LEBIHAN
 kayu hanya akan dibakar kerana ia diibaratkan sampah. Namun bagi anak jati Johor yang juga pengasas A'Wood Sunglass, Mohd Faisal Sulaiman mahu menggunakan lebihan kayu untuk menjana pendapatannya.
Selama ini, Mohd Faisal menghasilkan joran buluh, namun ia tidak memberikan kepuasan kepadanya kerana dia mahu mencipta sesuatu yang lebih inovatif dan berguna.
Mohd Faisal, 34, kemudiannya memikirkan apa yang boleh dibuat menggunakan lebihan kayu yang ada selepas bertukang di bengkelnya di Felda Ulu Penggeli, Kluang, Johor.
“Selalunya orang menggunakan kayu untuk mencipta perabot. Saya melihat kayu berstruktur, berwarna dan ringan boleh menghasilkan pelbagai benda yang lebih menarik selain perabot.
“Saya mendapat ilham mencipta bingkai cermin mata daripada kayu selepas melayari internet dan melihat mengenai cermin mata berbingkai kayu dijual di Kanada.
“Malah, ruang bengkel yang kecil menyebabkan saya memilih mencipta cermin mata berbingkai kayu berbanding mencipta meja kerana memerlukan ruang yang besar,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pertanian dari Universiti Asia Kuala Lumpur.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam bertukang, Mohd Faisal nekad menghasilkan cermin mata berbingkai kayu kerana ia dilihat eksklusif, trendy dan dijual dengan harga mampu milik.
Konsep sendiri
Mohd Faisal berkata, untuk menghasilkan cermin mata berbingkai kayu, ia memerlukan ketelitian dan kreativiti yang tinggi.
“Dengan menggunakan empat keping kayu, ia dibuat mengikut acuan yang kita mahukan,” katanya.
Menurutnya, dia membuat pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama empat bulan sebelum A'Wood Sunglass berada di pasaran sejak dua tahun lalu.
Katanya, dia mahu ada konsep sendiri. Pada mulanya dia menggunakan kepingan kayu daripada papan ‘skateboard’ untuk dijadikan bingkai cermin mata.
“Saya belajar bina ‘skateboard’ dan teknik tersebut saya aplikasikan membuat bingkai cermin mata. Saya guna kayu balak dan pelbagai jenis kayu yang bersaiz kecil,” katanya.
Mohd Faisal berkata, dalam tempoh tersebut, beberapa kali bingkai cermin mata tidak sempurna kerana dia menggunakan pisau.
“Sepatutnya, saya menggunakan mesin, namun saya masih belum mampu mempunyai mesin pada waktu itu. Saya menggunakan kayu terpakai untuk membuat konsep yang dimahukan dan acuan tidak sempurna menyebabkan hasilnya tidak seperti yang saya harapkan,” ujarnya.
Katanya, pada bulan kelima, dengan menggunakan kayu yang dikitar semula atau lebihan kayu selepas bertukang, Mohd Faisal berjaya menghasilkan cermin mata berbingkai kayu yang memuaskan hatinya.
“Saya bersama empat sahabat membuat kajian mengenai cermin mata berbingkai kayu. Kami melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Pada penghujung 2014, cermin mata berbingkai kayu jenama A’Wood Sunglass berada di pasaran,” katanya.
Menurutnya, kepingan kayu yang siap dipotong akan dibentuk sebelum dimampatkan dengan membuat tekanan ke atas tiga lapisan kayu.
“Ia perlu diuji kekuatan dan keselesaan kepada pelanggan. Selain membuat sendiri, saya menerima tempahan mengikut cita rasa pelanggan termasuk membuat logo sendiri,” katanya.
Modal RM50,000
Biasanya bingkai cermin mata dibuat daripada besi, logam dan plastik, namun bingkai cermin mata jenama A’Wood Sunglass diperbuat daripada kayu menjadi pilihan rakan-rakan Mohd Faisal.
"Mereka melihatnya sesuatu yang pelik dan menempah untuk memilikinya. Pada hari pertama di pasaran, saya menerima 20 tempahan.
“Sekarang saya menjualnya pada harga RM250 sepasang dan disediakan dalam kotak berserta hadiah istimewa,” ujarnya.
Katanya, dia berjaya menyiapkan sepasang cermin mata dalam tempoh seminggu kerana menggunakan cara manual tanpa menggunakan mesin.
Mohd Faisal berkata, modal permulaan adalah RM5,000 sahaja dan dalam tempoh setahun, dia berjaya membeli mesin berharga RM50,000.
“Mesin tersebut dibeli hasil jualan cermin mata dan kami melaburkan RM200,000 untuk membeli beberapa mesin untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti A'Wood Sunglass,” katanya.
Menurutnya, A’Wood Sunglass juga menggunakan pelbagai jenis kayu antaranya serian, kayu arang malam, kayu kapur, burl dan terbaru menggunakan pine yang diperolehi dari kawasan sekitar Mersing, Johor.
“Ada antara kayu tersebut dikitar semula dari bengkel. Kami menerima permintaan tinggi daripada pelanggan dan bekerjasama dengan lebih 10 syarikat antarabangsa serta tempatan.
“Kami melalui sebanyak 25 proses untuk menghasilkan cermin mata berbingkai kayu,” katanya.
Bagi menjaga kualiti cermin mata  dihasilkan, Mohd Faisal sangat teliti dalam pemilihan kayu iaitu hanya 15 sehingga 20 peratus sahaja kayu digunakan dan setakat ini, dia mempunyai lebih 10 rekaan cermin mata.
“A’Wood Sunglass kini berada di seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Saya menyasarkan A’Wood Sunglass akan memasuki pasaran Singapura dan Australia menjelang akhir tahun ini, sekarang dalam proses membangunkan laman web,” katanya.
Kukuh pasaran
Mohd Faisal mahu mengukuhkan pasaran A’Wood Sunglass dalam negara dan bersaing dengan cermin mata berbingkai kayu berasal dari luar negara.
“A’Wood Sunglass boleh disuaipadankan dengan material lain, antaranya koleksi kulit, kain jean. Rekaannya pula mengekalkan bentuk potongan, kekalkan garisan dan dipadankan pelbagai jenis kayu.
“Semburan kalis air empat atau lima lapis akan memberikan kesan mengeras dan kalis air. Setelah berada dua tahun di pasaran, saya berjaya menjual lebih 500 cermin mata berbingkai kayu,” katanya.
Menurutnya, dia sedang membuat kajian untuk menghasilkan bingkai cermin mata daripada surat khabar yang dikitar semula dan batu.
“Teknik digunakan memerlukan jumlah surat khabar yang banyak untuk dijadikan kayu dan dipotong menjadi kepingan sebelum dijadikan bingkai. Saya menjangkakan cermin mata berbingkai surat khabar akan berada di pasaran pada Januari nanti,” katanya
.