Monday, January 23, 2017

Jatuh Kuda, Andy Lau Perlu Enam Bulan Untuk Pulih




Andy Lau memakai topi dan topeng muka ketika tiba di sebuah hospital di Hong Kong dari Thailand untuk mendapatkan rawatan lanjut.
PELAKON dan penyanyi terkenal Hong Kong, Andy Lau dijangka memerlukan masa selama enam bulan untuk kembali pulih daripada kecederaan akibat jatuh kuda pada 17 Januari lalu.

Andy atau nama sebenarnya Lau Tak Wah, 55, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Happy Valley, Hong Kong.

Bintang terkenal itu terdahulu dikejarkan ke sebuah hospital di Bangkok sebelum diterbangkan ke negara asalnya menggunakan pesawat perubatan.

Andy yang memakai topi dan topeng muka ketika tiba di hospital dilihat berada dalam keadaan sedar dan tenang ketika ditolak masuk ke wad kecemasan.

Isterinya, Carol Choo yang juga seorang rakyat Malaysia turut dilihat berada di hospital namun datang secara berasingan.

Pelakon itu juga enggan menerima sebarang pelawat buat masa ini kerana masih berada dalam keadaan sakit seperti dilaporkan Apple Daily.

Terdahulu, Andy tiba di Thailand pada Isnin lalu untuk menjalani penggambaran sebuah iklan di daerah Khao Lak kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok.

Ketika kejadian, kuda yang ditunggang Andy tiba-tiba hilang kawalan dan mencampakkan pelakon itu ke tanah sebelum memijak bahagian belakang badannya sehingga menyebabkan tulang pelvis pelakon itu cedera.

Andy menerusi satu kenyataan segera menerusi jurucakapnya memberitahu dia berada dalam keadaan baik dan meminta peminat tidak bimbang akan keadaan dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: