KUALA LUMPUR - Kemerosotan kualiti udara yang menyaksikan cuaca mula berjerebu di beberapa kawasan dianggap petanda awal kedatangan fenomena El-Nino mulai Ogos ini.
Berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia, El-Nino sudah terbentuk ekoran cuaca panas dan kering semasa musim Monsun Barat Daya, namun kekuatannya hanya dapat dikenal pasti mulai Ogos ini.
Serentak dengan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mahu beberapa langkah pencegahan diambil termasuk mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka yang kini meningkatkan jerebu.
Kementerian itu dalam satu kenyataan akhbarnya semalam telah mengambil beberapa langkah awal membentuk kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan sebagai persediaan awal.
"Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan telah diadakan 23 Februari dan 8 Jun lalu untuk memastikan semua agensi kerajaan bersedia menghadapi fenomena ini,'' jelasnya.
Selain itu, pihak kementerian turut melakukan pemantauan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis Diraja Malaysia dan syarikat penerbangan swasta untuk mengesan pembakaran terbuka di beberapa kawasan berisiko seperti Selangor, Pahang dan Johor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: