KOTA BHARU - Mempunyai anak soleh memang perkara yang didambakan setiap ibu bapa.
Namun sejauh mana usaha itu dilakukan bagi memastikan generasi itu tidak tersasar dari landasan Islam.
Bertitik tolak dengan itu, Penaung Madrasah Tahfiz Fatimah Az-Zahra Ketereh, Md Sarifuddin Abd Rahman berkata, pihaknya menganjurkan program awal bagi mendidik anak-anak seawal usia tujuh tahun untuk berjinak-jinak dengan al-Quran.
“Mungkin ada ibu bapa susah hati bila anak mereka tak pandai bercakap Bahasa Inggeris. Tetapi bila anak tak boleh baca al-Quran, adakah perlu dibiarkan begitu saja.
“Insya-ALLAH berkat doa ibu bapa dan usaha ini, anak-anak sentiasa meletakkan agama sebagai panduan hidup bermula dari kecil lagi,” katanya.
Menurutnya, menerusi program pra tahfiz, peserta diajar teknik hafazan, praktikal bacaan bertajwid, Asmaul Husna, merawat hati, terapi diri dan pelembut hati.
“Kita juga mengajar anak-anak tayamum, solat, cintakan rasul, berkuda, memanah dan adab-adab harian cara Rasulullah. Ini semua penting dalam kehidupan dan didedahkan dari awal kanak-kanak lagi,” katanya.
Md Sarifuffin yang juga Imam Masjid Mukim But berkata, program tersebut juga akan diteruskan terutamanya pada musim sekolah supaya aktiviti pengisian ilmu agama dapat disertai lebih ramai kanak-kanak.
“Saya doakan semoga anak-anak yang menyertai program ini memperoleh keberkatan dan menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan dan menjadi anak soleh serta solehah,” katanya
.