KULAT sisir atau cendawan kukur (Schizophyllum Commune) antara salah satu daripada kumpulan sayur-sayuran yang sering menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
Namun begitu, kulat sisir tumbuh di batang kayu getah yang reput dan hanya boleh ditemui sebaik sahaja berakhirnya musim hujan.
Lantaran kesukaran untuk mendapatkan bahan itu, seorang usahawan kelulut, Azeman Jaya, 48, dari Kampung Jintan, Chetok di sini mengambil alternatif apabila mencuba mengusahakan tanaman kulat sisir menggunakan kaedah bongkah.
Percubaan berani Azeman itu membuahkan hasil apabila mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat dan pemborong.
“Apa yang saya usahakan ini merupakan alternatif kepada penduduk untuk mendapatkan kulat sisir.
“Melalui kaedah ini, bekalan kulat sisir boleh diperoleh sepanjang tahun tanpa perlu menunggu musim hujan,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, dia bermula dengan 1,000 bongkah, namun masih belum cukup untuk menampung permintaan tinggi daripada pemborong.
“Saya berhasrat untuk memperluaskan lagi tanaman kulat sisir ini kerana ia mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan yang cukup menggemarinya,” katanya.
Katanya, idea untuk mengusahakan kulat sisir ini timbul selepas melihat tanaman tersebut ketika pameran Maha 2016 di Serdang tahun lalu.
"Ketika itu, saya membuat pameran berkaitan dengan penternak lebah kelulut," katanya.
Azeman berkata, penjagaan kulat sisir tidak rumit dan hanya mengambil masa selama seminggu untuk tumbuh.
“Penjagaan kulat sisir tidak serumit cendawan tiram. Tumbuhan ini hanya memerlukan tempat teduh dan perlu disiram antara dua hingga tiga kali sehari.
“Tempat untuk menyimpannya haruslah kawasan yang redup dan lembap,” katanya.
Menurutnya, selain menjual kulat sisir, beliau turut menghasilkan bongkah-bongkah tanaman tersebut untuk memberi peluang kepada orang ramai menambahkan sumber pendapatan mereka.
Katanya, selain untuk makan sendiri, orang ramai boleh menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan kerana tanaman kulat sisir mudah dijaga dan hasilnya lumayan.