PELUANG untuk kerja di bank mungkin menjadi impian kebanyakan orang. Ini kerana kebanyakan bank-bank ini akan menyediakan banyak faedah, kemudahan dan kebajikan kepada pekerjanya lebih-lebih lagi kepada pegawai atasan dan kakitangan yang telah lama berkhidmat.
Setiap akhir tahun, antara faedah yang paling ditunggu-tunggu kakitangan bank sudah tentu adalah bonus.
Sekiranya sesebuah bank mendapat keuntungan memberangsangkan, minimum pemberian bonus kepada setiap kakitangan adalah antara dua hingga enam bulan gaji.
Dengan memperoleh bonus tahunan yang banyak dan kebetulan diterima menjelang Tahun Baharu Cina, ia tentulah sebagai 'ang pau' besar hasil bertungkus-lumus sepanjang tahun.
Namun, tuah dan rezeki kadang-kala bukan memihak kepada semua orang.
Inilah nasib malang yang dialami oleh sebuah bank di China ini apabila sebahagian kakitangannya hanya mendapat bonus tahunan sebanyak 1 Yuen (64 sen) sahaja!
Bank yang dimaksudkan ini ialah Ping An Bank, salah sebuah bank yang terbesar di China. Biarpun cawangan-cawangannya meliputi di seluruh China, mengikut laporan kewangan tahun lalu, Ping An Bank tetap gagal mencatat prestasi yang menggalakkan.
Salah seorang kakitangan bank ini ketika memberitahu media, dia telah diberitahu pihak bank bahawa bonus tahunannya disahkan hanya 1 Yuen manakala sesetengah rakan sekerjanya agak 'bernasib baik' berbanding dia, dengan mendapat 3 Yuen (RM1.92)!
Mengikut rekod beberapa tahun yang lalu, Ping An Bank terkenal sebagai sebuah bank yang memberikan banyak bonus tahunan kepada kakitangannya. Tetapi melihat kepada prestasi tahun lalu, semua kakitangan hanya mampu redha dengan nasib yang dialami mereka.
Bagaimana pun, tidak kurang juga kakitangan terbabit mempertikaikan sistem pengiraan bonus tahun yang diamalkan oleh syarikat bank ini.