SELEPAS Tomok meraih gelaran juara dalam program realiti One In A Million (OIAM) musim ke-3 lalu, dirinya sering menjadi perhatian umum tidak mengira peringkat umur.
Namun, sejak akhir-akhir ini aura Tomok dicemari dengan aura negatif bilamana dia didakwa bersikap sombong oleh segelintir peminatnya.
Walaupun begitu, pemilik nama Shah Indrawan Ismail, 25, ini tidak menyalahkan peminat yang membuat dakwaan itu sebaliknya mengakui sebagai kesilapannya sendiri.
“Saya tak salahkan mereka kerana mungkin saya ada kesilapan sendiri. Saya tak mampu untuk puaskan hati semua orang kalau show sehingga beribu-ribu orang.
“Saya ambil hal itu sebagai perkara positif untuk saya pelajari selepas ini. Saya tak cakap saya betul dan mengambilnya sebagai pengajaran,” jelasnya ketika menghadiri majlis sidang media ‘Inspirasi TV3’ di Hotel Crown Plaza Mutiara Kuala Lumpur, semalam.
Tomok pernah mengecap populariti sejak di awal kemunculannya bersama band New Boyz dan selepas itu popularitinya agak menurun.
Kini, masa semakin berubah, begitu juga dengan Tomok yang telah tampil dengan pembaharuannya dalam mewarnai industri hiburan tempatan.
Kesannya, Tomok bukan sahaja kembali merasai dunia kemasyhuran malah dia juga semakin sibuk dengan kariernya yang semakin berkembang itu.
“Impak (popular) dulu dan sekarang agak berbeza kerana sekarang saya turut menerima peminat berbilang kaum seperti Cina dan India serta mereka bukan sahaja terhad kepada golongan remaja malah seluruh keluarga.
“Saya juga menganggap kesibukan saya sekarang adalah rezeki yang tidak boleh ‘complain’
"Peluang sebelum ni terhad jadi kali ini saya kena bagi sepenuhnya.
"Saya masih Tomok yang sama tapi mungkin ada yang tak perasan," kata Tomok yang akan mengadakan majlis kesyukuran atas kejayaannya tempoh hari di kediamannya, Cheras pada Sabtu ini.
Tomok pernah berkata hendak mengkomersialkan nama sebenarnya, Shah Indrawan, namun sehingga kini dia masih selesa menggunakan nama timangannya, Tomok.
"Saya memang nak guna nama Shah Indrawan tapi itu semua mengambil masa.
"Mungkinlah saya akan melakukan perubahan itu atau tambahan untuk album terbaru nanti," ujarnya yang kini tampak kurus dengan berat badan 55 kg.
Berlakon filem Mantera
Mulai bulan depan, Tomok akan terlibat dengan pengambaran filem Mantera.
Filem yang merupakan filem kerjasama antara produksi Rusia-Malaysia ini dikatakan berkonsep seperti filem Transformer dan Ironman.
"Saya memegang watak Azman iaitu watak utama yang akan berlakon dengan aktres dari Rusia.
"Selain itu, saya akan berlakon dengan Lisa Surihani.
"Mengenai watak, saya tak boleh cerita banyak lagi sebab skrip belum dapat," jelas Tomok mengenai filem keduanya ini.
Filem pertama Tomok berjudul Makar selain berlakon dalam beberapa buah telefilem.
"Bagi saya, peluang ini sangat besar kerana filem ini akan ditayangkan di Rusia dulu.
"Untuk di sini, saya akan berlakon di bawah produksi Flave Studio manakala di Rusia pula adalah Spacetoons," cerita Tomok yang sudah bersedia untuk berlakon semula.
Janji tidak tinggalkan New Boyz
Dalam masa yang sama, Tomok sedang merangka untuk merakamkan single keduanya dalam bulan ini.
"Saya akan rakam lagu berentak pop rock dan fun. Ia mungkin lagu gubahan Aubrey Suwito atau saya sendiri.
"Tengoklah macamana sebab saya mempunyai beberapa koleksi lagu yang belum dipilih," jelas adik kepada alumni Akademi Fantasia 7, Isma.
Selepas rakaman single kedua dan pembikinan filemnya selesai, Tomok akan mengeluarkan single untuk bandnya pula.
"Saya masih aktif dengan New Boyz dan tidak akan tinggalkan band.
"Kami akan tampilkan kelainan dengan menghasilkan semua lagu baru," ujar Tomok yang pernah popular menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang, Meraung dan banyak lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: