Sunday, June 7, 2009

Anjakan Ella


MENERIMA tawaran kontrak paling lumayan dan berjaya memecah rekod jualan album terlaris di Malaysia antara bukti penyanyi yang diberi jolokan ratu rock negara, Ella sebagai ikon di Malaysia.

Sepanjang hampir tiga dekad karier seninya, Ella melahirkan lebih 20 album, antaranya Pengemis Cinta sentuhan Ramli Sarip selaku penerbit sebelum album Puteri Kota dan Identiti.

Diva rock ini mengukir sejarahnya sendiri apabila muncul dengan Ella USA yang dirakam di Amerika Syarikat dan Jepun pada 1994 hinggalah album Rama-rama tahun lalu.

Lenggok manjanya ketika menyanyi mahupun bercakap bagaikan identiti anak dara Klang ini. Bagaimanapun, timbul persoalan menyatakan penyanyi yang pernah membintangi filem Pemburu Bayang ini seakan-akan hilang sengat rock disebabkan gaya nyanyiannya.

“Kualiti vokal saya masih seperti dulu, namun perubahan daripada segi gaya penyampaian dan lenggok persembahan saja yang mungkin diperbaharui bagi terus mengikut rentak perubahan zaman. Ella kini semakin matang dalam mencari identiti nyanyian, namun vokal saya tidak pernah bertukar menjadi lain.

“Saya adalah saya sebenar, tidak perlu menjadi orang lain. Namun perubahan perlu ada pada setiap penggiat seni kerana itulah anjakan paradigma pada diri sendiri dan masyarakat.

“Cuma ia perlu selari dengan prinsip dan identiti kita supaya ia boleh dilihat sebagai perubahan positif dan sihat,” katanya.

Umpama sirih pulang ke gagang, Ella kini kembali ke syarikat rakaman yang pernah menaikkan namanya dulu, Warner Music dengan meluncurkan muzik terbarunya, The Greatest Hits. Album kompilasi menghimpunkan 32 lagu yang dipilih oleh Ella termasuk tiga lagu baru — Puisi Hamba, Jiwa Setia dan Mencari hasil nukilan komposer baru, Amir.

Menurut pemilik nama Rozila Aminuddin ini, lagu Puisi Hamba kini mendaki tangga carta stesen radio tempatan. Katanya, single pertama ini berdasarkan keistimewaan serta keunikan melodi selain gaya penyampaian yang begitu bersahaja.

“Tiga lagu baru yang diselitkan menerusi album ini sebagai hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong dan merindui vokal saya.



“Malah, lagu baru ini dekat dengan diri saya bukan saja pada liriknya, malah melodinya yang menepati halwa pendengar muzik saya.



“Penghasilan album ini juga lebih bersifat ‘pemanas’ sebelum album penuh saya ada di pasaran selewat-lewatnya Ogos depan. Jadual harian juga kini padat dengan mengikut rangka promosi serta pembikinan video muzik untuk lagu baru itu,” katanya yang tidak langsung prejudis dengan mana-mana komposer baru meskipun dirinya dianggap ‘otai’ oleh penggiat seni tanah air.

The Greatest Hits ini satu perjalanan cerita cinta Ella sepanjang bergiat di persada muzik negara kerana ia bagaikan sebuah arkib lagu popularnya dari album pertama hingga single terbaru.

Pastinya, bait puisi yang dinyanyikan dalam album ini dapat mengungkap diri sebenar penyanyi ini.

“Segala rezeki, ajal maut dan jodoh adalah ketentuan-Nya, jadi saya hanya perlu menunggu dan bersedia,” katanya sambil ketawa ketika diajukan soalan klise, kahwin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: