KOTA BHARU - Hanya kerana memiliki seekor buaya tembaga betina, seorang warga emas berusia 60 tahun ditahan Jabatan Perhilitan di sini, hari ini.
Pengarahnya, Mohammad Khairi Ahmad, berkata lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Kampung Haji Wanik, Beris Kubor Besar, Bachok kira-kira jam 1.31 petang.
"Kita hantar anggota Bahagian Penguatkuasaan Negeri telah membuat serbuan ke atas rumah berkenaan dan menjumpai buaya itu di dalam kawasan tepi sebuah rumah yang berpagar.
"Melalui siasatan yang dilakukan, kita  mendapati buaya sepanjang kira-kira 2.4 meter (m) serta berat mencecah 120 kilogram (kg) dan dipercayai dijual untuk tujuan peliharaan," katanya dalam satu kenyataan.
Khairi berkata, buaya berkenaan berusia sekitar 15 hingga 20 tahun adalah spesis hidupan liar yang terjadual mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
"Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 70(1) iaitu kesalahan memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar betina dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.
"Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.