ALOR GAJAH - Seorang pemuda mengambil iniastif memulakan program 'Jom Sedekah Aiskrim RM1' sejak Disember tahun lalu sebagai usaha menggalakan orang ramai untuk bersedekah.
Muhammad Zahin Zainuddin, 27, berkata, ketika itu dia menjual ais krim di hadapan sebuah sekolah dan didatangi individu yang hanya bekerja sebagai nelayan sebelum menghulurkan wang tunai RM10 untuk memberi ais krim percuma kepada 10 orang.
Bagaimanapun menurutnya, bukan sepuluh yang datang malah kira-kira 30 orang terdiri daripada murid-murid sekolah sehinggakan lelaki terbabit kemudiannya membayar baki selebihnya.
Katanya, tertarik dengan kata-kata lelaki berkenaan yang mahu berkongsi rezeki yang ada dengan insan yang tidak dikenalinya, menyebabkan dia sanggup memikul amanah memberi peluang kepada orang ramai bersedekah dan kemudian wang itu diterjemahkan melalui pemberian ais krim percuma sekali gus mampu memberi kegembiraan terutama kanak-kanak.
"Jika nelayan seperti lelaki itu juga boleh bersedekah, mengapa tidak saya membantu lebih ramai lagi orang ramai untuk bersedekah kerana saya percaya rakyat di negara ini bersifat pemurah.
"Cara ini juga sebenarnya dapat memupuk amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat dan lebih penting konsep ini bila tangan kanan bersedekah, tangan kiri tidak tahu iaitu menerima tidak tahu siapa yang memberi begitu sebaliknya," katanya.