KUALA TERENGGANU- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu menggesa semua majikan di negeri ini membuat caruman ke atas pekerja-pekerja mereka termasuk yang berstatus kontrak dan sementara.
Pengarahnya, Nora Yaacob berkata tindakan itu penting bagi membolehkan golongan tersebut turut memperoleh pelbagai faedah daripada Perkeso.
“Berdasarkan rekod sehingga Oktober 2016, sebanyak 23,562 majikan melibatkan 486,336 pekerja berdaftar dengan Perkeso. Daripada jumlah itu hanya 8,254 majikan yang masih aktif membabitkan 106,689 pekerja.
“Oleh itu, kita harapkan lebih ramai majikan melaksanakan tanggungjawab untuk membuat caruman ke atas setiap pekerja meskipun menggaji hanya seorang pekerja.
“Majikan yang tidak berbuat demikian akan dikenakan kompaun RM500 sehingga RM 2,000 atau bakal didakwa di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang membawa denda RM10,000 atau hukuman dua tahun penjara atau kedua-duanya bergantung kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sempena Seminar Keselamatan Sosial bersama media Terengganu, di sini.
Tambahnya sehingga Oktober 2016, RM5.9 juta faedah dibayar kepada penerima Terengganu.