IPOH - Satu gegaran dilaporkan dirasai di kuartes polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, malam tadi.
Maklumat gegaran itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Selama kira-kira jam 10.38 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selama, Mohd Fauzi Razali berkata, keadaan menyebabkan penghuni kuarters keluar dari bangunan dan berkumpul di kawasan lapang.
"Melihat keadaan itu, bomba menjalankan operasi pemantauan di lokasi kejadian," katanya.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, gegaran dirasai penghuni yang berada di tingkat empat hingga lapan dalam tempoh 5 hingga 10 saat.
"Ini adalah yang pertama berlaku di sini, semuanya terkawal dan tiada kerosakan dilaporkan," katanya.
Gegaran dipercayai berlaku akibat gempa bumi sederhana sekuat 5.5 skala ritcher yang baru sahaja berlaku di Utara Sumatra, Indonesia sekitar jam 8.45 malam waktu tempatan.
Gegaran itu dapat dirasai sehingga ke beberapa kawasan di semenanjung Malaysia antaranya di Selangor, Kuala Lumpur, Penang dan Perak.