Tuesday, January 24, 2017

'Sudah Ku Tahu' Dicipta Di Rumah Mayat - Razif (Projector Band)



Projector Band mula mendapat perhatian peminat muzik tanah air. 
KUALA LUMPUR: Gitaris kumpulan Projector Band iaitu Razif mendedahkan lagu hit mereka, Sudah Ku Tahu yang mendapat tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) pada malam Ahad lalu dicipta ketika dia bertugas menjaga rumah mayat di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Razif berkata, ketika bertugas dia sering membawa sebuah gitar bersamanya bagi mengelakkan rasa bosan memandangkan dia sering diletakkan pada syif malam.

"Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di hospital berkenaan sejak 2011 selama tiga tahun dan sering bekerja pada waktu malam.

"Jadi bagi mengelakkan rasa takut dan bosan saya sering bawa gitar dan ilham menghasilkan lagu berkenaan datang ketika saya menjaga rumah mayat," katanya.

Kemenangan pada AJL31 membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 berserta trofi.

Tuah menyebelahi Projector Band apabila berjaya mendapat tempat ketiga pada AJL31. (Razif tiga dari kanan).
Lagu ciptaan Iman Imran dan Natasyah nyanyian Dayang Nurfaizah iaitu Lelaki Teragung pula bergelar juara.

Naib juara pula milik lagu berjudul Terimaku Seadanya ciptaan sepenuhnya oleh Ajai nyanyian Hafiz dan Misha Omar.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan RM35,000.

Dalam pada itu, Razif turut mengakui dia mendapat ilham menghasilkan lagu berkenaan daripada kisah cinta bersama bekas teman wanitanya.

Bagaimanapun katanya, dia menyesuaikan lirik lagu tersebut agar tidak terlalu berbaur peribadi dan bersifat umum.

"Jika ikutkan kisah sebenarnya lebih 'seram' tetapi apa yang saya tampilkan dalam Sudah Ku Tahu lebih kepada asas dan umum sahaja.
Iskandar sanggup mengambil cuti selama dua bulan daripada pengajiannya demi memberi fokus kepada AJL31.
"Apa-apa pun saya memang tidak menyangka lagu ini akan pergi sejauh ini dan mendapat tempat ketiga adalah satu kejayaan besar memandangkan kami masih baru dalam industri hiburan.

"Kemenangan ini juga menaikkan lagi semangat kami untuk terus berkarya dalam menghasilkan lagu lebih baik pada masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Razif turut meluahkan rasa kagum terhadap vokalisnya iaitu Iskandar yang sanggup mengambil cuti daripada pengajiannya di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi memberi tumpuan kepada latihan pertandingan itu.

"Kami pun tak sangka dapat masuk final dan Iskandar sanggup mengambil cuti selama dua bulan kerana ingin memberi tumpuan kepada latihan.

"Pada saya itu pengorbanan yang besar dibuat olehnya kerana kami semua mengambil serius terhadap AJL31," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: