MARANG – Karnival Keris Antik Terengganu dianjurkan secara bersama Persatuan Seni Purba Terengganu, Lajnah Dakwah Pas Kawasan Marang, Penyelaras Dewan Tok Guru di sini berjaya menarik kunjungan ribuan peminat senjata lama, hari ini.
Pameran selama sehari yang diadakan di Dewan Tok Guru di perkarangan Masjid Rusila di sini turut merangkumi koleksi pedang, lembing, keris, badik, tombak dan pelbagai lagi jenis senjata lama didatangkan dari dalam dan luar daerah ini.
Paling menarik apabila kira-kira 10 bilah senjata lama milik Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut dipamerkan kepada ribuan pengunjung membanjiri tapak pameran di Dewan Tok Guru di Rusila itu.
Senjata lama milik Abdul Hadi itu termasuk salah satunya dipanggil ‘sundang’ yang sudah berusia beratus tahun di mana senjata tersebut telah diwarisi daripada nenek moyangnya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Dewan Tok Guru, Rosman Awang, 46, karnival itu, selain mencungkil dan membongkar budaya silam, ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda terhadap fungsi senjata dalam dunia Melayu.
Menurutnya, lebih 300 koleksi pelbagai jenis senjata lama dipamerkan sempena pameran yang diadakan buat kali pertama itu dan sepanjang pameran berlangsung turut diadakan pertandingan senjata lama di samping pertunjukan seni silat.
“Pelbagai jenis senjata-senjata lama dipamerkan mempunyai keunikan tersendiri dan yang paling menarik apabila Tok Guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) turut membenarkan senjata lama miliknya dipamerkan dalam pameran pada kali ini.
“Kira-kira 10 bilah senjata milik beliau dipamerkan termasuk ‘sundang’ yang sudah berusia beratus tahun. Sundang ini diwarisi oleh Tok Guru daripada nenek moyangnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tapak pameran di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Seni Purba Negeri Terengganu, Mohd Nasir Awang, 38, dan Ketua Lajnah Kesenian dan Dakwah Pas Kawasan Marang, Abu Bakar Salleh, 49.
Rosman berkata, kesemua senjata lama dipamerkan sempena pameran khususnya yang tradisional dan antik adalah tidak ternilai harganya kerana ia berdasarkan kekayaan warisan budaya, estetika dan seni dalam hasil pembuatannya.