BERSAIZ kecil tetapi berbaloi. Keenakan ayam yang berharga RM1 atau dikenali sebagai Ayam Goreng Seringgit menjadi pilihan bagi mereka yang inginkan ayam goreng seperti keluaran restoran makanan segera.
Ayam ini digoreng rangup dan sedap, jika ingin rasa pedas, ia akan disaluti cili mengikut selera yang diinginkan. Ayam Goreng Seringgit bukan sahaja menjadi kegemaran kanak-kanak, ia juga digemari pelbagai peringkat umur.
Memenuhi cita rasa
Kakitangan awam, Siti Rashikin Mat Zuki berkata, Ayam Goreng Seringgit yang diperkenalkan anak saudaranya sejak tahun lalu kini menjadi kesukaannya.
“Saiznya yang kecil dan tanpa tulang menyebabkan ia mudah dimakan. Pada mulanya, saya agak terkejut kerana isi ayam goreng dijual dengan harga RM1, selalunya harga ayam goreng seketul RM3 ke atas.
"Istimewanya Ayam Goreng Seringgit ini ia boleh dimakan sama ada pedas atau pun tidak. Selalunya saya beli yang pedas kerana ia lebih sedap dan memenuhi cita rasa saya.
"Ia sesuai untuk kanak-kanak kerana boleh dimakan begitu sahaja tanpa sebarang perisa tambahan dan lebih mengujakan apabila makan panas-panas,” katanya.
Siti Rashikin berkata, Ayam Goreng Seringgit ini juga sesuai untuk dihidangkan ketika majlis keramaian atau majlis tertentu.
"Selalunya saya membeli ayam goreng ini di sekitar Petaling Jaya,” katanya.
Lain daripada yang lain
Bagi pemandu lori, Hamizan Yaakop, pada mulanya, Ayam Goreng Seringgit itu tidak menjadi kesukaannya dan tidak pernah beli untuk anaknya kerana merasakan ayam goreng ini seperti makanan segera lain.
“Anak-anak saya suka makanan ringan atau segera seperti kentang goreng, nuget dan sebagainya. Ia tidak mengenyangkan dan setelah diperkenalkan rakan mengenai Ayam Goreng Seringgit ini, ia mengubah persepsi saya.
“Sedap dan lain daripada yang lain. Pada mulanya saya hanya membeli satu, dan seterusnya saya membeli lima. Ia adalah makanan yang sihat dan sesuai untuk mereka ingin diet. Alhamdulillah, anak saya juga menyukainya,” katanya.
Menurutnya, setiap kali berkunjung ke Kuala Lumpur, dia akan singgah ke gerai Ayam Goreng Seringgit untuk membelinya sebagai buah tangan kepada anak-anak.
"Kini, Ayam Goreng Seringgit boleh didapati di mana-mana sahaja, dan sangat berbaloi membelinya kerana harganya sangat murah,” katanya.
Tidak berminyak
Pekerja kedai runcit, Farah Nabilah Mohamad Fazli pula berkata, Ayam Goreng Seringgit memang sedap dan dijual dengan harga yang sangat berpatutan.
“Ia dijenamakan dengan pelbagai nama, antaranya Ayam Goreng Singgit, Ayam Goreng RM1 dan Ayam Goreng Seringgit. Walaupun bersaiz kecil ia mengenyangkan, malah jika ditambah dengan serbuk cili, ia lebih pedas dan menjadi kegemaran saya.
“Saya akan membelinya seminggu sekali kerana ia sedap dan tidak muak. Ia tidak berminyak dan melekit. Selalunya ia dijual di kawasan sekolah, kawasan tumpuan orang ramai dan sebagainya,” katanya.
Farah Nabilah berkata, setiap kali membeli Ayam Goreng Seringgit, dia perlu beratur kerana makanan tersebut mempunyai peminat yang tersendiri terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Jana pendapatan
Sementara itu, penjual Ayam Goreng Seringgit sekitar Petaling Jaya, Selangor, Sabariah Ali berkata, perniagaannya yang dijalankan sejak setahun lalu mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Sabariah berkata, perniagaan tersebut mampu menjana pendapatannya kerana ia tidak mengambil masa lama dan mempunyai pelanggan tetap.
“Alhamdulillah, setiap lokasi Ayam Goreng Seringgit mempunyai pelanggan tetap dan baru. Malah, ada yang baru pertama kali membelinya sekadar mencuba dan akan kembali membeli ayam goreng ini pada hari-hari seterusnya.
“Saya menjual Ayam Goreng Seringgit kerana melihat potensi perniagaan ini kerana mendapat permintaan tinggi dan kadang-kala tidak sampai setengah jam, jualan saya habis,” katanya.
Menurutnya, dia akan menggoreng dan membungkus ayam tersebut di rumah. Setiap bungkusan tersebut hanyalah ayam goreng biasa dan penambahan perisa seperti lada hitam dan pedas akan dibuat sekiranya mendapat permintaan pelanggan.
“Saya menjual ayam goreng dengan dua sesi jualan iaitu pada jam 12.30 tengah hari sehingga 2 petang di kawasan Kampung Lindungan dan jam 5.40 petang sehingga 7 malam di sekitar kawasan Kampung Tunku. Saya akan menggoreng dua jam awal pada setiap hari,” katanya.
Menurutnya, dia membeli ayam tersebut di kilang dan berjaya menjual antara 100 sehingga 150 ketul sehari bagi setiap sesi.
“Saya juga turut menyediakan perkhidmatan menjual Ayam Goreng Seringgit di majlis perkahwinan, jamuan hari lahir dan keraian sekitar Lembah Klang,” katanya.