KOTA BHARU - Sekali lagi tampil menghulurkan bantuan kepada rakyat Kelantan, syarikat penerbangan, AFjets Sdn Bhd mengambil inisiatif mengumpul dan menghantar bekalan menggunakan kapal terbang persendiriannya.
Ketua Pegawai Eksekutif AFjets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar, berkata, lebih satu tan bekalan keperluan terdiri daripada makanan, pakaian dan lilin untuk pasca banjir diberikan kepada mangsa banjir di negeri ini.
“Misi bantuan ini terpaksa dijalankan dua hari berturut-turut yang diadakan sejak semalam hingga hari ini membawa barang keperluang mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Ketereh.
“Selain itu, kita juga turut mengagihkan bantuan ini menerusi Majli Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) dan wakil imam sekitar Nilam Puri, Kukang dan Perol,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Penerbangan bantuan itu diwakili Ketua Jurulatih Penerbangan AFjets, Kapten Shahrudin Taib.
Pengagihan di SK Seri Ketereh diberikan menerusi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Ketereh, Saadi Derahman dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD 16), Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.
Amrul Anuar berkata, idea itu tercetus setelah melihat kejadian banjir di beberapa daerah di Kelantan yang melibatkan ramai mangsa banjir berpindah.
"Maklumat mengenai banjir diketahui menerusi laman sosial, AFjets mendapati mangsa banjir yang tinggal di penempatan sementara kekurangan makanan dan pakaian," katanya.