BUKIT Anjing. Bunyinya agak pelik kerana kebiasaannya nama bukit dikaitkan dengan nama kampung atau kawasan berdekatan, namun tidak bagi Bukit Anjing di Kampung Belukar, dekat Machang.
Menurut cerita penduduk, bukit itu dinamakan sedemikian berikutan jumlah anjing liar yang banyak terdapat di kawasan bukit tersebut dan dikatakan sering turun mencari makanan di kawasan penempatan penduduk.
Selain menjadi tempat tinggal anjing liar, bukit tersebut juga dikenali sebagai tempat pembuangan jin oleh bomoh-bomoh selepas melakukan rawatan serta menjadi tempat pemujaan penduduk zaman dahulu.
Menurut penduduk, Wan Hassan Wan Awang, 65, ada tempat khusus yang dibina oleh bomoh-bomoh di atas bukit tersebut sebagai tempat pemujaan yang diadakan pada upacara tertentu.
"Selepas membuat rawatan, bomoh akan membuang jin di kawasan itu serta menghantar pelbagai alat pemujaan seperti ayam golek, pulut kuning, kelapa muda dan sebagainya di atas bukit tersebut.
"Banyak juga cerita misteri yang saya dengar daripada nenek moyang mengenai bukit tersebut namun itu hanyalah sejarah yang tidak diketahui kebenarannya," katanya.
Pembinaan UiTM dianggap cerita kosong
BAGAIMANAPUN, semua itu hanya cerita lama yang menjadi sejarah buat penduduk apabila landskap bukit itu mula berubah wajah selepas pembinaan Universiti Teknologi (UiTM) Mara Cawangan Kelantan mulai 1993.
Tiada lagi hutan belantara, sebaliknya ia bertukar menjadi hutan batu dengan bangunan yang dibina indah, sekali gus menyediakan tempat pengajian tinggi kepada anak-anak bangsa, khususnya rakyat Kelantan.
Sejajar dengan pembangunan tersebut, Bukit Anjing telah dimartabatkan menjadi Bukit Ilmu sesuai dengan fungsinya yang menyediakan peluang pembelajaran dalam pelbagai disiplin ilmu untuk bumiputera.
Wan Hassan berkata, Bukit Ilmu bukan hanya menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada golongan muda tetapi turut memakmurkan ekonomi masyarakat tempatan dengan menyediakan peluang perniagaan secara langsung.
Katanya, rata-rata penduduk yang bergantung hidup kepada hasil pertanian dan menoreh getah mula mengusahakan pelbagai perniagaan sesuai dengan permintaan semasa.
"Ada yang membuka kedai makan, rumah sewa, kenderaan sewa dan banyak lagi. Masing-masing berusaha menambah pendapatan dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan dan produk kepada warga UiTM.
"Bagi saya, UiTM bukan sahaja mengubah landskap Bukit Anjing tetapi juga beberapa kampung di kawasan sekitar khususnya dan Machang amnya," katanya, di sini.
Tambah Wan Hassan, ketika mendapat tahu tentang pembinaan pusat pengajian itu, rata-rata penduduk menganggapnya sebagai ‘cerita kosong’ memandangkan masih banyak lagi kawasan yang difikirkan sesuai untuk pembinaan universiti.
Ditambah lagi, lokasi yang dimaklumkan itu adalah sebuah bukit dan pastinya kerja-kerja pembinaan bangunan bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun, sangkaan penduduk meleset apabila pada 1993, pembinaan mula dilaksanakan, sekali gus menggembirakan penduduk.
"Dulu kawasan kampung itu hanya dihubungkan dengan jalan kecil tetapi pada 1990, lebuh raya mula dibina dan menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada penduduk setempat," katanya.