KUANTAN – Usianya baru menginjak tiga tahun, namun si kecil ini diuji apabila dia mengalami masalah penglihatan sejak dilahirkan.
Kenneth Kelvin, yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ini disahkan buta kedua-dua matanya sejak dilahirkan.
Bapanya, Staf Sarjan Kelvin Igoh, 36, berkata, anaknya dilahirkan normal namun selepas seminggu dilahirkan, dia langsung tidak membuka mata.
Menurutnya, dia dan isterinya, Sarjan Lonok Maron, 39, berasa pelik dengan keadaan itu, malah terkejut apabila melihat air mata Kenneth bertakung dalam mata.
“Bila tengok keadaan macam tu, saya terus hantar dia ke hospital. Masa tulah doktor sahkan kedua-dua belah matanya ada ketumbuhan sampai dia jadi buta," katanya ketika ditemui selepas Majlis Meraikan Kanak-kanak Istimewa 4 Briged Mekanise di Kem Batu 10 di sini.
Pada majlis itu, seramai 40 kanak-kanak istimewa yang terdiri daripada anak-anak anggota tentera menerima sumbangan wang tunai dan hamper daripada Adun Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.
Kelvin berkata, anaknya itu juga sudah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mata sebelah kiri dan bakal menjalani sekali lagi pembedahan di mata sebelah kanan pula tahun ini.
“Tapi doktor bagi tahu, walaupun pembedahan dilakukan, peluang untuk anak saya melihat macam orang lain sukar dan mungkin tak akan berlaku,” katanya.
Tambahnya, kerana kecacatan itu, anaknya tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti rakan sebayanya. 
“Tumbesarannya juga lambat. Sampai sekarang dia masih belum boleh berjalan.
“Hati ibu bapa mana yang tak sedih. Saya risau sangat dengan masa dia,” katanya yang bertugas di Kem Batu 10.
Sementara itu, Khairuddin ketika ditemui berkata, sumbangan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.
“Saya harapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga terutamanya ketika membeli barangan keperluan anak-anak istimewa ini,” katanya.