KALAU dulu perniagaannya hanya kecil sahaja, kini ia berubah menjadi sebuah perusahaan yang menjana pendapatan lebih lumayan.  
Begitulah kisah Rahimah Taib, 53, usahawan tempatan yang mengusahakan perniagaan mi kuning dan cili giling di bawah jenamanya sendiri.
Dia sendiri tidak menyangka, daripada berniaga sarapan pagi di depan rumah, kini rutin hidupnya berubah menguruskan perniagaan pemprosesan.
“Dulu saya berniaga kecil-kecilan depan rumah saja di Mersing Kecil beberapa tahun. Ada nasi lemak dengan kuih muih dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
“Kemudian tahun 2012 saya ikuti kelas dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) cara-cara membuat mi kuning. Sejak itu saya mula secara serius mengusahakan perniagaan ini seterusnya mengusahakan cili giling,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Rahimah, setiap hari dia menyediakan 200 kilogram (kg) mi kuning dan 10 kg cili giling untuk diedarkan.
“Alhamdulillah usaha kami sejak 2012 membuahkan hasil. Pasaran produk keluaran saya setakat ini sekitar Jemaluang ke Mersing. Di Endau, Insya-ALLAH dalam masa terdekat.
“Saya juga sedang menunggu kelulusan permohonan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya lebih banyak pasaran dapat kami tembusi,” katanya.
Ketika ditanya resipi rahsia yang menyebabkan mi kuningnya terasa enak, Rahimah berkata, ia dihasilkan tanpa sebarang bahan pengawet.
“Kita selalu dengar orang kata mi kuning rasa kapur, tapi saya buat tanpa sebarang bahan pengawet dan rasanya lemak-lemak.
“Memang tidak tahan lama dengan suhu bilik iaitu kira-kira tiga hari saja dan seminggu di peti ais tapi ia lebih sihat dan selamat untuk diambil.
“Selepas ke kelas saya baru faham soal bahan pengawet makanan yang kebanyakannya tidak halal dan diimport dari luar negara,” katanya.
Sementara itu, mi kuningnya sudah memasuki lebih 10 buah kedai manakala cili giling tanpa cuka itu pula telah dipasarkan kepada lebih 20 peruncit.
Menurutnya lagi, harga mi kuning dan cili giling yang diusahakan sejak 2012 masih kekal sejak dulu meskipun kos pemprosesan dan bahan mentah semakin meningkat.
Kini, Rahimah mempunyai dua pekerja yang membantunya mengendalikan mesin bagi memproses mi kuning dan cili giling setiap hari.