Saturday, June 27, 2009

Kuasa unik Lightning Hybrids

Model hibrid terbaru ini cukup menggemparkan dunia automotif kerana didakwa dapat mencapai perbatuan sejauh 161 kilometer dengan hanya 3.78 liter bahan api, selain rekaannya yang radikal.




Setiap orang punya cita rasa tersendiri apabila berbicara mengenai jentera automotif. Ada yang obses dengan kelajuan, ada yang gilakan rekaan bentuk yang futuristik tetapi ada pula yang tergoda dengan kuasa sebuah jentera mesra alam.

Justeru, apabila kereta hibrid yang menggunakan gas-elektrik mula membuat debut di pasaran, syarikat-syarikat automotif dunia bersaing hebat untuk melahirkan jentera terbaik.

Jentera hibrid banyak dilahirkan di Jepun dengan menyaksikan Toyota dan Honda antara dua gergasi automotif yang membuktikan kepada dunia mengenai komitmen jentera hijau mereka.

Toyota begitu sinonim dengan Prius manakala Honda cemerlang dengan Civic Hybrid dan Insight Hybrid.


PANDANGAN sisi LH4.


Beberapa gergasi lain yang turut mencuba nasib terjun dalam dunia jentera hibrid termasuklah General Motors, BMW, Mercedes Benz dan Ford Motor.

Kemudian timbul pula kereta hibrid yang paling diperkatakan baru-baru ini iaitu prototaip LH4 yang dihasilkan oleh syarikat Lightning Hybrids. Diasaskan pada tahun 2008, Lightning Hybrids merupakan sebuah syarikat penyelidikan automotif dan perkilangan yang berpengkalan di Loveland, Colorado, Amerika Syarikat (AS).

Syarikat tersebut menghasilkan dua buah jentera hibrid hidraulik biodiesel yang memiliki kemampuan seperti sebuah sports sedan. Tidak terhenti di situ, rekaan fizikalnya yang berbeza dianggap sangat luar biasa dan menggoda.

Dengan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar, kehadiran prototaip jentera berkod LH4 ini dilihat tiba tepat pada masanya.


TEKNIK reka bentuk kerangka konvensional dihasilkan daripada tiub krom molybdenum.


LH4 merupakan salah satu pesaing dalam pertandingan Progressive Insurance Automotive X Prize 2010 yang menampilkan rekaan-rekaan terhebat di seluruh dunia dengan taruhan hadiah bernilai RM35 juta.

Pertandingan itu bakal mengiktiraf rekaan kenderaan yang bersih, mampu dikeluarkan dan dapat mencatat perbatuan melebihi 100 batu bagi setiap gelen minyak.

Diperbuat daripada material gentian karbon dan hanya seberat 794 kilogram, pintunya boleh dibuka seperti telefon bimbit flip (clampshell), sekali gus menampilkan rekaan yang begitu aerodinamik.

Teknik reka bentuk kerangka konvensional dihasilkan daripada tiub krom molybdenum, membentuk elemen struktur utama LH4 yang hampir sama dengan penghasilan jentera Formula dan Indy.

Kamera cermin sisi

Diinspirasikan daripada model Chevrolet Corvette tahun 1963 terutamanya di bahagian belakang, LH4 dilengkapi dengan cermin sisi yang digantikan dengan kamera dan skrin-skrin LCD bersaiz sebuah iPhone.

LH4 dipasang dengan enjin biodiesel dua injap binaan Volkswagen berkuasa 90 bhp (67 kW) dan digabungkan bersama sistem hibrid hidraulik Rexroth dengan kuasa 150bhp (112 kW).


SISTEM enjin hibrid hidraulik bioadiesel boleh dimasukkan secara retrofit (dipasang) ke dalam enjin biasa.





Ketua Pegawai Eksekutif Lightning Hybrids, Dan Johnson menyatakan, setakat ini, tiada satu firma atau pengeluar yang mengaplikasikan teknologi tersebut ke atas kenderaan-kenderaan kecil.

Sebelum ini, sistem hibrid hidraulik Rexroth hanya digunakan pada trak.

Bagaimana teknologi hibrid hidraulik ini berfungsi?

Ia sebenarnya terhasil daripada enjin diesel bercekapan tinggi dan digabungkan dengan satu sistem momentum atau penggerak yang unik. Sistem inilah yang menggantikan transmisi dan enjin konvensional.

Pam-pam dan kotak penyimpanan hidraulik digunakan untuk menyimpan tenaga, tidak jauh bezanya dengan apa yang dilakukan oleh motor-motor elektrik dan bateri dalam kenderaan elektrik.

"Kami sangat teruja untuk mengetengahkan bagaimana sistem hibrid hidraulik Rexroth ini berfungsi. Pandu uji sebenar akan dijalankan pada lewat musim panas ini.

"Lightning Hybrids juga akan menjawab pertanyaan paling popular yang ditanya iaitu bagaimana ia dibuka. Pada masa yang sama, kami akan menunjukkan fungsi pintu dan pengunjung boleh duduk di dalam kereta ini," tambah Johnson, sambil memberitahu LH4 telah membuat kemunculan pertama di Denver Auto Show pada April lalu.

Ciri-ciri enjin

Lightning Hybrids yang mempunyai hanya 12 orang kakitangan kini merancang untuk meningkatkan bilangan itu kepada lebih 300 orang dalam tempoh empat tahun akan datang.

Model sports sedan dengan kapasiti empat tempat duduk ini dikatakan mampu bergerak sejauh 161 kilometer dengan hanya kurang empat liter bahan api, sama ada diesel atau biodiesel.

Lebih menakjubkan, prestasi LH4 mampu memecut dari titik pegun ke takat 60 mph (70 km/j) dalam tempoh kurang enam saat.

Sehingga kini, Lightning Hybrids masih banyak berahsia tentang perincian reka bentuk spesifik LH4 kerana masih menunggu proses pemfailan paten di AS dan antarabangsa yang dilakukannya selesai.

Syarikat tersebut menjelaskan bahawa ia banyak memfailkan paten. Paling signifikan adalah reka bentuk enjin hidraulik yang diintegrasikan dengan omboh berpaksi (integrated hydraulic axial piston engine).

Antara ciri enjin itu termasuklah ia ringan (kurang 1 lb/hp), tiada transmisi, tidak mempunyai berat injap dan aci sesondol, selain pemulihan tenaga membrek (braking recovery) sehingga 100 peratus.

Maknanya, satu unit alat pengumpul (accumulator) yang beroperasi dalam kuasa tekanan antara 5,000 hingga 7,000 psi akan menyediakan ruang penyimpanan tenaga akibat aktiviti membrek, sebelum memberikan kuasa untuk meneruskan pecutan.

Bagi mereka yang berminat, LH4 akan mula dipasarkan pada tahun 2011. Syarikat tersebut kini sudah pun mempunyai senarai menunggu.

Jentera berwarna hitam itu bakal dijual pada harga antara AS$39,000 hingga AS$59,000 (RM136,500 hingga RM206,500) seunit. Prototaip itu mula dikilangkan sejak Januari lalu.

Jentera ini turut dibangunkan dalam varian tiga roda bersama empat tempat duduk yang diberi nama LH3. Lebih menarik lagi, sistem enjin hibrid hidraulik biodiesel itu boleh dimasukkan secara retrofit (dipasang) ke dalam enjin biasa yang dikenali sebagai Hybrid Retrofit System (HRS).

Namun begitu, model LH3 dan enjin pasang siap itu hanya akan mula menemui pelanggan menjelang pertengahan tahun 2010.

"Inilah revolusi teknologi enjin hibrid," kata Johnson.



No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: