Monday, January 23, 2017

Fareez Fauzi Akur Ibu-Bapa Membantu Kerjaya Seninya



Fareez Fauzi bakal muncul dengan filem sulunnya berjudul Badang. 
PETALING JAYA:  Juara Mentor Milenia iaitu Fareez Fauzi mengakui ibu bapanya iaitu aktres Fauzi Nawawi dan Lisdawati banyak membantu dalam kerjayanya walaupun dia enggan dibayangi artis berkenaan.

Fareez atau Muhammad Fareez Hazwan Fauzi, 20, berkata, agak sukar untuk dia mencipta nama tanpa bantuan orang tuanya tambahan pula persaingan daripada artis-artis baharu semakin banyak.

"saya seboleh-bolehnya memang tidak mahu bergantung kepada ibu-bapa tetapi harus saya akui ia bukan mudah seperti yang saya sangkakan.

"Ayah dan Mama memang banyak membantu dalam mencari peluang dan membuka laluan untuk saya," katanya.

Dalam pada itu, Fareez berkata, walaupun begitu dia enggan mengambil kesempatan sebaliknya terus berdikari.

"Mereka buka laluan dan selebihnya saya sendiri kena berusaha dan buktikan kepada peminat bahawa saya di sini bukan mengharapkan keluarga yang dikenali.

"Saya tidak mahu mengambil kesempatan malah ia lebih banyak membuka mata saya agar berazam untuk berusaha berdiri sendiri," ujarnya.

Fareez dan bapanya, Fauzi Nawawi.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya sebagai pelakon filem Badang, Fareez berkata, namanya dicadangkan oleh bapanya kepada pengarah iaitu Profesor Datuk Dr A. Razak Mohaideen.

Bagaimanapun kata Fareez, sebagai pendatang baharu dia masih perlu melalui proses uji bakat sebelum diterima berlakon.

"Apabila mendapat peluang seperti ini saya perlu berusaha dua kali ganda agar tidak memalukan nama bapa yang mecadangkan nama saya.

"Alhamdulillah saya diterima dan sejujurnya saya gementar kerana saya perlu berlakon dengan bapa sendiri dalam filem itu nanti," katanya.

Kata Fareez lagi, dia tertarik dengan watak diberikan kerana dia bakal menggalas peranan sebagai antagonis selain perlu melakukan beberapa aksi.

Pun begitu kata pemuda itu, penampilannya dalam filem berkenaan bukan bererti dia sudah tidak serius terhadap bidang nyanyian sebaliknya sekadar ingin mencuba.

"Rasanya tidak salah mencuba apabila ada peluang dan fokus utama saya masih nyanyian.

"Watak dalam Badang pun tidak berat sangat tambahan pula ia mempunyai aksi yang memang menjadi idaman saya sekiranya diberi peluang berlakon," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: