Monday, January 23, 2017

'Suria Jam' Dekatkan Suria FM Dengan Peminat



Azharina ketika membuat persembahan di depan orang ramai.
KUALA LUMPUR: Stesen radio Suria FM terus memenuhi kalender tahun baharu 2017 dengan mengadakan sebuah slot persembahan jalanan iaitu 'Suria Jam' bawah kelolaan penyampai stesen radio itu, Bob Ringgo.
Penerbit rancangan Suria FM, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai Gbam berkata, selama dua hari persembahan yang bermula Rabu lalu itu, ia dilihat sebagai suatu permulaan yang baik bagi mempromosikan stesen radio itu.

"Alhamdulillah, meskipun konsepnya boleh saya katakan 'main redah', namun selama dua hari persembahan kami menerima sambutan luar jangkaan daripada orang ramai.

"Konsep yang di ketengahkan umpama sebuah konsert terbuka di mana kami membawakan artis-artis popular ke beberapa lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur tanpa kami sendiri boleh jangkakan tahap sambutannya.
Khai Bahar antara yang mendapat perhatian peminat.
"Syukur, saya dapat melihat ia satu permulaan yang baik kerana meskipun dibuat pada hari bekerja, orang ramai tetap memenuhi ruang persembahan sedangkan kaedah promosi yang kami ketengahkan hanya menggunakan medium media sosial sahaja," katanya.
Untuk siri pertama, Suria Jam dimulakan dengan persembahan dua artis popular iaitu Haqiem Rusli dan Amelina pada Rabu lalu bertempat diperkarangan pasaraya SOGO, dekat sini.

Suria Jam meneruskan acara pada hari berikutnya (khamis) di Dataran Medan Pasar, Kuala Lumpur dengan persembahan artis Khai Bahar dan Azharina Azhar.

Lebih menarik, persembahan yang diiringi kumpulan muzik profesional ini turut mendapat sokongan penyampai-penyampai Suria FM yang lain.
Haqiem Rusli mengambil peluang berswafoto bersama peminatnya.
Menjawab persoalan kenapa Bob Ringgo dipilih untuk menerajui segmen Suria Jam, kata Gbam, ia berdasarkan pengalaman Bob sendiri dalam mengendalikan segmen 'Undiscovered' yang menyasarkan kumpulan Indie dengan memberi peluang kepada mereka membuat persembahan akustik secara langsung di studio Suria FM sebelum ini.
"InsyaAllah siri Suria Jam akan diteruskan pada Mac depan dengan tiga hari persembahan bersama enam artis popular di mana lokasinya masih difikirkan dan yang pasti di tempat-tempat terbuka tumpuan ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: