Tuesday, June 9, 2009

Sarimah bakal rujuk semula?




BERPATAH arang di antara mereka hanya dalam ikatan dalam perkahwinan. Namun perhubungan persahabatan antara Sarimah Ibrahim dan bekas suaminya, Amir Andrew Browning Abdullah, masih terus kekal tanpa ada sebarang persengketaan.

Walaupun masing-masing sudah membawa haluan sendiri pelakon, penyanyi dan pengacara terkenal itu sebaliknya tekad untuk terus membimbing Amir agar hidup lelaki itu selepas ini masih berpaksikan landasan agama Islam.

Seperti yang diketahui umum, Amir merupakan saudara baru dan telah memeluk Islam selama lima tahun. Justeru kerana itu, seboleh-bolehnya Sarimah enggan melepaskan tanggungjawabnya untuk membantu mengajar Andrew mengenai hal-hal agama.

Menurut Sarimah, dia sendiri yakin, biarpun tidak lagi bergelar isteri Amir, bekas suaminya itu tidak mungkin meninggalkan Islam.

"Dia masih di bawah pegangan agama yang sama. Amir masuk Islam pun dua tahun sebelum kami berkahwin dan menjadi tanggungjawab saya untuk mengajarnya sedaya yang mampu.

"Walaupun kami berpisah, saya masih lagi bertanya, ada tak dia solat dan guna sejadah yang saya berikan. Kadang-kala, bila ada masa terluang, adalah saya mengajar baca surah-surah.

"Saya akan pastikan dia buat yang asas. Dan inilah keputusan muktamad saya untuk memikul tanggungjawab dalam membimbingnya menjadi seorang Islam yang betul.

"Sebab itu kami masih rapat. Kalau bermusuhan, tak bolehlah saya nak jaga dia. Saya akan tolong dia apa yang mampu," tuturnya berterus terang.

Tambah Sarimah, ramai yang menyalah anggap, bila berkahwin dengan bangsa asing dan tiba-tiba ikatan suami isteri itu terlerai, pastinya pasangan itu dikatakan tidak selesa dengan budaya masing-masing.


BIARPUN tidak lagi menjadi suami isteri, Sarimah masih mengambil berat soal membimbing Amir tentang agama Islam.


Tidak menafikan budaya yang berbeza mungkin juga menyebabkan keruntuhan perkahwinan mereka, namun, Sarimah melihat banyak faktor menyebabkan mereka kurang serasi walaupun sudah sembilan tahun berkenalan.

"Tentang tidak serasi dengan budaya, saya rasa bukanlah secara keseluruhan, tetapi mungkin ia ada sedikit (menjadi faktor tidak keserasian).

"Saya percaya pada cinta dan jodoh. Kalau budaya dan agama memainkan peranan dalam keretakan rumah tangga kami, itu adalah di luar kawalan kita.

"Lagipun, kalau nak katakan tentang budaya, ramai yang mempunyai budaya dan agama yang sama juga bercerai. Kerana itu semua adalah ketentuan Dia (Allah).

"Bagi saya, walaupun kami berkenalan selama sembilan tahun, sebenarnya banyak lagi perkara yang masih lagi kami tidak tahu tentang keperibadian masing-masing.

"Sehinggalah bila kita berkahwin, dan tinggal bersama sebagai suami isteri, barulah kita nampak apa yang kita tidak nampak sebelum ini," ujarnya.

Beritahu Sarimah lagi, penceraiannya itu membuatkan dirinya semakin matang dengan perjalanan hidupnya di masa akan datang.

Tidak mahu kontroversi

Sungguhpun hanya tiga tahun dapat merasa manisnya madu dalam kehidupan sebagai suami isteri, kesan penceraian yang diterima wanita ini amat mendalam.

Malah sehingga ke hari ini, mencecah usia lima bulan penceraiannya, Sarimah masih lagi tidak dapat menyesuaikan dirinya yang kini solo.

"Perasaan saya sekarang ini bercampur-aduk. Bila dah berpisah dengan orang yang pernah berkongsi hidup dengan kita, membuatkan susah untuk kita menyesuaikan diri dalam jangka masa yang pendek.

"Sebelum bercerai pun kami dah tinggal berasingan selama tujuh bulan untuk membaiki semula hubungan. Macam-macam kami usahakan seperti membuat kaunseling dan berbincang bersama keluarga.

"Nak buat macam mana, itu semua takdir dan saya terimanya dengan reda walaupun ia pahit. Malah inilah keputusan muktamad kami, bercerai dengan cara baik walaupun peritnya dirasai sehingga kini," ungkapnya yang juga sedang membahagikan aset masing-masing termasuk kucing kesayangan mereka.


KENANGAN. Amir sebenarnya merupakan sahabat baik suami penyanyi Ning Baizura, Omar Sharif Christopher Layton Dalton.


Selebriti jelita yang petah bercakap itu mengakui, dia bersyukur kerana jadual kerjayanya yang sibuk membuatkan masalahnya dilupakan seketika.

"Kerja saya padat. Kalau tak sibuk, mesti fikiran saya bercelaru bila duduk seorang diri di rumah.

"Sekurang-kurangnya saya dapat melupakan seketika masalah saya ini," katanya yang mempunyai jadual yang sibuk dengan penggambaran drama serta pengacaraan sepanjang tahun ini.

Selain itu, ujar Sarimah lagi, dia mahu meminta maaf kerana tidak memberitahu kepada umum mengenai penceraiannya itu.

Bukan kerana mahu berselindung, tetapi demi menjaga hati keluarga dan teman-teman rapat yang mungkin akan disoal oleh pihak lain, membuatkan Sarimah berdiam seketika.

Malah, Sarimah yang digelar pengacara 'becok' juga langsung tidak menunjukkan ciri-ciri seseorang yang baru lepas bercerai.

Wajah selamba dan gila-gilanya dalam program televisyen Katanya... dan 50 episod Diari AF7, selain 10 episod Diari INT sepanjang lima bulan bergelar janda membuatkan ramai yang tidak terhidu dengan masalah yang dihadapinya.

"Saya tak mahu orang nampak penceraian saya sebagai satu kontroversi. Lagipun, bila umum tahu, keluarga dan teman-teman rapat yang menjadi mangsa kerana disoal macam-macam. Itu yang saya tak mahu.

"Memang ramai yang terkejut bila dapat tahu berita ini. Kerana bila mengacara, sedikit pun saya tidak menunjukkan mimik wajah saya yang sedih. Saya mahu profesional. Bila berada di kaca televisyen, saya akan hiburkan orang," jelas anak kelahiran Dublin, Ireland ini.

Tiada lelaki berani mendekati

Perasaannya mungkin serik untuk bercinta mahupun berkahwin semula, namun Sarimah akui agak sukar untuk mengelak rasa serik itu dalam diri memandangkan hubungannya bersama Amir terputus masih lagi baru.


MENGAKUI jadual kerja yang sibuk membuatkan dia melupai kedukaan selepas kembali solo.


Cuma, wanita ini menerima takdirnya jika diberi peluang kedua untuk mendirikan rumah tangga dan tidak kisah jika bakal suaminya satu hari nanti lelaki Melayu ataupun bangsa lain.

"Serik itu ada. Biasalah, baru lima bulan saya menjalani kehidupan tanpa suami di sisi. Tapi saya belum lagi mahu mencari cinta dan saya pun tidak pasti pandangan saya mengenai perkahwinan.

"Nak kata trauma, tidak. Menyesal pun tidak, cuma saya lebih gunakan logik dan minda untuk melakukan sesuatu. Sebab jika berkaitan dengan cinta, saya memang suka ikut hati. Senang cerita, saya lebih berjaga-jaga.

"Bagaimanapun saya tetap percaya pada cinta. Cuma kalau ada jodoh, adalah. Saya taklah memilih sangat sama ada mahu orang tempatan atau luar.

"Cuma hairan, jarang lelaki mahu bercakap dengan saya. Mungkin persepsi mereka yang melihat saya di televisyen yang suka cakap, mereka tak berani nak dekat dengan saya.

"Mungkin mereka merasa pelik dan takut kerana menganggap saya ini tiada ciri-ciri kewanitaan. Kalau macam itu, mereka silap.

"Sebagai seorang penghibur, saya memang muka tak malu, tetapi sebagai wanita, saya seorang yang sangat malu orangnya," katanya yang lebih suka lelaki yang periang dan tahu menyusun jadual kehidupan.

Bertanyakan pula tentang jodohnya yang mungkin berlaku dengan bekas suaminya semula di masa akan datang, beritahu Sarimah:

"Hmm...rujuk balik, manalah tahu jika jodoh kami disambung semula. Saya terima dengan siapa saya dijodohkan, itu takdir.

"Tapi bila nak rujuk balik, kena pastikan perkara lama tidak akan berulang dan kedua-dua pihak kena ideal.

"Tetapi saya cuma ikut arus. yang pantang dalam kehidupan kini dan di masa akan datang, saya mahu gembira bersama orang yang tersayang, begitu juga sebaliknya."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: