KUALA LIPIS - Dataran Orang Kaya Haji di sini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat yang turun hampir sejam sekitar jam 3 petang semalam.
Paras air yang naik secara mendadak itu menyebabkan para peniaga dan pengunjung di Festival Mega Jualan Moh Ke Lipis Pahang 2017  yang berlangsung dari 18 Januari hingga 29 Januari di dataran berkenaan sedikit terjejas.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, berkata, ketika kejadian dia sedang melayan pengunjung di tapak expo jualan sebelum menyedari air naik sehingga paras buku lali.
Menurutnya, melihat paras air semakin tinggi menyebabkan dia bertindak pantas mengalihkan barangan perniagaan ke tempat yang lebih tinggi.
"Memang diakui hujan turun sangat lebat tapi kalau sistem pemparitan di padang ini diselenggara dengan baik rasanya kejadian seperti ini tidak berlaku.
"Saya harap pihak berkaitan dapat mengkaji semula sistem pemparitan dan saliran di sekitar Dataran Orang Kaya Haji agar kejadian seperti ini tidak lagi berulang," katanya.
Seorang pengunjung Mohamad Adham Zulkifli, 30, berkata, dia meluangkan sedikit masa untuk berjalan di festival jualan tersebut namun tidak menyangka akan berhadapan dengan banjir kilat di padang terbabit.
Menurutnya, ekoran hujan lebat berterusan menyebabkan dia terkandas hampir sejam di bawah khemah jualan.
"Masa sampai di tapak jualan berkenaan hujan lebat sedang turun tapi saya gigih juga berjalan untuk melihat apa yang menarik dijual di festival terbabit.
"Tapi tak sangka pula sampai tersekat di bawah khemah sampai sejam selain terpaksa meranduk air banjir untuk pergi ke kereta.
"Saya juga menyarankan agar pihak berkaitan mengkaji semula sebarang bentuk aktiviti atau festival seperti ini ketika musim banjir kerana ia boleh menjejaskan peniaga dan pengunjung," katanya.