RANTAU PANJANG – Penduduk terutama kanak-kanak mula memenuhi laluan di Kampung Kedai Lama untuk menangkap anak ikan sebaik sahaja banjir mula surut dan melimpah ke jalan.
Penduduk, Rosli Ibrahim, 54, berkata, fenomena menangkap ikan atas jalan raya di sini menggamit memori setiap kali berakhir musim tengkujuh.
Menurutnya, tengkujuh baru-baru ini menyebabkan banyak ikan sungai melimpah masuk ke pekan Rantau Panjang.
“Kita dapat lihat dengan jelas pergerakan anak-anak ikan ini menongkah arus banjir untuk menuju ke Sungai Golok.
“Ketika inilah, saya ambil kesempatan menangkap anak ikan bersama keluarga. Anak-anak main banjir, saya pula teman sambil menangkap ikan,” katanya.
Sementara itu, Rosila Ibrahim, 32, berkata, anak ikan seluang yang lebih sinonim dengan panggilan ikan bilis sungai ini begitu digemari oleh anak-anaknya.
Menurutnya, ikan sungai ini sedap digoreng bersama kunyit atau dibakar menjadi pais ikan.
“Kalau jual, ia boleh mencecah sehingga RM2 bagi setiap 400gram, lebih baik saya tangkap sendiri bersama anak-anak.
“Anak-anak juga teruja kerana dapat menjamu ikan yang ditangkap sendiri di tepi sungai ini,” katanya.
Sementara itu, kanak-kanak, Nur Najwa Abdullah, 11, berkata, dia mula turun menangkap anak ikan di atas jalan raya bermula jam 8 pagi.
Katanya, dalam masa dua jam dia dapat mengumpul hampir satu kilogram anak ikan seluang.
“Senang saja kalau nak tangkap anak ikan ini, saya cuma guna penapis plastik atau tudung saji.
“Kalau guna tangan susah sikit, sebab anak ikan selalu melompat dan permukaannya licin,” katanya.
Nur Najwa berkata, selepas menangkap menggunakan penapis plastik, dia akan heret bekas berkenaan ke tempat cetek agar ikan tidak melompat ke kawasan dalam.
Cara ini juga katanya, akan membuatkan ikan berkenaan ‘pening’ selepas diheret di atas jalan raya.