis pernikahan pada 6 Februari lalu. Kami berada di sana selama empat hari dan mereka yang hadir adalah keluarga serta rakan rapat.

"Sebelum ini, kami sudah memberitahu keluarga kami mengenai berita ini. Jadi kami bukannya bernikah secara bersembunyi," ujar Christian di samping Titi Kamal di Brew & Co Cilandak Town Square.

Sungguhpun membuat pengakuan perkahwinan, pasangan ini enggan bercerita lanjut mengenai majlis perkahwinan mereka.

Kata Titi: "Biarlah kami sahaja yang tahu mengenai perkahwinan ini. Apa yang penting kami sudah bernikah secara sah yang disaksikan oleh keluarga kedua-dua pihak."

Christian juga enggan memberitahu mengenai jumlah mas kahwin yang diberikan kepada Titi. "Apa yang pasti jumlahnya agak besar. Sementara itu, isu cincin pula diuruskan oleh Titi sendiri," kata lelaki kacukan Jerman itu.

Sejak setahun lalu, mereka telah mula membuat persiapan perkahwinan. Pasangan ini juga memberitahu ada sebabnya mengapa mereka memilih bulan Februari sebagai hari bahagia.

"10 tahun lalu pada bulan Februari, saya bertemu dengan Titi buat kali pertama. Tetapi saya tidak mengingati tarikhnya. Jadi kami ingin mengingati saat itu dengan memilih bulan ini," tambah Christian.

Mengenai pemilihan lokasi pernikahan, jelas Titi, Australia adalah lokasi yang tepat untuk saat itu. "Pada mulanya kami ingin bernikah di Mesir tetapi tidak kesampaian kerana perang.

"Kami juga mahu memilih Yunani tetapi masa tidak mengizinkan. Jadi akhirnya kami memilih Australia."

Hikmal hadiahkan cincin kepada Nuri


HUBUNGAN yang semakin mesra menjadikan pasangan ini dikejar media.


HUBUNGAN cinta antara Nuri Shaden dengan kekasihnya, Hikmal Abrar masih berada dalam keadaan baik.

Semasa Nuri menyambut ulang tahunnya yang ke-25, Hikmal turut hadir bersama dan ini sekali gus menafikan khabar bahawa mereka sudah berpisah.

"Kami masih baik dan bersama. Isu sama kami masih bersama atau berpisah itu adalah biasa. Malah saya menjadikan khabar angin itu sebagai sesuatu yang berharga," ujar Hikmal.

Hikmal berharap kekasihnya itu akan menjadi lebih matang dalam menjalani kehidupannya dan dilanjutkan usia. "Kini dia sudah berusia 25 tahun. Saya doakan agar dia rajin dan sukses dalam kariernya."

Ada khabar yang menyatakan Hikmal menghadiahkan Nuri cincin sebagai tanda pertunangan tetapi Hikmal menafikannya.

"Hadiahnya adalah rahsia tetapi kalau soal cincin, saya sudah memberikannya sejak kami mula bercinta. Kami menganggap cincin itu sebagai tanda serius," jelasnya.

Menikah kerana hamil atau gugur?


ALDY TAHER dan DEWI PERSSIK.


DEWI PERSSIK tidak dapat menahan sedih apabila dia dikatakan berkahwin dengan Aldy Taher kerana hamil dan telah menggugurkan kandungan.

"Saya bernikah bukan kerana hamil atau keguguran. Tolong berhenti memfitnah saya," kata Dewi ketika berada di Jakarta Utara baru-baru ini.

Aldy yang berada di sisi Dewi cuba menenangkan isterinya. Selepas isterinya beransur tenang, Dewi akhirnya memberitahu mengapa pernikahan mereka disembunyikan.

"Sebagai isteri, saya menurut kepada suami. Oleh kerana suami meminta saya supaya tidak berbicara mengenai perkahwinan kami kepada pihak media, saya akur," kata Dewi.

Mereka yang berkahwin pada pertengahan Ogos lalu meminta ruang daripada media supaya tidak lagi memperbesarkan isu tersebut.

Mutiara kata-kata cinta

William Shakespeare pernah berkata: “Manusia mati dari semasa ke semasa dan badan mereka dimakan ulat, tetapi bukan kerana cinta.”


CINTA adalah satu perasaan anugerah Tuhan.


ORANG bijak dan budiman sejak zaman ke zaman pernah mengatakan bahawa cinta adalah sendi segenap keutamaan di dunia ini. Kalau tiada cinta, nescaya nilai kemanusiaan akan hancur. Orang yang bercinta tidak pernah khianat kepada orang yang dicintainya, tidak pernah menyakiti dan tidak pernah mengecewakan.

Filem Mohabbatein memaparkan bagaimana kekuatan cinta berjaya menundukkan ego seorang ayah dan sekali gus seorang pengetua yang membenci cinta.

Cinta memang perasaan yang menakjubkan. Ia ibarat sebuah barang antik, suatu benda lama yang sentiasa baru dari zaman ke zaman dalam hidup manusia. Lebih daripada itu, cinta itu lebih tua daripada alam kerana atas dasar cintalah Tuhan menjadikan alam ini.

William Shakespeare pernah berkata: "Manusia mati dari semasa ke semasa dan badan mereka dimakan ulat, tetapi bukan kerana cinta." Malah cinta itu datangnya dari mata turun ke hati, berendam dalam dada dan mengharap pemberian kepada yang satu.

Ya, hampir semua manusia pernah hidup di bawah langit cinta. Ia mempesona dan mewarnai pelbagai wajah. Ia menghiaskan kehidupan ini seumpama bunga, maka cinta itulah madunya.

"Semakin banyak engkau memuntahkan kata-kata tentang cinta, semakin sepi hatimu dan semakin engkau gilakan cinta. Tiada kisah teramat manis daripada kisah cinta. Tiada kisah teramat ngeri daripada putus cinta. Yang termanis daripada yang manis di dunia ini ialah pujian kekasih yang terlontar daripada rasa cintanya," demikianlah kata-kata orang bijak yang memang kita percayai dan tersemat dalam jiwa kita yang terdalam.

Namun ingat bahaya cinta: cinta monyet ialah cinta keanak-anakan, cinta palsu sekadar basa-basi atau penghormatan, cinta saku merosak saku menguras wang. Oleh itu, 'bercintalah' dengan sepenuh hati kerana cinta sejati sajalah yang akan menghasilkan cita-cita luhur dan abadi. Cinta sejati memang tidak terungkap dengan kata-kata kerana ia menghiasi perbuatan 'pencintanya'. Kata-kata cinta itu memang indah, bernas, klasik, segar dan menyentuh perasaan dan ini mengingatkan kepada sebuah karya lama yang amat berharga hasil penyelanggaraan Allahyarham A. Karim Abdullah.

Allahyarham atau lebih akrab semasa hayatnya dengan panggilan Bung Karim sebelum pemergiannya telah mengumpulkan koleksi mutiara kata berkaitan cinta lalu menghasilkan Yang Bernama Cinta, satu buku yang comel dan bermakna yang harus dimiliki oleh sesiapa saja yang pernah bercinta, yang pernah luka kerana bercinta, yang sakit dipanah cinta, yang berbahagia kerana cinta dan yang asyik memburu cinta.

Yang Bernama Cinta itu menghimpunkan 508 entri mutiara kata-kata berkaitan cinta yang memang kaya dengan falsafah dan fikiran dan amat wajar sekali untuk dibuat renungan sebagai panduan dan sempadan dalam melayari hidup yang bernama cinta ini.

Bak kata Mawar Shafei, dalam kata pengantar buku ini, "Yang Bernama Cinta merupakan hasil kerja yang bersungguh dan penuh upaya hasil daripada pembacaan dan pengalaman yang luas. Ternyata upaya Allahyarham Bung Karim begitu bersifat merata - daripada latar politik kepada kesusasteraan, kebudayaan dan kini kepada koleksi mutiara kata."

Memang dalam Yang Bernama Cinta ini terhimpun kata-kata keramat tokoh-tokoh agama, sasterawan dan sarjana Timur dan Barat dalam mengungkapkan kata-kata cinta yang cukup padat, dalam dan bermakna. Ada ayat terpilih daripada al-Quran dan hadis. Ada sedutan daripada genre kesusasteraan yang pelbagai - novel, drama dan puisi. Ada juga cuplikan kata daripada Hamka, William Shakespeare, Rabindranath Tagore, Leo Tolstoy, Goethe, dan lebih dari itu ia turut memuatkan puisi Kekasih nukilan Allahyarham Usman Awang.

Kata Mawar Shafei lagi, "Yang Bernama Cinta disaring daripada dekad-dekad kehidupan yang rencam. Ia diterjemahkan daripada orak-arik kehidupan yang dialami dan diperhati. Makna cinta itu ternyata disaring dan diterjemah daripada pelbagai spektrum yang meriah. Ditemui lebih banyak makna cinta. Dikepil sama dalam buku ini beberapa ilustrasi berserta indeksnya, yang diusahakan secara bersungguh lagi halus."

Kehalusan kata-kata cinta dalam buku bukan saja wajar dimiliki tetapi juga sesuai untuk dijadikan 'cenderahati' yang menggambarkan kehalusan dan ketulusan para pemberinya. Buku ini tidak termasuk dalam kategori 'buku mewah' yang sering dibanggakan oleh pemiliknya kerana 'kemewahan' cinta itu mengatasi kemewahan fizikal yang sering ditonjolkan oleh pemiliknya.

Buku ini bukan saja mengungkapkan kata cinta sesama manusia, tetapi juga cinta manusia pada alam, pada Tuhan. Dengan kata lain, Yang Bernama Cinta mengungkapkan pengertian cinta seluas-luasnya. Lihatlah dan renungilah kata-kata Bung Karim sendiri tentang cinta: "Cinta kepada harta bererti bakhil, cinta kepada perempuan ertinya alam, cinta kepada diri ertinya bijaksana, cinta kepada mati ertinya hidup, cinta kepada Tuhan ertinya takwa."

Atau renungi pula kata-kata Hamka: "Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sali sedan. Tetapi cinta menghidupkan penghargaan, menguatkan hati dalam perjuangan, menempuh onak dan duri penghidupan."

Bagi penulis, sentuhan cinta semakin tersengat bahkan amat diperlukan dalam konteks sekarang, memandangkan sentuhan cinta kemanusiaan semakin terhakis dengan berlakunya peristiwa-peristiwa 'mencemaskan' umat manusia seperti keganasan global, perang tanpa henti, konflik antara umat yang mengaku beragama, seolah-olah membayangkan sentuhan cinta sesama manusia telah 'tercabut' daripada jiwa terdalam manusia. Walhal cinta itu adalah jiwa, di antara cinta sejati dengan jiwa tidak dapat dipisahkan, kerana cinta pun merdeka sebagaimana jiwa.

Ia tidak membezakan di antara yang kuat dan lemah, di antara kaya dan miskin bahkan antara darjat dan bangsa. Tetapi inilah yang kita saksikan di merata dunia.

Manusia membunuh, menindas demi memenuhi cinta palsu atas nama kemanusiaan, sedangkan cinta sejati sesama manusia semakin dilupakan, apatah lagi cinta sebenar terhadap Tuhan. Manusia lupa kata-kata ahli fikir Islam, Al-Farabi bahawa cinta yang ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu sebenarnya adalah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk binatang. Bak kata Hamka lagi: "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji."

Takdir Rubina dan Azharuddin

Menonton Slumdog Millionaire, sesiapa sahaja pasti terkesan dengan kehidupan penuh daif Salim, Jamal dan Latika. Dua daripada pemegang watak itu sememangnya kanak-kanak miskin di negara asal mereka, India.




DUNIA mereka begitu jauh bezanya dengan kebanyakan penduduk dunia. Hidup dalam gubuk yang dikelilingi lautan sampah-sarap memberikan gambaran sebenar tentang kemiskinan yang menghimpit mereka. Mereka adalah anak-anak yang tinggal di kawasan kejiranan yang sangat kotor, sesak, tidak terurus dan melarat di India.

Mereka tidak berpeluang untuk pergi ke sekolah, apatah lagi untuk memakai pakaian cantik dan menaiki kapal terbang. Ia sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka.

Namun semua itu berubah pada majlis Anugerah Oscar, 22 Februari lalu.

Rubina Ali, 9, dan Azharuddin Mohammed Ismail, 10, kini mula melayari dunia yang penuh gemerlapan apabila mereka berpeluang menyertai nama-nama terkemuka Hollywood pada majlis anugerah paling berprestij dalam dunia perfileman.

Sebelum itu, kedua-duanya datang dari kawasan sesak dan kotor di Mumbai. Ketika itu, mereka hanya mampu bermimpi untuk tinggal dalam kehidupan yang selesa.

Dengan ibu bapa yang uzur dan wang yang tidak mencukupi untuk makan, kehidupan selesa umpama cubaan mencapai bintang di langit dan jauh daripada realiti.

Namun pada hari ini, kedua-dua nama bintang kecil itu telah dinaikkan ke status selebriti bukan hanya di peringkat tempatan malah, nama Rubina Ali dan Azharuddin Ismail kini dikenali di serata dunia.

Impian mereka juga telah berubah. Rubina dan Azharuddin kini mahu menjadi pelakon walaupun mereka akan terus tinggal dalam gubuk di kawasan kejiranan Bandra.


"RUBINA berdiri di hadapan rumahnya yang dikelilingi sampah-sarap di Mumbai."


Rubina yang menetap di gubuk beratap zink yang dikongsi bersama ibu bapa dan enam adik-beradiknya di kawasan setinggan sesak telah dipilih untuk membintangi filem Slumdog Millionaire, yang berjaya meraih banyak Anugerah Oscar tahun ini.

Filem itu mengisahkan perubahan hidup seorang lelaki miskin di India yang bersaing untuk memperoleh cinta dan wang di sebuah rancangan televisyen.

Selain beliau, rakan dan jirannya, Azharuddin telah dipilih membintangi filem arahan Danny Boyle yang kemudiannya meraih lapan anugerah berprestij termasuk kategori terbesar, Filem Terbaik.

Kawasan sesak Bandra jauh berbeza dengan kerlipan dunia Hollywood yang mewah dengan kereta limousin dan pakaian-pakaian daripada pereka terkemuka.

Azharuddin yang tinggal bersama ibunya yang buta sebelah mata dan ayahnya yang menghidap penyakit batuk kering memperoleh RM5.30 sehari dengan menjual kayu api. Mereka tinggal di sebuah gubuk yang diperbuat daripada tarpaulin dan tidur dengan selimut yang lapuk.

Sementara itu, rumah gubuk sebilik Rubina yang memainkan watak kanak-kanak Latika, terletak di atas lautan sampah-sarap.

Landasan kereta api yang kotor dan jalan raya yang dipenuhi sampah membentuk sempadan di kawasan penempatan yang sesak itu.

Setiap kali kanak-kanak perempuan yang bermata besar itu menyebut nama kawasan sesak itu sebagai rumahnya di kaca televisyen, rakan-rakannya melopong dan berbangga sebelum menjerit dan menari.

Kedua-dua kanak-kanak itu bukan hanya melengkapkan filem tersebut. Malah, mereka membawa perubahan di kawasan yang dahulunya tidak mendapat perhatian sesiapa pun, apatah lagi pihak luar.


"AZHARUDDIN berdiri di tepi gubuk keluarganya yang berlantaikan tanah dan beralas tikar di Mumbai."


Pada Isnin lalu, sekumpulan wartawan tempatan dan antarabangsa berduyun-duyun mengunjungi kejiranan tersebut.

Tripod televisyen dipasang merentangi sungai kumbahan yang berada di luar kediaman Rubina sementara deretan trak satelit terletak di luar sebuah gerai teh yang pada hari biasa lengang.

"Biasanya tiada siapa yang bercakap dengan kami dan tiada siapa yang datang ke sini. Tetapi sekarang, semua orang ada," kata bapa Azharuddin, Mohammed Ismail di hadapan kamera.

Kira-kira 65 juta rakyat India atau suku peratus populasi urban tinggal di kawasan sesak, menurut kajian kerajaan.

Di kawasan itu, penjagaan kesihatan hampir tidak wujud, buruh kanak-kanak berleluasa dan kehidupan yang penuh kemiskinan membentuk latar belakang harian.


"JIRAN-JIRAN Azharuddin menonton Anugerah Oscar menerusi televisyen di luar rumah mereka."


Sementara itu, akhbar Times pada tahun 2007 melaporkan dengan memetik kenyataan kerajaan India bahawa penduduk kawasan sesak telah meningkat lebih dua kali ganda sejak dua dekad lalu dan kini melebihi populasi Britain.

Perluasan kawasan sesak dan kotor di India sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan jumlah populasi India.

Keadaan bertambah buruk dengan migrasi beramai-ramai penduduk luar bandar untuk mencari pekerjaan yang lebih baik di kawasan bandar.

Di samping itu, peningkatan populasi kawasan sesak juga menjadi bukti kegagalan kerajaan untuk membina rumah dan infrastruktur asas yang mencukupi untuk penduduk bandar yang miskin.

Kebanyakan mereka hidup tanpa tenaga elektrik, gas mahupun paip air.

"Peningkatan kawasan ini disebabkan kekurangan rumah mampu milik yang disediakan oleh kerajaan," kata Maju Varghese dari YUVA Urban, sebuah organisasi bukan kerajaan yang telah membantu golongan miskin bandar selama lebih daripada 20 tahun.

"Kerajaan telah menarik diri untuk meneruskan bantuan itu kerana kos perumahan dan harga tanah telah meningkat ke tahap yang menyebabkan orang ramai tidak mampu memiliki rumah yang baik," ujarnya.

Di sebalik itu, filem Slumdog Millionaire menerima tentangan daripada sesetengah penduduk India yang mengatakan ia menjatuhkan martabat masyarakat itu dan tajuknya yang dianggap menghina.


"AZHARUDDIN berehat di gubuknya di kawasan setinggan di Mumbai sebelum berlepas ke Los Angeles untuk menghadiri majlis Anugerah Oscar."


Protes dilihat berlangsung di Mumbai dan penduduk kawasan sesak di bandar utara India yang mengatakan filem itu merendahkan martabat golongan miskin.

Pembuat filem Slumdog Millionaire berkata, mereka berhadapan dengan komplikasi bekerja dengan kanak-kanak daripada keluarga miskin.

Boyle yang memenangi kategori Pengarah Terbaik pada majlis anugerah tersebut dan produser, Christian Colson telah memutuskan untuk membantu Azharuddin dan Rubina dengan menempatkan mereka di Aseema, sebuah sekolah berbahasa Inggeris yang tidak mengaut keuntungan di Mumbai.

Kedua-dua ibu bapa Rubina gembira dengan usaha yang ditunjukkan oleh Boyle dan pasukannya.

"Apa sahaja yang boleh dilakukan oleh seorang ibu atau bapa, mereka telah membuat lebih daripada itu," kata Rafiq Qureshi.

Penghuni lain di kawasan kejiranan itu juga gembira dengan kejayaan pelakon kanak-kanak itu.

"Ia takdir Rubina," kata Mohammed Muzzammil, 22.

"Kami tidak mahu apa-apa daripada kejayaannya."

Namun demikian, sahabat akrab Rubina, Saba Qureshi mahukan sesuatu iaitu cerita-cerita dan gambar-gambar dari Los Angeles.

"Saya tidak percaya melihat Rubina di Amerika. Dia kelihatan seperti seorang bidadari," katanya.

Ayah Saba, Sohail Qureshi, menyelit : "Ia seperti kebahagiaan jatuh dari langit."

Pada majlis anugerah itu, sahabat handai dan kaum keluarga bersesak di rumah Rubina untuk menonton acara berprestij itu melalui satu-satunya tanda kekayaan keluarga itu, sebuah televisyen paparan leper.


"ORANG ramai mengerumuni Rubina yang gambarnya sedang dirakamkan di kampungnya di Mumbai."


Jiran-jiran juga berkumpul di luar rumah Azharuddin yang memainkan watak Salim ketika kecil dalam filem berkenaan. Sebuah televisyen kecil diletakkan di atas sebuah bangku di jalan untuk membenarkan orang ramai menonton.

"Hakikat di mana anak seorang lelaki miskin telah mengukir namanya sendiri telah membuatkan saya amat gembira," kata Mohammed Ismail.

Menurut akhbar dalam talian, Telegraph, bagi menghargai penghormatan yang telah mereka bawa ke bandar raya itu, pihak berkuasa Mumbai akan menghadiahkan mereka sebuah flat setiap seorang.

"Mendapat sebuah flat yang teratur adalah satu pemberian yang cukup bermakna bagi kami," kata bapa Rubina, Rafiq Qureshi yang bekerja sebagai seorang tukang kayu.

Tambah beliau: "Mula-mula ke Oscar dan sekarang, perkara ini. Kami telah menetap di kawasan ini selama tiga generasi dan akhirnya, kami mungkin dapat keluar dari situ.

"Ia bukan tempat yang baik untuk hidup kerana kami sentiasa berhadapan dengan ancaman untuk 'dimusnahkan'. Kesanggupan pihak kerajaan membantu kami adalah satu perkara yang menakjubkan," katanya sambil memaklumkan mereka tidak pernah bermimpi untuk memiliki sebuah flat.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Kawasan Maharashtra (MHADA) berkata, kanak-kanak itu wajar menerima pemberian tersebut.

"Mereka telah menaikkan nama negara dan membantu dalam kemenangan filem itu. Mereka begitu istimewa dan kami ingin membantu mereka," kata Pengerusi MHADA, Amarjeet Singh Manhas.

Sungguhpun demikian, keperincian mengenai lokasi dan saiz rumah baru kanak-kanak itu masih belum diketahui, tetapi besar kemungkinan ia adalah sebuah flat satu bilik di salah satu kawasan subbandar di utara bandar berkenaan.

Bagaimanapun, langkah itu telah menerima kontroversi di India.

"Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan cuba mengikut ombak populariti yang terhasil oleh filem berkenaan pada ketika pilihan raya semakin hampir," kata seorang ahli sains politik di Institut Sains Sosial Tata dan Pusat Pengajian Ekonomi London, Dr. Ashwani Kumar.

Sungguhpun filem tersebut melahirkan kontroversi, ibu Rubina mempertahankannya.


"BERDIRI di hadapan dari kiri, Azharuddin dan Rubina kini menyimpan cita-cita untuk menjadi pelakon filem."


Munni Qureshi menegaskan, filem itu telah memberikan anak-anak miskin satu peluang yang bermakna sepanjang hayat.

"Saya sedar filem itu telah dikritik kerana memaparkan kemiskinan. Tetapi ia juga bermakna seorang kanak-kanak perempuan dari kawasan sesak Mumbai yang tidak pernah mengimpikan untuk ke luar negara telah berpeluang ke Anugerah Oscar.

"Jadi, kenapa ia sesuatu yang teruk?" soalnya kesal.

Peluang yang diberikan oleh filem itu telah mengubah kehidupan kanak-kanak tersebut dalam sekelip mata. Perubahan itu bakal menyaksikan mereka akan ke sekolah yang lebih teratur dan tinggal di rumah yang lebih baik.

Bagi Rubina dan Azharuddin, mereka akan berhadapan dengan perjalanan hidup yang penuh cabaran demi mengecapi kehidupan di luar kawasan sesak yang dihuni selama ini.

Namun demikian, dengan apa yang diberikan itu, mereka akan berpeluang menikmati yang terbaik dalam hidup masing-masing.

Terbang enam minit di udara




Jarum altimeter yang dipasang kemas di bahagian perut merangkak perlahan-lahan. Dari angka kosong, jarum hitam itu kemudiannya semakin pantas melewati satu persatu titik-titik kecil di dalamnya.

Pesawat Cessna 172 itu agak sempit. Ia hanya boleh memuatkan seorang juruterbang, jurulatih terjunan dan dua orang penerjun pada satu-satu masa. Dengan pintu terbuka, setiap penumpang dapat mendengar bunyi enjin dan angin dengan begitu jelas.

Setelah berlegar di ruang angkasa Segamat, Johor untuk beberapa ketika, enjin pesawat diperlahankan, menandakan itu adalah lokasi terbaik untuk melakukan penerjunan. Sementara meter terhenti pada angka 2.5, menunjukkan bahawa kami berada pada ketinggian 2,500 kaki dari permukaan bumi.

"Jumper number one, take your position!" jerit jurulatih terjunan, Shamsudin Mohd. Amin, 26, atau lebih dikenali sebagai Jidin dengan serius.

Antara berani dan takut, penerjun pertama mula memegang palang di sisi pesawat dan meletakkan kaki kiri di satu pelantar khas dan kaki kanan di atas tayar pesawat.

"Go! Go!" jerit Jidin. Masih memegang kejap palang pesawat, nampaknya dia masih belum bersedia untuk terjun. "Go! Go!" jeritnya lagi. Entah dari mana mendapat keberanian, dia akhirnya melepaskan tangan sambil sayup-sayup saya mendengar jeritannya.


SALAH satu contoh pendaratan yang agak menyakitkan.


Degupan jantung saya semakin kencang dan doa dalam hati pun bertambah panjang. Sebabnya, beberapa minit lagi tibalah giliran saya untuk terjun.

"Huh!" dengus Jidin, sambil mengarahkan saya untuk mendekati pintu pesawat yang luas ternganga.

Bingit angin yang menerpa deras dan sejuk boleh membuatkan sesiapa sahaja bertukar fikiran sama ada untuk terjun atau kembali masuk ke dalam kabin pesawat.

Memegang palang pesawat sekuat hati, saya menarik nafas panjang sambil 'menyumpah diri sendiri' kenapa saya dengan yakinnya menerima pelawaan untuk membuat penerjunan itu.

Apa-apa pun, sudah lambat untuk menyesal dan berpatah balik. Melihat rumah-rumah yang sekecil kotak mancis membuatkan perut saya semakin kecut. Inilah pengalaman kali pertama saya melakukan penerjunan statik dari ketinggian 2,500 kaki dari permukaan bumi.

Selepas mendapat arahan daripada Jidin, saya memberanikan diri melepaskan tangan sambil diiringi dengan jeritan paling kuat dan lama pernah saya lakukan.

Badan terasa berpusing akibat tolakan angin dan saya terus mendongakkan kepala sebagaimana yang diajar dalam kursus sehari sebelumnya.


PAYUNG terjun mesti dikendalikan dengan sebaik mungkin bagi mengelakkannya terkoyak atau rosak.


Hilang sudah kiraan yang sepatutnya dibuat, sebelum terasa badan tersentak ke atas, sekali gus menandakan payung mula kembang.

"Jumper number two, payung kembang dengan baik. Tarik slider sekarang! Tarik slider sekarang!," arah satu suara dari radio. Terkial-kial, saya terpaksa 'memanjat' dan menarik semua empat bucu slider yang berada agak jauh daripada jangkauan.

Slider yang berbentuk empat segi itu mesti diikat atau diturunkan bagi mengelakkannya daripada naik semula ke atas, kemudiannya boleh menyebabkan payung terjun menguncup.

Sekiranya menguncup, pasti ia bukanlah situasi yang mahu ditempuh oleh mana-mana penerjun, walaupun penerjun profesional.

Melepaskan nafas lega, mata saya pantas mencari toggle yang perlu dipegang. Toggle ini berfungsi sebagai brek memperlahankan pergerakan, selain 'stereng' untuk mengubah arah ke kiri atau ke kanan.

"Jangan sesekali lepaskan toggle ketika berada di atas sana. Pegang sehingga anda semua selamat mendarat," pesan jurulatih yang juga seorang pesara komando, Mohd. Fadzir Sharif, 43.


PENERJUN perlu memegang palang pesawat dan memijak pelantar dengan betul sebelum melakukan penerjunan.


Jantung saya kembali berdegup mengikut rentak yang normal. Inilah masanya untuk saya menikmati keindahan pemandangan dari atas dan keseronokan terbang di udara.

Melayang ke arah tiupan angin, saya terasa dibuai-buai dengan kelajuan sederhana, sambil sesekali menarik toggle ke kiri dan ke kanan untuk mengubah haluan.

Dari jauh, hamparan landasan tanah merah Lapangan Terbang Segamat yang menjadi zon mendarat dapat dilihat dengan jelas. Supaya tidak tersasar dari zon tersebut, saya mesti mendengar arahan dari radio sepanjang masa dan tidak boleh panik atau leka.


BEGINILAH kedudukan tubuh yang perlu dilakukan sebaik sahaja penerjun keluar dari pesawat.


Masa kira-kira enam minit berada di ruang angkasa terasa begitu pantas berlalu. Tarikan graviti kian terasa. Maksudnya, saya perlu berdepan dengan satu lagi 'azab' dalam sukan ekstrem ini, apa lagi kalau bukan mendarat seselamat mungkin.

Rasa bimbang semakin ketara apatah lagi setelah melihat ramai penerjun sebelum ini 'tergolek' ketika mendarat. Ada yang mendarat di atas lopak air, tar dan rumput, dalam keadaan tersembam dan pelbagai jenis 'stunt' yang lain.

Apa yang paling kritikal ketika mendarat ialah mengendalikan toggle atau brek dengan baik. Penerjun perlu bijak menarik toggle sama ada suku, separuh atau sepenuhnya berdasarkan ketinggian dan mesti mengikut arahan daripada jurulatih yang berada di bawah.


SEMUA peserta tekun mendengar taklimat terakhir sebelum bersiap sedia memakai kelengkapan untuk terjun.


Pada ketinggian yang sesuai untuk mendarat, penerjun juga tidak boleh menarik toggle ke kiri atau kanan sepenuhnya bagi mengelakkan mereka berpusing dan terhempas ke tanah.

Jangan sesekali menarik atau melepaskan toggle secara mengejut kerana ia boleh mengurangkan keberkesanan membrek ketika hendak mendarat. Penting juga diingatkan kepada penerjun supaya tidak menarik toggle sepenuhnya sebelum masanya.

Sebabnya, tindakan 'brek mengejut' itu akan membuatkan mereka tergantung, terbuai dan mendarat dengan bahagian belakang dahulu mencecah bumi.


MOHD. FADZIR menerangkan fungsi-fungsi peralatan yang ada pada payung terjun kepada semua peserta kursus.


Tidak mahu berdepan dengan pendaratan yang menyakitkan, saya menarik toggle sebagaimana yang diarahkan. Hasilnya? Saya tergolek juga di atas kawasan berumput, mujurlah tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sukan ini selamat. Apatah lagi kemungkinan payung terjun untuk mengembang adalah 99 peratus. Selagi penerjun tidak terlalu takut dan mengikut segala arahan yang diberi, mereka tidak akan berdepan dengan sebarang masalah.

"Kalau terluka, tercalar atau mendarat dalam keadaan kurang baik, itu biasalah. Rasa takut perlu ada dalam setiap penerjunan kerana perasaan itu akan membuatkan kita lebih berhati-hati," kata Jidin sambil tersenyum.

Penerjunan statik yang bermula kira-kira pukul 11 pagi pada Ahad lalu turut disertai oleh 14 orang penerjun dari Kuala Lumpur.

Biarpun hanya berada beberapa minit di 'awang-awangan', hanya satu perkataan yang saya boleh gambarkan mengenai pengalaman ini. Terbaik!

Siti Nurhaliza terkilan


SITI NURHALIZA dan Aziah pada pelancaran buku The Pink Book di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terkilan kerana hasratnya untuk bersama-sama dengan bapanya untuk memajukan sebidang tanah di Kuala Lipis, Pahang tidak kesampaian.

"Kami merancang untuk memajukan tanah itu dengan aktiviti pertanian di bawah syarikat 'Saldin', tetapi tidak kesampaian kerana Allah lebih sayangkannya,'' katanya.

Katanya, hasrat untuk memajukan tanah yang dihadiahkannya itu adalah satu amanat daripada Allahyarham Tarudin Ismail.

Siti Nurhaliza menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran buku The Pink Book tulisan Aziah Jasmin Azizul Hassan di sini semalam.

Buku yang telah berada dalam pasaran berharga RM45 senaskhah itu antara lain memberi maklumat mengenai asas penampilan wanita.

Sebanyak RM1 daripada setiap jualan senaskhah buku itu akan didermakan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Titian Kasih, Titiwangsa.

Allahyarham Tarudin, 67, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri baru-baru ini kerana kompilasi penyakit kencing manis dan buah pinggang.

Menurut Siti Nurhaliza, meskipun terkilan dengan pemergian bapa tersayang, beliau berazam untuk tabah dan kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

Friday, February 27, 2009

Zaefrul Kecewa Kerana Gambar Panas Lalu Tarik Diri Dari Muzikal Ibu Zain

image KUALA LUMPUR, 24 FEB 2009:  Gara-gara penyebaran gambar intim Zaefrul Nordin bersama Azizah Mahzan menerusiInternet sejak akhir-akhir ini turut membuatkan produser teater Muzikal Ibu Zain, Siti Rohayah Attan atau Roy, tidak senang duduk. Ini kerana banyak pihak telah mendesaknya supaya menggugurkan nama Zaefrul dari pementasan musim kedua itu yang bakal di pentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang mulai 13 -22 Mac ini.

Dalam pementasan muzikal arahan Rosminah Tahir ini, Zaefrul ada ditawarkan watak sebagai Allahyarham Dato' Onn Jaafar iaitu tokoh Melayu pertama yang menubuhkan serta memimpin Umno. Mengikut perancangan, ini adalah kali ketiga Zaefrul membawakan wataksebagai pemimpin tersohor itu. Kali pertama menerusi pementasan Muzikal Ibu Zain di Istana Budaya pada tahun lalu. Sebelum itu, Zaefrul juga pernah membawakan watak Dato' Onn dalam filem 1957: Hati Malaya arahan Datuk Shuhaimi Baba."Namun dengan isu moral yang sedang melanda Zaefrul ketika ini, banyakpihak berasakan Zaefrul sudah tidak sesuai lagi membawakan peranansebagai Dato' Onn. Ada berpendapat, Zaefrul akan mencalarkan imej pejuang kemerdekaan yang banyak berjasa kepada bangsa dan negara itu.

"Walaupun, Dato' Onn hanyalah satu watak lakonan tetapi ia sangat berkaitan dengan sejarah negara kita. Sedikit sebanyak, orang akan diri Dato' Onn dalam diri Zaefrul dan begitulah sebaliknya," kata Roy.

Sungguhpun begitu, Roy berkata, mereka bernasib baik kerana sebelum 'gambar panas' Zaefrul dan Azizah itu disebarkan secara meluas menerusi Internet, Zaefrul sendiri sudahpun menarik diri daripada melibatkan diri daripada teater muzikal tersebut. "Sebenarnya, pengunduran Zaefrul ini berlaku secara kebetulan. Ia tidak ada kena-mengena dengan desakan atau penyebaran gambar kontroversi itu, sebaliknya ia disebabkan masalah lain berkaitan produksi.
"Lagi pun, dia belum menandatangani apa-apa kontrak dengan kami. Ia cuma tawaran secara lisan. Justeru,  Zaefrul berhak untuk menarik diri atau kami juga berhak untuk tidak melibatkan beliau," tegas Roy.

Sebenarnya,Zaefrul mahupun Azizah Mahzan bukanlah asing bagi produksi teaterterbitan Roy kerana kedua-dua pelakon ini pernah terlibat dalam produksi Muzikal Lantai T.Pinkie pada 2006 di Istana Budaya.

Dalam teater tersebut Azizah memegang watak sebagai Nyai Sunarti manakala Zaefrul sebagai Tuan Delarosa dan mereka beraksi sebagai pasangan kekasih. Jelas Roy lagi, secara peribadi, dia mahukan watak yang dimunculkan dari sejarah seperti Dato' Onn dan Ibu Zain ditangani oleh mereka yang dihormati dan diyakini keperibadiannya di kalangan penonton. "Saya bersyukur kerana buat masa ini, barisan pelakon teater ini memenuhi ciri-ciri yang saya cari. Apa yang penting, nakshah sebaik Muzikal Ibu Zainyang digarap oleh pengarah Rosminah Mohd Tahir ini sekurang-kurangnya terpelihara daripada dikaitkan dengan kontroversi, skandal atau gosip liar. "Apatah lagi, majoriti penontonnya adalah mereka yang cintakan sejarah dan semangat patriotik termasuklah pelajar sekolah," katanya.

Kaum Kerabat Siti Masuk AF7

KUALA LUMPUR, 13 Feb 2008: Sejak 2 tahun kebelakangan ini, ada saja adik-beradik penyanyi Dato' Siti Nurhaliza Taruddin datang menghadiri uji bakat program realiti hiburan paling popular Akademi Fantasia (AF).

Jika uji bakat AF6 tahun lalu dihadiri kakak serta adik perempuannya iaitu Saida, 33, dan Saerah, 26, uji bakat AF7 kali ini pula didatangi adik lelakinya, Muhammad Ali, 28, serta sepupunya, Rafidah Ibrahim atau Feeda, 23, yang juga adalah Juara Pencarian Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007.

Ali dan Feeda ditemani Saerah sewaktu hadir menghadiri uji bakat itu di lokasi terakhir iaitu di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu. Ketika ditemui murai.com.my , Ali berkata, kehadirannya dalam uji bakat AF7 itu tidak lebih semata-mata untuk merasai sendiri pengalaman berdepan dengan juri sewaktu dinilai.

"Selama ini saya asyik tengok orang lain cuba nasib dalam program ini tapi saya sendiri tak pernah rasa macam mana berdepan dengan keaadan sebenar yang dilalui setiap peserta.
"Kalau boleh saya mahu mengutip pengalaman itu. Sebab itulah saya beranikan diri untuk datang uji bakat AF7. Lagipun, apabila melihat kakak saya, Saida dengan adik saya, Saerah datang pada tahun lalu, kenapa tidak saya?

"Sekurang-kurangnya saya mencuba. Soal dapat atau tidak, itu belakang cerita. Kalau dapat, saya anggap itu adalah satu rezeki. Sekiranya tidak, saya tidak akan putus asa atau kecewa," katanya yang kini mememang jawatan sebagai Pegawai Promosi Band di Siti Nurhaliza Productions (SNP Productions).

Apa yang penting, kata Ali, dia mahu buktikan kemampuan dirinya sendiri dalam bidang nyanyian. "Bagi saya semua orang boleh menyanyi. Tapi sama ada nyanyian itu bagus atau sebaliknya, hanya orang lain saja yang boleh menilainya," katanya.
Feeda pula berkata, ini adalah kali kedua dia menghadiri uji bakat AF, yang mana kali pertama adalah tahun lalu.

"Walaupun sebelum ini, saya pernah menjuarai pertandingan Pencarian Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene pada 2007 dulu tetapi saya tidak fikir kemampuan saya dalam bidang nyanyian sudah pun teruji.

"Dalam pertandingan itu, apa yang dititikberatkan adalah imej serta personaliti seseorang peserta bukannya bakat yang ada dalam bidang nyanyian. Sebab itulah saya datang mencuba nasib sekali lagi dalam AF ini.

"Walaupun pernah gagal pada tahun lalu, namun saya tetap tidak akan putus asa untuk mencuba dan terus mencuba. Keluarga sendiri pun bagi galakan untuk saya menyertai uji bakat AF7 ini.

"Tak tahulah sama ada rezeki akan berpihak pada saya kali ini. Kalau ada, Alhamdulillah. Kalau tidak, saya redha," katanya.

Sementara itu Saerah pula berkata, kehadirannya di Bukit Jalil tidak lebih daripada mahu memberikan sokongan yang padu buat abangnya, Ali, serta sepupunya, Feeda. "Tapi, ada juga orang yang fikir saya datang ke sini kerana mahu diuji bakat lagi. Hakikatnya, saya ke sini kerana mahu menemani serta memberikan sokongan kepada Ali dan Feeda.

Percutian Panas Artis-Artis Kita!

1tania-zara-pulau 2tania-zara-pulau 3tania-zara-pulau 5tania-zara-pulau 6tania-zara-pulau 4tania-zara-pulau