Saturday, June 13, 2009

Farlina juara lokasi pertama


WAKIL JOHOR. Farlina bakal bersaing dengan finalis daripada lokasi lain bagi merebut gelaran juara Pertandingan Suara Karaoke HAI-Red Box 2009.


MENYEDARI karaoke merupakan aktiviti riadah yang cukup popular di kalangan masyarakat Malaysia,majalah hiburan popular, HAI terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., (UKSB) kembali menganjurkan pertandingan karaoke khas untuk pembaca setianya. Kali terakhir ia diadakan ialah empat tahun lalu dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur.

Pertandingan Suara Karaoke HAI-Redbox 2009, yang dibawa oleh Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., serta pusat karaoke terkemuka, Red Box, Green Box dan juga Red Box Ria itu memulakan jelajah pertama di Red Box, Plaza Pelangi, Johor Bahru pada 30 Mei lalu.

Pendaftaran pertandingan yang bermula pukul 10.30 pagi mula dibanjiri dengan peserta yang ingin menyertai pertandingan itu seawal pukul 10 pagi.

Daripada keseluruhan peserta, hanya 15 peserta telah berjaya ke peringkat separuh akhir yang berlangsung di ruang legar Plaza Pelangi pada pukul 4 petang.

Peringkat separuh akhir telah diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada Along Bakar, Emma Hassan dan Julfekar selaku ketua juri.

Petang itu menyaksikan Farlina Mohamad, 27 dengan dendangan lagu Bring Me To Life yang dipopularkan oleh Evanescence memberi tuah kepada dirinya apabila dinobatkan sebagai juara lokasi pertama pertandingan Suara Karaoke HAI-Red Box 2009.

Farlina yang berjaya menewaskan 14 peserta lain semasa peringkat separuh akhir berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150.

Naib johan pula disandang oleh adiknya, Farhana, 23, menerima hadiah wang tunai RM100 yang menyampaikan lagu Right To Be Wrong yang dipopularkan oleh Joss Stone. Nor Asnida, 17, yang mendendangkan lagu popular Shima, Aku Tetap Aku pula menduduki tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM50.

Tempat keempat pula disandang oleh Nur Ulfa Ghazali, 17, yang turut menerima hadiah wang tunai RM50 menerusi lagu Because Of You nyanyian Kelly Clarkson.

Kesemua hadiah wang tunai yang disampaikan kepada pemenang adalah tajaan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd.

Pertandingan tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan iaitu Aweera, Alyah, Rizz dan Tomok yang menghangatkan lagi suasana petang itu.

Selepas ini, empat finalis dari Johor Bahru itu akan memulakan persaingan dengan finalis daripada lokasi pertandingan yang lain bagi merebut hadiah-hadiah lumayan yang disediakan di peringkat akhir nanti.

Juara peringkat akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November depan bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara pula RM3,000 dan tempat ketiga bakal menerima RM2,000.

Suara Karaoke HAI-Red Box akan bergerak ke lokasi seterusnya di Green Box, AEON Bukit Tinggi, Klang (13 Jun), Green Box, AEON Seremban 2, Seremban (11 Julai), Red Box Plaza Gurney, Pulau Pinang (25 Julai) dan Red Box Ria, Sogo, Kuala Lumpur (9 Ogos).

Bagi peminat karaoke yang berminat untuk menyertai pertandingan ini, boleh mendapatkan maklumat dan informasi tentang pertandingan dalam setiap keluaran majalah HAI.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: