RANTAU PANJANG - Banjir termenung yang masih memenuhi kawasan pertanian di sini, tidak mematahkan semangat penoreh di Kampung Gual Dalam dan Bukit Roboh.
Penoreh, Suhaimi Zakaria, 53, berkata, walaupun air masih memenuhi sesetengah kawasan hampir 0.5 meter, ia tidak menghalangnya daripada keluar bekerja.
Menurutnya, dia sudah biasa menoreh dalam kebun seluas 3.2 hektar, yang dipenuhi air.
“Lagipun, sebelum ini saya dah cuti lebih dua minggu, jadi saya perlu bekerja demi keperluan isteri dan anak-anak.
“Bukan saya saja, ramai lagi penoreh getah di sini sanggup berdepan dugaan tersebut,” katanya.
Suhaimi yang bekerja sebagai penoreh getah sejak 30 tahun lalu berkata, banjir awal bulan ini meningkat terlalu cepat dan mencapai kedalaman lebih satu meter.
Selepas mendengar pengumuman kerajaan berhubung kenaikan harga getah, Suhaimi berkata, dia mula bersemangat keluar menoreh bersama isteri, Rohana Osman, 43.
Katanya, dia tidak henti berdoa agar tiada sebarang kehilangan atau kecurian getah di kebun tersebut.
"Lagipun, mungkin tak ada orang yang sanggup redah air semata-mata nak mencuri getah di kawasan ini," katanya.
Sebelum ini Standard Malaysia Rubber 20 (SMR20) merekodkan harga tertinggi getah dalam masa tiga tahun.
Ia meningkat sebanyak 26.5 sen iaitu daripada RM9.30 kepada RM9.56 sekilogram.
Kali terakhir harga SMR20 berada harga berkenaan adalah ketika awal 2013 lalu.