Majlis pelancaran dan doa selamat filem santau. |
Hakikat sebenarnya pengarah muda ini seorang yang penakut dan nafas bagai ditarik menerima tugas daripada David
DALAM mindanya kini beliau sedang memikul satu misi, mandat dan tanggungjawab besar melunaskan penggambaran filem terbaru terbitan Metrowealth (MIG) berjudul Santau. Malah olahan skrip filem itu turut menggunakan khidmatnya.
Beliau yang dimaksudkan bukanlah nama asing di kalangan orang seni, bahkan pengalaman yang dititip serta ditimba selama ini menjadi bekalan berguna pada masa sekarang.
Azhari Zain atau lebih mesra dengan panggilan Zack bakal mengarahkan filem keduanya di bawah terbitan MIG, sebuah syarikat milik David Teo. Terdahulu, Zack mengarahkan filem Jin Notti yang menggandingkan Mawi dan Fara Fauzana sebagai teraju utama.
Zack memberitahu biarpun pertama kali mengarahkan filem seram, hakikat yang sebenarnya dia memang seorang yang penakut. Cuba melawan arus, lelaki berusia 37 tahun ini cuba memberanikan diri menyahut cabaran yang diberikan MIG.
Katanya lagi, filem itu diadaptasi daripada pengalaman dan kisah sebenar yang berlaku melalui penceritaan kawan di sekeliling.
“Terima kasih kepada David Teo, MIG dan rakan yang mempercayai keupayaan saya sebagai pengarah. Ia memberi penanda bahawa ia satu tanggungjawab berat yang harus saya pikul. Sebagai ‘kapten’ untuk filem ini, saya akan cuba membikin filem seram seterusnya di bawah terbitan MIG. Malah, kalau boleh saya mahu setanding atau menjadi lebih baik daripada filem sebelum ini.
“Saya memang takutkan momok (hantu) dan bayangkan nafas saya bagaikan ditarik panjang serta tersekat-sekat selepas ditawarkan tugas ini daripada David sendiri. Ketika itu, ingatan saya mula termanggu mengenangkan kenangan dan kisah hantu yang pernah dialami.
“Harapnya dengan sokongan semua pihak, saya dapat meneruskan usaha melangsaikan pembikinan filem ini,” kata pengarah drama Bio-Nik yang disiarkan di TV3 itu. Zack turut mengarahkan telefilem Naik Hantu
Selain mengamati dan mengumpul bahan daripada pengalaman individu dan teman sekeliling, bapa kepada Airissya Qistina Putri Azhari ini turut melakukan penyelidikan menerusi pembacaan dalam sebuah buku falsafah aspek seram hasil tulisan John Noel.
Kata Zack, apa yang penting dalam penghasilan seram ialah membabitkan dua elemen, menjijikkan dan menggerunkan.
“Filem daripada Jepun seperti The Ring dan The Wig antara yang menggunakan dua elemen itu. Begitu juga dalam filem The Shutter dari Thailand. Lalu, saya juga tidak mahu ketinggalan menyerapkan dua elemen itu ke dalam filem Santau. Dua elemen ini juga mampu mencabar minda penonton sama ada mereka cepat lemah semangat atau tidak.
“Santau masih lagi berlaku dalam masyarakat kita yang bertimbal balik kepada perasaan hasad dengki. Ia bertujuan untuk memecah belahkan individu atau keluarga menjadi kronik. Untuk filem ini, saya akan selitkan juga kritikan sosial dan elemen keagamaan seperti penggunaan ayat suci al-Quran,” katanya yang ditemui Hip baru-baru ini dalam majlis kesyukuran dan doa selamat filem itu di pejabat MIG di Subang Jaya.
Santau memperkenalkan gandingan pelakon senior, Esma Danial dan seorang pelakon baru iaitu pemenang kategori lakonan World Championship of Performing Arts (WCOPA), Putri Mardiana sebagai teraju utama.
Selain itu filem ke-34 MIG ini turut dibintangi Zul Handy Black, Riezman Khuzaimi, Mariani, Bob Lokman, Hisham Ahmad Tajuddin dan pelakon cilik, adik Farisya Fatin.
Zack mula berjinak-jinak dalam bidang produksi ketika masih menuntut dalam bidang Ijazah Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Ketika itu, Zack menimba pengalaman di bawah seliaan dan tunjuk ajar Prof A Razak Mohaideen. Bermula 2001, Zack mula diberi peluang untuk memikul tanggungjawab sebagai pembantu pengarah di samping menjadi pelakon cameo dalam beberapa deretan filem terbitan MIG.
Hujung 2001, Zack ke Australia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengarahan Filem dan TV. Kini, Zack turut bergelar pensyarah di UiTM, Shah Alam. Beliau juga antara yang mengikuti jejak Pierre Andre, Yana dan Farid Kamil serta diberi kepercayaan oleh David Teo untuk menjadi pengarah keempat dalam skim 10 pengarah muda MIG.
Setakat ini, Zack sudah mengarahkan lima telefilem di bawah terbitan MIG iaitu Tarian Melayu Terakhir, Maya, Daniel, Bila Mama Pakai Celana dan terbaru, Lu’Lu.
Sinopsis Santau:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: