Friday, June 26, 2009

Rossa ‘digantung’

Pergolakan rumah tangga diva Indonesia yang popular dengan lagu Ayat-ayat Cinta dan Terlanjur Cinta, Rossa bersama suaminya pemain dram kumpulan Padi, Yoyo sudah lama diketahui umum. Namun statusnya sama ada masih bergelar isteri atau sudah bergelar janda tetap menjadi persoalan peminat-peminatnya.

”Kami memang sudah tinggal berasingan tetapi belum bercerai,” jawab Rossa mengenai dakwaan yang mengatakan dia dan suaminya telah bercerai.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani mengakui walaupun telah tinggal berasingan sejak setahun lalu, namun dia ‘belum tahu’ sama ada akan bercerai dengan pemain dram kumpulan Padi itu atau tidak.

”Saya masih isteri ‘gantung’ Yoyo. Saya belum punya kekuatan untuk bercerai dan hanya berserah kepada yang di atas (Allah) agar memberi yang terbaik dan kekuatan kepada saya,” kata Rossa sejurus selepas sidang media Konsert Mini Cerita Cinta Rossa di ibu kota Isnin lalu.

Jelas Rossa, sebolehnya dia enggan menghebahkan tentang sebab sebenar hubungan dia dengan Yoyo atau nama sebenarnya Yoyo Prasetyo berantakan. Malah tidak mengiakan atau menidakkan yang puncanya adalah disebabkan ‘orang ketiga’.

“Saya rasa tak perlulah diceritakan tentang hal ini kerana ia mungkin disimpankan untuk cerita hidup saya.

“Banyak hal-hal yang tak sesuai untuk diceritakan tetapi kami akan berikan yang terbaik,” tutur penyanyi yang berduet dengan Pasha Ungu menerusi lagu Terlanjur Cinta itu.

Tambahnya, “Saya tak pernah bergaduh besar dengannya kerana kami masih memikirkan tentang anak. Saya anggap kami memang tiada jodoh dan berpisah (tinggal berasingan) secara baik.”

Rossa berkata, mujurlah dia masih mempunyai ‘penggemar’ (peminat) yang membuatkan dirinya kuat untuk berhadapan dengan situasi sekarang ini. Lalu, dia tidak mahu peminatnya terlalu mempercayai sesetengah sumber daripada media di Indonesia yang mengesahkan dirinya dengan Yoyo telah bercerai.

“Saya hanya kuatkan semangat untuk membesarkan anak dengan baik-baik. Begitu juga dengan Yoyo. Hidup mesti diteruskan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: