Saturday, April 2, 2016

Finalis APO2016: Janna Nick Tidak Gemar Bazirkan Wang



Janna Nick mengakui seorang yang berhemat dalam berbelanja. 
PETALING JAYA: Pelakon Janna Nick adalah seorang yang berhemat dalam berbelanja selain tidak gemar membazirkan wang kepada perkara-perkara tidak berfaedah.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 21, berkata, wang yang diterimanya menerusi lakonan akan digunakan untuk perkara tertentu sahaja dan sekiranya mahu membeli sesuatu dia lebih suka merancang dan tidak bersikap terburu-buru.

"Sebenarnya saya suka melancong tetapi saya tidak suka membelanjakan wang yang banyak. Jadi untuk berjimat saya lebih suka membuat perancangan dengan membeli tiket penerbangan lebih awal dan mengatur belanjawan.

"Dengan cara itu saya tidak membazir wang kepada perkara-perkara yang tidak perlu kerana saya memang seorang yang berhemat dalam berbelanja," katanya.

Janna berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) di Menara Star di sini, Khamis.

Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Kau, Aku, Dia itu tercalon menerusi dua kategori iaitu Aktres Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pencalonan diterimanya menerusi APO2016, Janna berkata, dia bersyukur kepada peminatnya kerana walaupun masih baharu dalam industri namun sokongan mereka terhadapnya tidak pernah berbelah bahagi.
Janna menganggap dua pencalonan diterimanya menerusi APO 2016 adalah usaha keras peminat.
Katanya, mendapat pencalonan atau memenangi sesuatu anugerah adalah beban yang berat kerana dia perlu meningkatkan prestasi memandangkan dan bukannya berasa selesa.

"Ini adalah usaha peminat demi menyokong karier saya dan saya sangat berbesar hati dengan kesungguhan mereka yang tidak henti-henti memberi sokongan.

"Saya sebenarnya tidak tahu kenapa ada orang meminati saya tetapi saya akan lakukan terbaik kerana tidak mahu menghampakan peminat," katanya.

Ditanya mengenai pencalonan dalam kategori Wanita Anggun Pilihan Dnars, Janna berkata, dia langsung tidak menyangka akan menjadi finalis lima terbaik kerana tidak pernah merasakan dia seorang yang anggun berbanding selebriti wanita lain.

"Saya seorang yang ringkas dalam berfesyen dan mendapat pencalonan dalam kategori berkenaan sudah menjadi satu kemenangan kepada saya.

"Mungkin pandangan peminat terhadap anggun itu subjektif dan saya selesa menjadi diri sendiri tetapi sebagai selebriti saya juga kena peka dengan persekitaran," katanya.

Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.

Proses pengundian fasa kedua bermula 1 April hingga 27 April depan dan sepanjang tempoh itu undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web http://apo.mstar.com.my/undi.aspx

Dalam perkembangan lain, Janna berkata, dia bakal muncul dengan drama bersiri terbaharu berjudul Suami Tanpa Cinta lakonan bersama Shukri Yahaya di Astro Ria HD bermula 4 April ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: