|
|
PERUBAHAN demi perubahan dilakukan oleh gergasi penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) demi memastikan mutu dan kualiti siarannya seiring dengan penjenamaan semula dua rangkaian utamanya, TV1 dan TV2.
Pengelasan rancangan-rancangan di RTM iaitu rancangan berbentuk berita dan dokumentari di TV1 dan rancangan-rancangan hiburan seperti filem, drama dan nyanyian di TV2 sejak menjalani penjenamaan semula ternyata memberi kesan yang memberangsangkan terhadap dua saluran tersebut.
Buktinya, kajian yang dicatatkan oleh AGB Nelson baru-baru ini menyaksikan TV2 menduduki rating tertinggi dengan 16.1 peratus, menjadi pilihan penonton dalam lingkungan usia 4 tahun keatas.
Ini meliputi pilihan utama golongan profesional, suri rumah, pelajar, keluarga yang mempunyai anak berusia antara empat ke 14 tahun, urban dan penonton berbangsa Melayu.
Jumlah tersebut berbeza 2.9 peratus jumlah tontonan yang diperolehi TV9 dengan 13.2 peratus diikuti ntv7 (9.3 peratus) dan 8TV (7.3 peratus).
Rancangan bercorak kepolisan di TV2 yang berjaya mengekalkan rating antara 1.5 juta hingga 1.8 juta penonton setiap minggu sejak 10 tahun lalu iaitu Gerak Khas berjaya memperoleh jumlah tontonan sebanyak 39 peratus mengatasi sebanyak 4.4 peratus jumlah tontonan di TV3 pada waktu yang sama dengan 34.6 peratus.
Pengarah Urusan Utusan Airtime Sdn. Bhd., Adi Satria Ahmad pada sidang media Blockbuster: RTM Media Screening di The Garden Hotel & Residences, Mid Valley baru-baru ini memberitahu rancangan pembaharuan dan mengkomersialkan TV2 telah difikirkan sejak tahun lalu.
"Peningkatan yang dialami oleh RTM dari segi rating di lihat dapat membuka peluang yang lebih baik kepada pengiklan dari segi pelaburan.
"Bukan itu sahaja, membawa nama Utusan sebagai salah satu pengiklan rancangan-rancangan RTM di surat khabar dan sebagainya turut membantu pengiklan mendapat pelbagai manfaat dan keuntungan," katanya yang memegang strategi pemasaran RTM menerusi Utusan Airtime sejak dua tahun lalu.
Rangkaian blockbuster
Menggalakkan lagi penerimaan ramai terhadap pembaharuan yang dilakukan oleh stesen berkenaan, selama empat bulan bermula Jun hingga September ini, RTM merangka pelbagai rangkaian menarik yang bakal mengisi kandungan dua saluran blockbusternya itu.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahaya pada majlis yang sama berkata, sudah menjadi amalan RTM memastikan rancangan-rancangan menarik dari dalam dan luar negara yang menjadi kegemaran penonton di tayangkan di rangkaian itu.
"Di samping memberi banyak pilihan kepada penonton, ia memberi banyak pulangan kepada RTM dari segi pelaburan.
"Kami (RTM) sentiasa mengawal polisi serta berbaik-baik dengan pengiklan. Tiga saluran RTM iaitu TV1, TV2 dan Muzik Aktif membantu pengiklan membuat pilihan pengiklanan dan apa yang kami boleh buat ialah memastikan pengiklan mendapat pulangan yang baik.
"Bukan sahaja persaingan dengan stesen-stesen lain tetapi saingan dengan stesen-stesen RTM sendiri," katanya.
Antara kandungannya, bermula musim cuti sekolah, TV2 membawakan lapan rancangan hiburan animasi dan filem terbaik untuk tontonan seisi keluarga antaranya, Click, Shrek, Madagascar, Ice Age: The Meltdown dan Cheeper By The Dozen.
Menyambut kedatangan bulan Ramadan dan hari kemerdekaan negara, pelbagai filem serta rancangan menarik telah diatur untuk hidangan penonton setia RTM.
Sempena bulan Ramadan, TV1 khasnya bakal membawakan rancangan dokumentari popularnya, Syahadah (musim kelima), yang bakal memaparkan diari kehidupan penduduk di negara-negara timur tengah iaitu Kazakhstan dan Uzbekistan.
Tidak ketinggalan, TV1 mengajak anda menyaksikan bagaimana gelagat pelakon dan pengacara yang tidak asing lagi, Sheila Rusly bersama tetamu jemputannya menghasilkan juadah-juadah istimewa dalam Ketuk-ketuk Ramadan Bersama Sheila Rusly.
Kembali menemui peminat setia RTM, tukang masak popular, Chef Wan Ismail juga bakal menemui anda menerusi rancangan masakan, Sajian Ramadan Bersama Chef Wan.
Meningkatkan lagi semangat patriotik sempena hari kemerdekaan negara, Blockbuster Merdeka menyediakan rancangan seperti Malaysia Success Story, Simfoni Merdeka, Mercu Merdeka serta filem 1957- Hati Malaya.
Pada Aidilfitri nanti, penonton setia RTM bakal dihiburkan dengan pelbagai rancangan yang dirantai khas untuk Blockbuster Raya antaranya Busana Lebaran, Sujudku, Panggilan Rayyan dan Anak Cucu Tok Wan.
Tidak ketinggalan, filem-filem menarik tempatan dan luar negara antaranya, Sumolah, Fantastic Four: Rise Of The Silver Surfer, Kuntilanak, X-Men: The Last Stand, Syawal Buat Bonda, Cuci, Bakal Menantu Datang Beraya dan Pontianak Harum Sundal Malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: