MAKANAN yang menjadi santapan tetamu merupakan 'air muka' tuan rumah atau pelanggan yang harus dijaga.
Perasaan berdebar pasti dirasai sekiranya menjadi kepala dalam mengendalikan sesebuah majlis keraian.
Itu adalah perkara yang tidak dilupakan Pengarah Urusan Kumpulan Segi Seri (Segi Seri), Azhar Baharin sejak mula berjinak-jinak dalam bidang katering dan kini terlibat dalam pemprosesan makanan.
Malah pelbagai faktor diambil kira setiap kali mempersembahkan hidangan kepada tetamu pelbagai peringkat usia dan bangsa.
“Saya mahu menjaga air muka tuan rumah dan setiap hidangan perlu diadakan perbincangan bersama mereka supaya tidak menjejaskan majlis.
“Kualiti makanan, pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam penyediaan makanan serta mengendalikan katering adalah asas yang tidak boleh dipandang remeh. Saya menjaga perkara ini kerana kepuasan pelanggan akan memacu perkembangan perniagaan ini yang diusahakan sejak berpuluh tahun lalu,” katanya yang merupakan anak jati Banting, Selangor.
Azhar mencintai perniagaan makanan sejak dia mula menceburi bidang tersebut ketika remaja dan tidak menyangka hari ini dia menjadi bos kepada lebih 500 pekerja.
"Segi Seri dikenali sebagai perniagaan makanan, sedangkan ia mempunyai pelbagai cabang perniagaan lain antaranya pemprosesan makanan, logistik, latihan dan sebagainya," katanya.
Pengalaman berniaga sejak kecil untuk membantu keluarga dan mencari duit poket sendiri menjadikan Azhar tidak betah duduk diam dan terlibat dalam perniagaan selepas menamatkan perkhidmatan dalam bidang minyak dan gas.
Mengimbas kembali penglibatannya dalam bidang makanan adalah detik yang tidak mungkin dilupakan hingga ke saat ini.
Sebagai anak kampung, Azhar berjinak-jinak dalam pelbagai perniagaan antaranya kerepek, sayur, kuih-muih dan sebagainya.
“Zaman kanak-kanak saya adalah zaman paling seronok, saya menjual kerepek yang dibuat oleh emak untuk membantu keluarga. Saya ketepikan perasaan malu kerana selain memberikan hasil jualan kepada emak, saya sendiri akan diupah.
“Walaupun upah tidak seberapa, bagi saya ia amat bermakna. Saya boleh membeli keperluan sendiri dengan menggunakan upah tersebut,” katanya yang teruja apabila mengenang masa silamnya.
Azhar mengakui, dia bukanlah seperti pelajar lain yang bijak dalam bidang akademik. Dia hanya pelajar biasa di sekolahnya.
“Saya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak dua kali. Saya menganggap ia bukan kisah terakhir kerana saya perlu lakukan sesuatu untuk mengubah nasib,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting.
Sikap berani dan ingin mencuba mengubah nasib dirinya menyebabkan Azhar berhijrah ke Kuala Lumpur. Beliau melakukan semua kerja, termasuk cuba belajar memasak.
“Saya pernah bekerja dalam industri automatif untuk beberapa tahun dan beralih arah ke bidang gas dan petroleum.
“Kedua-dua bidang ini memberikan peluang berharga kerana dari anak kampung saya perlu bertemu ramai orang yang berasal dari Jepun, Amerika dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun, Azhar tidak lama dalam kerjaya tersebut dan memilih berniaga kuih.
Jadi peniaga cakoi
Tidak terlintas dalam fikirannya untuk berniaga kuih cakoi yang bermodalkan RM10,000 di beberapa gerainya yang terletak di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan Selayang serta Taman Datuk Harun, Selangor pada awal 1990-an.
“Perniagaan tersebut mendapat sambutan yang hebat kerana mempunyai beberapa cawangan, malah saya turut mengeluarkan tepung cakoi dalam pasaran di Lembah Klang. Saya mengorak selangkah lagi berniaga di kantin kilang pada 1999 dan pada 2001, saya mula memasuki tender dewan makan institut pengajian tinggi awam di seluruh cawangannya di seluruh negara.
“Pada masa sama, saya juga berniaga di kantin sekolah berasrama penuh di seluruh negara dan beberapa kantin hospital," katanya.
Azhar berkata, Segi Seri membekalkan makanan dalam pesakit berpusat, makanan pek dan diet terapeutik untuk menampung keperluan pesakit yang berbeza.
"Syarikat itu juga memulakan perkongsian strategik dan dibina di atas reputasi yang baik dengan pelanggan utama seperti  Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pihak berkuasa tempatan dan pelbagai agensi kerajaan.
"Alhamdulillah, perniagaan semakin berkembang dan saya mengambil keputusan menceburi bidang katering pada 2005 bermodalkan RM50,000,” katanya.
Jelasnya, dia mengendalikan katering dari kecil-kecil majlis sehingga besar-besaran dan mementingkan protokol serta adat istiadat.
“Pemahaman mengenai konsep yang diingini tuan rumah akan memudahkan perjalanan majlis. Penyediaan makanan perlu bersih dan saya amat mementingkan penilaian terhadap servis dan keenakan masakan yang dihidangkan.
“Kami akan mengeluarkan borang penilaian pada setiap majlis yang diadakan dan melalui keputusan yang diperolehi, kami akan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Utama kualiti dan kebersihan
Ditanya mengenai banyak syarikat katering kebelakangan ini, Azhar berkata, Segi Seri mementingkan kebersihan dan kualiti makanan kerana ia penting dalam kehidupan.
“Makanan yang baik menghasilkan fikiran yang sihat. Saya tidak mengejar bilangan majlis untuk dikendalikan pada satu-satu masa kerana risau terhadap tahap pengendalian yang tidak memberikan kepuasan kepada pelanggan,” katanya.
Azhar berkata, persiapan bermula meja berhidang, makan minum, pinggan mangkuk serta gelas perlulah mengikut konsep majlis.
"Segi Seri memiliki pelbagai tempat unik, salah satu yang dikenali sebagai Laman Kayangan yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam yang serba lengkap khemah khemah eksklusif untuk majlis korporat, majlis keramaian dan majlis perkahwinan.
"Tempat lain, Laman Qaseh yang terletak di Gombak, banglo eksklusif peribadi yang dilengkapi dengan kolam renang, suite pengantin dan enam bilik serba lengkap," katanya.
Azhar berkata, Laman Kayangan Baru 2 dan Laman Kayangan 3, kedua-dua secara strategik terletak di Klang tempat-tempat ini dilengkapi dengan kemudahan standard sejak 2015.
“Saya juga tidak terlepas menghadapi pelbagai cabaran dalam menguruskan perniagaan ini. Saya menghadapinya dengan sabar dan sentiasa berfikiran positif kerana bukan mudah untuk berada pada tahap sekarang.
“Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi kerana saya mahu fokus kepada perniagaan makanan yang mempunyai potensi yang besar.
"Pekerja pula merupakan tulang belakang dalam sesebuah perniagaan, saya tidak boleh lakukan seorang diri,” katanya.
 Pembekal makanan proses
Selain terlibat dalam katering, melalui Central Processing Unit (CPU) atau unit pemprosesan pusat yang terletak di TTDI, Shah Alam dan Salak Tinggi, Azhar juga meluaskan perniagaannya sebagai pembekal makanan diproses di seluruh negara.
Melalui CPU, Segi Seri menyediakan pes makanan, makanan sedia di makan (ready to eat), bakeri, konfeksi dan sebagainya.
“Kami menyediakan lebih 20 produk dan bekerjasama dengan banyak syarikat yang mengedarkan produk tersebut dengan menggunakan jenama mereka sendiri. Ada antara produk yang kami proses itu sudah menembusi pasaran luar negara.
“Alhamdulillah, makanan diproses ini mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran tempatan. Ia juga mendapat pensijilan halal, sijil amalan pengilangan terbaik (GMP) dan mendapat pengiktirafan di bawah skim pensijilan Sistem Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP) Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Azhar melaburkan kira-kira RM12 juta untuk membuka sebuah kilang yang terletak di atas berkeluasan 1.21 hektar di Kota Puteri, Selangor sebagai pusat sehenti memproses makanan.
“Ia dijangka akan beroperasi pada 2018 dan kami menyasarkan ia akan memacu pertumbuhan pendapatan syarikat kami,” katanya.
Jelasnya, selain dalam bidang tersebut, Segi Seri  juga mempunyai restoran makanan dan minuman yang dikenali Food & Co yang terletak di pusat membeli-belah Setia Alam, Selangor dan Klang Valley 2.
“Ia menghidangkan makanan sihat dan kafe dengan hiasan berkonsepkan industri dengan rekaan besi dan kayu itu menitik beratkan keselesaan pelanggan dan kualiti dalam setiap hidangan.
“Bagi mereka yang mahu santai pada waktu petang bersama teman, bolehlah menikmati pelbagai menu Barat sambil menikmati angin petang di kafe tersebut,” katanya.
Tambahnya, Segi Seri juga mempunyai akademinya sendiri yang memberikan latihan untuk melahirkan usahawan terbuka kepada sesiapa sahaja.
"SS Academy adalah pusat latihan khusus di Wisma Segi Seri akan menjadi latihan & hab pembelajaran untuk pembangunan & penambahbaikan untuk kakitangan kami.
“Pelajar akan mengikuti latihan yang diadakan selama enam bulan. Kami bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.