Sunday, June 28, 2009

Bukan sengaja buat kecoh – Mas Idayu


Kalau saya diam nanti orang kata pelik pula dan nampak sangat macam nak raih undi.


Siapa yang tidak kenal dengan Mas Idayu, penyanyi dangdut yang dikatakan laser mulutnya. Tapi kalau tak laser, bukan Mas Idayu namanya dan itulah identiti sinonim yang digelar oleh ramai wartawan kepada penyanyi yang berasal dari Johor ini.

Penyanyi dangdut ini sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, tup tup muncul dalam rancangan realiti, Mentor. Kehadirannya dengan protege, Hanifah Md. Hanafiah, (Black), 22 dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur seolah memberi suntikan kemeriahan kepada industri hiburan.

Mas Idayu yang berpengalaman menjadi penyanyi sejak 17 tahun lalu mula mendapat perhatian penonton rancangan Mentor dan para pemerhati seni hiburan dek tingkah lakunya yang suka bikin kecoh di belakang pentas.

Segmen baru yang diadakan dalam Mentor selain persembahan protege, memberikan sedikit perubahan dan warna terhadap rancangan tersebut.

“Kekecohan” dalam segmen belakang pentas oleh tiga mentor, Mas Idayu, Adibah Nor dan Awie banyak mengundang rasa cuak tentang kebenarannya.

Ada yang berpendapat ia direka sedemikian rupa agar segmen itu nampak lebih hidup. Sejauh manakah pendapat itu benar. Antara tiga mentor tersebut, mata lebih tertumpu kepada tingkah laku Mas Idayu yang juga dikatakan sedikit ‘over’.

Selain dirinya, protegenya, Black juga kian popular sekarang ini. Tempias populariti Mas Idayu nampaknya terpantul pada Black. Itu tuah namanya. Ada yang bercerita Black selalu dirotan oleh Mas Idayu dalam kelasnya. Terbukti rotan yang sering dipegang oleh Mas Idayu dah naik hancur. Itu diakui sendiri oleh Mas Idayu. Rotan yang dipegang itu bukan sekadar gimik, katanya.

Apa pun tanggapan yang dilemparkan kepada Mas Idayu, ibu kepada seorang anak ini memberikan jawapan sebenarnya. Apakah sanggahan yang diberikan berasas? Ikuti perbualan ini.

Saya ingin bertanya, apakah kecoh-kecoh di belakang pentas itu lakonan semata atau sebaliknya?

Begini, mulanya memang saya adalah usik mengusik terutama dengan Awie. Biasalah, mulut sayalah pula. Jadi bila berlaku sedikit kekecohan yang tidak dirancang tanpa disangka ia menarik perhatian penerbit. Jadi penerbit pun suruh rakam. Jurukamera pun dok ikutlah kami di belakang pentas tapi kita orang tak peduli pun. Ada kamera atau tidak kami tetap kecoh.

Tidakkah Mas Idayu takut kekecohan itu membuatkan peminat rasa kurang senang dan tempiasnya kena pada Black?

Kalau saya diam nanti orang kata pelik pula dan nampak sangat macam nak raih undi. Biasanya kalau dalam televisyen saya memang kecoh. Tapi kalau di luar saya tidak macam itu. Wartawan pun tahu perangai saya. Kalau di luar saya tak berapa nak ramah dan laser macam itu. Setidak-tidaknya lainlah sikit Mentor kali ini. Tidaklah kita melopong sahaja di belakang pentas. Betul tak? Tapi saya terima apa saja kritikan dan berharap peminat mengundi bukan kerana saya tapi bakat Black. Anggap saja apa yang berlaku di belakang pentas itu sebagai hiburan tambahan. Ayu akui kadang kala apa yang kita buat itu tanpa disedari menyinggung perasaan orang. Kalau rasa saya terlebih sangat di belakang pentas, saya cuba kurangkan. Minta maaf sebelum dan sesudahnya.

Dengar cerita Ayu selalu dera Black, betulkah?

Bukan dera tapi nak mengajar, itu ayat yang sesuai. Memang rotan yang Ayu pegang tu dah naik hancur. Dia nak masuk Mentor ini sebab nak main-main, saja-saja atau mencapai kejayaan. Kalau nak serius itulah sebabnya kena rotan. Kalau tak nak kena rotan kena buat kerja yang saya ajar betul-

betul. Saya ikut pengalaman ayah saya dulu. Lambat buka baju sekolah bila sampai rumah, kena rotan, tak buat kerja rumah, kena rotan, markah matematik rendah kena rotan. Semuanya rotan. Anak saya pun kena rotan kalau buat salah. Tapi mak mana nak dera anakkan? Itu semua cara kita mengajar, dan cara masing-masinglah. Jadi Black kalau buat salah, Ayu rotan juga. Rotan itu bukan gimik tau!

Ayu yakin Black akan menang?

Mentor mana yang tak nak protégé dia menang. Tapi terpulang kepada Black. Saya dah ajar semuanya, tinggal dia yang melaksanakan dan peminat di luar sana yang menentukan. Anda rasa macam mana?

Ke mana Black tu nak diarahkan sebenarnya?

Saya tak mahu dia dikelaskan sebagai penyanyi dangdut. Saya tak mahu dia jadi macam saya. Tapi saya dah tahu ke mana dia nak diarahkan. Setakat ini biar dia belajar semuanya. Pada dasarnya dia minat rock tapi biar dia versatil. Dia baru lagi. Bukan senang nak ajar budak dan tidak ada pengalaman menjadi penyanyi.

Nampaknya Ayu tak pilih bulu dan rupa untuk dijadikan protege. Komen sikit.

Buat apa nak buat macam tu! Seramai 200 orang yang datang uji bakat nak jadi protege saya, Black yang dapat curi hati saya. Buat apa nak malu. Kita tak boleh pilih bulu sekarang ini. Bakat yang penting. Saya tak pernah rasa malu tapi saya marah kalau Black yang bagi saya malu. Maksudnya apa yang saya ajar dia tak dapat sampaikan. Hah tu dia! Jangan sesekali malukan saya. Itu yang penting.

Ayu rasa Ayu sesuai ke jadi Mentor?

Biarpun saya bukan guru vokal yang ajar orang nak nyanyi ooo,ooo, eee,eee,aaa,aaa,aaa tapi pengalaman 17 tahun sebagai penyanyi sudah cukup bagi Ayu untuk tahu di mana sumbang atau tidak seseorang bila menyanyi. Kalau asyik masuk kelas nyanyian yang macam itu bosan juga. Kita ada cara ajar Black. Soal pernafasan dan vokal yang asas itu saya bolehlah ajar. Taklah saya ini buta sangat tentang teknik menyanyi.

Apa pesanan kepada peminat Black?

Kalau peminat undi saya, saya tak dapat apa pun. Tapi kalau Black menang, ‘mak’ pun dapat kereta (ketawa). Habis tu TV3 dah sediakan dua hadiah, nak bagi siapa pulak? Takkan Black yang menang, Awie pulak dapat hadiah? ‘please ye koboi tua!’ Penat saya yang mengajarnya. Saya harap Black buat yang terbaik dan diterima oleh peminatnya dan teruskan mengundi Black.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: