|
LAKONAN mantap dan bersahaja Nur Dayana Kamsun Baharin atau Dayana ketika menjayakan tugasan diberikan berjaya menawan hati pengundi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memilihnya sebagai pemenang mingguan pertama program realiti, Pentas Anak Wayang bagi watak jururawat. |
Dayana, 18, mendapat undian SMS sebanyak 78.5 peratus dan mengetepikan seorang lagi peserta pilihan juri, Nor Shafiza Iskandar Azizan (Feeya), 20, dengan undian sebanyak 21.5 peratus untuk merebut watak jururawat dalam drama bersiri Kecuali Cintamu yang disiarkan pada Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 malam di Astro Prima.
Ketika ditemui, Dayana dari Kuala Lumpur berkata, dia tidak menyangka memenangi watak jururawat itu kerana empat lagi peserta lain tidak kurang hebatnya.
"Maklumlah, saya peserta paling muda berbanding mereka. Saya juga hanya buat yang terbaik mengikut kemampuan saya. Sebagai orang baru, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memperbaiki lakonan sedia ada. Contohnya, kelemahan dari segi ekspresi wajah.
"Apapun, kemenangan ini adalah hadiah buat diri sendiri dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan dari belakang," katanya.
Dayana berkata, antara tugasan paling mencabar dalam program realiti itu ialah untuk menjiwai watak jururawat yang diserahkan terutama babak menangis dalam cerita itu.
"Saya masih ingat pesanan guru lakonan dan vokal kami, Fauziah Nawi supaya saya tidak menggunakan Eye Mo (ubat mata) untuk babak menangis itu. Justeru saya mengikut nasihatnya dan menangis betul-betul dalam babak itu.
"Saya juga berasa terkejut apabila Nasha memuji lakonan saya pada malam itu. Terus terang, saya memang kagum dengan lakonannya kerana dia bukan saja cantik, tapi berbakat besar sebagai anak seni," katanya.
Dayana berkata, ini juga penampilan pertamanya dalam program bercorak realiti seperti Pentas Anak Wayang.
"Ini kali pertama saya berlakon di pentas. Sebenarnya, saya sudah lama meminati bidang lakonan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menyalurkan bakat sedia ada.
"Justeru, apabila dapat tahu, Astro mengadakan uji bakat Pentas Anak Wayang, hati saya tergerak untuk mencuba nasib. Emak, Rozalina Shafie, 37, dan teman rapat yang memberi dorongan supaya saya untuk memasuki pertandingan ini," katanya.
Mengenai wajahnya yang dikatakan seiras dengan pelakon muda meningkat naik, Scha Al-Yahya, Dayana yang mengagumi pelakon Nasha Aziz, Elly Suriaty dan Liyana Jasmay turut mengakui hakikat itu.
"Sebenarnya, ramai orang beritahu wajah saya ada mirip dengan Scha sejak dulu. Tidak dinafikan, saya memang minat dengan Scha, tetapi sebagai pelakon baru, saya ingin dikenali dengan identiti sendiri dan tidak dikaitkan dengan sesiapapun," katanya.
Mengenai perancangan masa depan, Dayana yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia berkata, dia merancang untuk menyambung pelajaran ke kolej pada masa depan.
"Saya ingin menyambung pelajaran dalam jurusan seni persembahan dan pada masa sama menceburi bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan.
"Misi saya selepas ini untuk menjadi pelakon berilmu kerana saya ingin menjadi pelakon serius di persada seni tanah air. Selain itu, saya ingin dikenali kerana bakat dan bukan paras rupa atau gosip," katanya.
Sementara itu, menurut juri tetap, pelakon dan model terkenal Nasha Aziz, dia yakin Dayana akan menjadi anak wayang yang boleh pergi lebih jauh pada masa depan.
"Dayana peka kepada situasi dan mempunyai bahasa badan yang baik ketika melakonkan tugasan kedua, drama sebabak Sepetang Di Taman Itu.
"Lakonannya sebagai jururawat dalam babak yang diarahkan Profesor Madya A Razak Mohaideen juga mencuit hati saya. Saya berharap dapat berlakon bersama dengannya satu hari nanti.
"Selain itu, dari segi analisis watak dan bahasa badannya juga bagus dan saya dapat merasai apa yang cuba disampaikan dalam lakonannya itu," katanya.
Seorang lagi juri tetap, penerbit dan pengarah terkenal Rashid Sibir berkata, sebagai penampilan pertama di pentas, Dayana menampilan lakonan yang baik dalam tugasan diberikan.
"Dayana juga ada topik cerita ketika menjayakan drama sebabak Sepetang Di Taman bergandingan dengan Johan Raja Lawak," katanya.
Pelakon veteran A R Badul turut bertindak sebagai juri undangan pada malam itu.
Selain Dayana dan Feeya, tiga lagi peserta yang bertanding merebut watak jururawat Pentas Anak Wayang ialah Norria Adelina Abdullah (Delina), 22, Juwita Haniem Rahmat (Juwita), 23, dan Widya Irani Mohd Nasir (Widya), 26.
Pentas Anak Wayang, minggu kedua yang disiarkan dari Studio 2, Astro Bukit Jalil, Jumaat lalu juga menyaksikan peserta diberikan tugasan situasi untuk dilakonkan secara spontan selama dua minit dengan dibantu pelakon undangan Amyza Aznan dan Erry Putra.
Tugasan kedua pula, peserta diminta berlakon dalam drama sebabak `Sepetang Di Taman' di layar hijau dalam tempoh satu minit 30 saat dengan dibantu pelakon undangan Johan Raja Lawak. Selepas dua tugasan itu, penonton berpeluang menyaksikan lakonan mereka menjiwai watak jururawat dalam babak diarahkan Profesor Madya A Razak Mohaideen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: