KUALA LUMPUR - Operasi tunda dan mengalih kenderaan terhadap pesalah trafik di kawasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilakukan secara sah, demikian menurut Syarikat Bumitech Marketing Sdn Bhd.  
Wakil syarikat itu yang dilantik mengurus parkir di hospital berkenaan, Datuk Seri Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata pihaknya diberi kuasa tersebut sebagaimana tertera pada dokumen dibekalkan melalui tender yang ditawarkan Kementerian Kesihatan bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Mei 2016.
Beliau berkata dokumen tender itu turut menyatakan kadar kompaun ditetapkan pihak HKL sebanyak RM150 untuk tunda serta RM50 bagi mengunci tayar dan ia bukan satu kadar ditetapkan syarikat berkenaan.  
"Pihak syarikat kami sama sekali tidak melakukan sebarang kesalahan sebagaimana dimaksudkan dalam Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kepada seseorang ketakutan bencana dengan tujuan hendak melakukan pemerasan.    
"Syarikat kami hanya menjalankan tanggungjawab yang diberi untuk membuat kutipan kompaun sebagaimana diarah dan ditetapkan pihak HKL dan Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sabtu lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun kerana didakwa menunda kenderaan tanpa kuasa di jalan awam selain melakukan peras ugut meminta bayaran RM150 untuk melepaskan kenderaan yang dikunci tayar berhampiran HKL. 
Suspek turut didapati positif dadah dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan kerana peras ugut.
Semalam, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain dilaporkan, berkata hanya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai kuasa menunda dan mengalih kenderaan awam di kawasan ditakrifkan jalan awam dan kompaun dikeluarkan pengendali trak tunda adalah tidak sah mengikut undang-undang sedia ada.
Zakwan Hafiz berkata syarikatnya turut melantik Syarikat RSV VickyVenugah Sdn Bhd sebagai operator tunda dan segala tanggungjawab memastikan kenderaan  tunda mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan salah laku pemandu, adalah tanggungjawab syarikat berkenaan.