|
|
MEMPERTANDINGKAN 15 kategori membabitkan empat cabang seni yang merangkumi muzik, televisyen, radio dan filem, Shout! Awards, anugerah hasil cetusan 8TV kini memasuki fasa seterusnya apabila senarai finalis bagi setiap kategori diumumkan.
Bakal bersiaran 17 Julai depan bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur di atas kertas, saingan sengit pastinya tertumpu kepada cabang muzik yang tampil dengan lima kategori.
Kategori tersebut adalah Rockstar Award, Popstar Award, Power Vocal Award, Flava Award dan Break Out Award.
Bagi setiap kategori itu, enam finalis ditampilkan berbanding cabang seni lain yang mempunyai lima finalis sahaja.
Mereka yang tersenarai dalam cabang muzik adalah Bunkface, Butterfingers, Estranged, Hujan, Meet Uncle Hussain (MUH), Pop Shuvit, Aizat, Couple, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Nikki, Stacy, Ayu (One In A Million 2) dan Dina.
Turut berentap, Lan (Meet Uncle Hussain), Syarul Reza (Love Me Butch), Ahli Fiqir, Caprice, Jin Hackman, Joe Flizzow, Malique, Phlowtron serta Pesawat.
Daripada lima kategori dalam cabang tersebut, Power Vocal Award atau vokal terbaik bakal mencuri perhatian ramai apabila menampilkan Ayu, Siti Nurhaliza dan Jaclyn untuk bersaing merebut anugerah berkenaan.
Tiga lagi yang disenaraikan ialah Dina, Lan (MUH) serta Syarul Reza.
Rockstar Award juga tidak kurang hebatnya. Bunkface, Butterfingers, Estranged, Hujan, MUH dan Pop Shuvit punyai kekuatan tersendiri untuk menggenggam anugerah terbabit.
Sungguhpun begitu, bagi kategori televisyen, filem dan radio, ia seakan tidak begitu 'menyengat' atau boleh dianggap sebagai 'biasa-biasa' sahaja.
Paling ketara, kategori radio yang seakan tidak menyeluruh apabila banyak tertumpu kepada stesen radio milik Media Prima Berhad (MPB) iaitu Hot FM dan Fly Fm.
Mana perginya stesen radio lain? Apakah mereka tidak layak untuk dipertandingkan?
Kategori Favorite Radio Show atau program radio pilihan misalnya, lima yang berentap, empat daripadanya adalah milik MPB.
Empat finalis tersebut, Fly FM Must Have Music (Hunny Madu), Fly FM Night Flight (Basil & Hafiz), Fly FM Pagi Show (Ben, Nadia & Phat Fabes) dan Hot FM AM Show (Fara Fauzana & Faizal Ismail).
Hal yang sama juga berlaku terhadap cabang televisyen yang lebih kepada penguasaan program-program televisyen MPB.
Menjawab mengenai perihal berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata, seawal perancangan Shout! Awards, semua stesen televisyen dan radio telah dimaklumkan mengenai penyertaan di dalam anugerah berkenaan.
''Kami telah menghantar borang penyertaan kepada semua, baik di RTM mahupun Astro serta stesen-stesen radio lain.
''Saya sendiri telah menghubungi rakan-rakan di stesen-stesen berkenaan. Namun, RTM langsung tidak menghantar calon manakala Astro pula sekadar 30 ke 40 peratus penyertaan.
''Sebagai penganjur, sudah tentu 8TV dan stesen-stesen milik MPB akan menghantar banyak penyertaan,'' katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman finalis Shout! Awards di ibu negara, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson.
Pada majlis tersebut, Shout! Awards mengumumkan Hotlink selaku penaja utama manakala Fly FM bertindak sebagai radio rasmi anugerah itu.
Ujar Ahmad Izham, melalui Shout! Awards yang dianjurkan dengan memakan kos antara RM1 ke RM2 juta, penganjur sebolehnya mahukan penyertaan yang menyeluruh dan adil kepada semua pihak.
''Namun, mungkin ada pihak yang tidak mahu menonjolkan artis atau personaliti masing-masing. Apa yang penting, kami sudah maklumkan kepada semua,'' tegasnya.
Mengenai pemilihan finalis yang segelintirnya tidak begitu dikenali, Ahmad Izham menjelaskan, satu hari nanti kesemua calon itu pasti berpeluang meletakkan diri setaraf dengan pencabar lain menerusi pencalonan dalam anugerah tersebut.
Aspek penjurian
Sementara itu, melalui Shout! Awards, finalis dipilih melalui pengadilan juri profesional manakala pemenang bagi setiap kategori nanti akan ditentukan oleh undian penonton.
Undian dilakukan secara online iaitu sebanyak 50 peratus dan 50 peratus lagi menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Untuk mengundi secara online, ia boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang www.shoutawards.com.my manakala talian undian SMS akan dibuka bermula 8 Jun hingga 16 Julai ini.
Mengulas mengenai aspek penjurian awal, Jennifer mencelah, ia membabitkan golongan profesional, penggiat muzik, filem serta para pelajar dalam jurusan seni.
''Selepas mereka memilih finalis, kita membiarkan pula orang ramai membuat penilaian terbaik mereka. Finalis yang terpilih adalah antara yang terbaik dalam industri hiburan tanah air,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: